Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Hari ini, Selasa 6 Januari 2009 bakal berlangsungnya proses penamaan calon bagi semua pencabar-pencabar kerusi P36 - Parlimen Kuala Terengganu. Ia diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu pada jam 9 pagi ini.

Di khabarkan 4 calon telah dikenalpasti untuk menamakan diri sebagai calon yang bakal bertanding pada pilihanraya kecil P36 - Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 nanti iaitu seorang wakil BN, seorang wakil PAS, seorang wakil AKIM dan seorang wakil Bebas.

Ianya sepertimana yang telah saya jangkakan di peringkat awal lagi di mana kita bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru atau setidak-tidaknya tiga penjuru sekiranya berlaku penarikan diri oleh mana-mana salah seorang di antara calon Bebas ataupun calon AKIM. Diharapkan ini tidak akan berlaku di saat-saat akhir penamaan calon.

Pilihanraya kecil P36 - Kuala Terengganu bakal menyaksikan satu pertandingan yang lebih menarik dan luarbiasa seandainya kesemua 11 borang penamaan calon yang dijual SPR diisi dan dipenuhi oleh bakal-bakal calon pada pagi ini. Namun situasi ini selalunya jarang berlaku.

Begitulah mengikut sumber SPR Negeri sepertimana yang dilaporkan oleh Pengarah SPR Negeri Terengganu kepada Bernama semalam. Jika ini terjadi maka berlakulah satu pertandingan 11 penjuru dan ianya turut bakal tercatat dalam lipatan sejarah politik negara khususnya bagi parlimen Kuala Terengganu itu sendiri.

Apa pun kita akan dapat mengetahuinya pagi ini selepas pencalonan selesai diadakan dan ditutup dengan rasminya nanti. Saya berharapan agar pertandingan sengit melebihi 4 penjuru akan berlaku di parlimen Kuala Terengganu bagi menguji kepengaruhan dan kredibiliti sebenar calon BN yang dijangka menang dengan mudah.

Ini kerana jika lebih ramai calon yang bertanding merebut kerusi P36 - Kuala Terengganu dan kemenangan terus memihak kepada calon BN maka secara langsungnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional telah kembali pulih secara berperingkat-peringkat dan sekaligus akan mampu menutup mulut lantang pihak Pakatan Rakyat yang diwakili calon PAS di kerusi tersebut.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat pertandingan berapa penjurukah yang bakal mengambil tempat untuk pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini.

Pemuda Pelapis
P36 - Parlimen Kuala Terengganu bakal menyaksikan dua calon utama BN dan PAS bertanding merebut kerusi parlimen berkenaan walau pun mungkin ianya akan menjadi satu pertandingan 3 penjuru atau 4 penjuru.

Wan Farid Wan Salleh adalah calon BN manakala Abdul Wahid Endut pula ialah calon PAS. Masing -masing menjanjikan segala yang manis-manis belaka untuk memikat hati pengundi di parlimen Kuala Terengganu. Jika kebanyakan bunga seringkali dikaitkan berbau harum maka kali ini kentut dan tahi juga turut dikatakan wangi belaka demi meraih sokongan pengundi Kuala Terengganu.

Umno dan BN diketahui umum sebagai parti yang bukan seperti Pakatan Rakyat yang ibarat, "alah bisa, tegal biasa" kerana berceramah bagi parti pembangkang umpama menjalani kehidupan harian mereka. Samada mendapat permit polis atau pun tidak, PAS dan PKR tetap mengadakan ceramah mereka di mana-mana sahaja sepanjang tahun meskipun di ketika bukan musim pilihanraya. Namun Umno/BN tidak sedemikian kecuali berceramah pada majlis-majlis rasmi tertentu sahaja.

Apakah perbezaan ini sebagai satu kelebihan kepada calon PAS di Kuala Terengganu? Apakah rakyat pengundi di parlimen Kuala Terengganu sudah termakan hasutan bida'ah yang memburuk-burukkan kerajaan BN yang dipukul canang saban minggu selama ini? Sejauh manakah kepengaruhan ceramah PAS selama ini di Kuala Terengganu, sama-samalah kita tunggu keputusan pengundi-pengundi parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 nanti.

Siapa pun yang menang itu adalah pilihan rakyat Kuala Terengganu dan tugas SPR hanyalah sebagai sebuah badan pengendali proses pilihanraya sahaja. Janganlah SPR dijadikan mangsa lagi oleh mana-mana pihak seperti apa yang telah berlaku pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu apabila pengerusinya diserang secara mental dan fizikal. Tak dapat orangnya, habis harta benda beliau dijadikan mangsa. Kesian pada Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Sekarang SPR sudah digantikan dengan Pengerusi barunya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mula bertugas pada 31 Disember 2008 lalu. Diharapkan beliau tidak menjadi mangsa terbaru oleh penyokong-penyokong fanatik Pakatan Rakyat khususnya PAS. Parti PAS haruslah sedar bahawa sebagai sebuah parti Islam tidak wajar bertindak sebagai "batu ronson" bagi menggalakkan para penyokongnya menjadi terlalu fanatik sehingga bertindak ganas ke atas orang lain. Agama Islam tidak mengajar keganasan seperti ini dan proses pilihanraya adalah satu proses demokrasi di dalam memilih pemimpin secara adil dan saksama. Kedua-dua pihak seharusnya akur apa jua keputusannya nanti.

Cuma sekadar ingin berpesan dan mengingatkan kepada calon-calon yang bertanding. Sesiapa jua yang terpilih dan memenangi kerusi tersebut, jadilah seorang pemimpin yang benar-benar komited bertugas untuk masyarakat. Fahamilah ertikata YB yang sebenarnya. Selain gelaran sebagai Yang Berhormat, ia juga sejajar sebagai Yang Benyawa, Yang Berakal, Yang Berkhidmat dan Yang Bertanggungjawab.

Tolong jangan jadi seorang pemimpin Yang Bangkai, Yang Berlagak, Yang Bongkak, Yang Bakhil, Yang Bodoh, Yang Bahlul, Yang Bingai, Yang Bingung, Yang Birah (ini kaki betina), Yang Botol (ini kaki botol) kerana ini pun YB jugak namanya. Kalau kentut dan tahi menjadi wangi ketika berkempen, pastikan agar ianya wangi sepanjang musim sehingga menjelang pilihanraya umum ke-13 akan datang. Jangan biarkan ia kembali menjadi busuk macam bangkai atau berbau pekong semula. Sindiran sinis ini amat bermakna buat para pemimpin yang mahu bermuhasabah. Maka itu fikir-fikirkanlah!


Pemuda Pelapis
Kita tahu PBB ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertindak selaku badan Majlis Keselamatan dan Keamanan Sedunia. Sejak beberapa dekad kebelakangan ini kita kecewa dengan PBB akibat banyak kegagalan yang dipacu badan berkenaan apabila tidak berjaya menangani banyak isu kezaliman oleh tentera Yahudi ke atas negara-negara Islam khususnya di timur tengah.

Malaysia sebagai salah sebuah negara anggota PBB melahirkan rasa amat kecewa dengan badan tersebut yang tidak berkemampuan bertindak menetapkan gencatan senjata ke atas serangan kejam di Semenanjung Gaza, Palestin oleh bangsa Yahudi Israel. Saya kira Malaysia seharusnya bertindak keluar daripada menganggotai PBB sebagai sebuah badan yang bangsat yang tidak berfungsi sebaik-baiknya sebagaimana yang diharapkan.

Apa yang berlaku adalah satu kezaliman melampau yang amat ketara dan disokong oleh Amerika Syarikat dan Britain di belakang Israel. Ini sama sekali bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan piagam PBB sendiri di mana hak asasi manusia telah dicabuli. Ternyata Yahudi memang sengaja mengundang peperangan besar dengan dunia Islam dan seolah-olah menunggu isyarat serangan balas daripada gabungan negara-negara Islam Sedunia. Apakah mereka berhasrat mahu mencetuskan Perang Dunia Ke-4?

Situasi ini menimbulkan kehairanan dan pelik sekali kerana sepertimana yang diketahui umum bahawa negara-negara di benua Amerika dan benua Eropah termasuklah USA dan Britain sendiri sering dikaitkan sebagai di antara negara-negara yang selama ini memperjuangkan hak asasi manusia tetapi dalam situasi ini mereka dilihat amat tidak berperikemanusiaan serta menzalimi sesama insan lain. Golongan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa dijadikan sasaran serangan oleh rejim zionis Yahudi yang berperilaku tidak ubah seperti binatang.

Sebagai umat Islam di dunia adalah wajar kita mengecam keras dan mengutuk tindakan zalim Israel ke atas Palestin ini. Bagi seluruh umat muslimin dan muslimat di Malaysia, sama-samalah kita bersolat hajat memohon pertolongan dan doa restu Ilahi agar kekejaman ini tidak lagi berlarutan. Mohon semoga Allah SWT menyelamatkan umat Islam dan negara Palestin serta seluruh negara-negara Islam lainnya di dunia ini.

Kepada pemimpin-pemimpin negara diharapkan bersimpatilah dan dapat mencari satu idea serta jalan penyelesaian terbaik bagaimanakah kita mampu membantu negara-negara Islam yang tertindas secara bergabung dengan seluruh negara-negara Islam Sedunia. Berbaliklah kita ke pangkal jalan dan berpeganglah kepada satu amanat, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Islam sebenarnya kuat dan amat ditakuti Yahudi maka itulah sebagai negara kuasa besar mereka mengambil pendekatan secara kekejaman untuk menghapuskan umat-umat Islam dan negara-negara Islam dunia. Marilah kita menentang kekejaman ini.

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

Pemuda Pelapis
Hari ini 2 Januari 2009, agensi berita Bernama melaporkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata "Bantuan Bukan Gula-Gula Pikat Pengundi" di Kuala Terengganu.

Kita rakyat di seluruh negara sering disebutkan dengan kenyataan dan situasi "kebetulan" yang sudah mual dan amat jelak sekali untuk didengari. Setiap kali adanya pilihanraya kecil atau pilihanraya umum maka banyaklah bantuan itu dan ini disalurkan di kawasan-kawasan terbabit.

Apabila pembangkang menempelak isu ini maka pembesar-pembesar Umno/BN menyanggah kenyataan pembangkang sedangkan tanpa disedari ianya telah menjadi "kudis buta" atau dipanggil juga sebagai penyakit "kusta" di dalam perjuangan politik Umno/BN sejak sekian lamanya.

Yang menjadi isunya di sini kenapa apabila tibanya musim pilihanraya barulah bantuan disegerakan di sesuatu tempat itu? Memang tidak dinafikan kerajaan Barisan Nasional sentiasa menghulurkan bantuan tanpa mengira masa dan musim tetapi itu adalah satu tanggungjawab sebagai kerajaan yang memerintah.

Samalah keadaannya seperti institusi kekeluargaan bilamana ibubapa melahirkan anak maka haruslah dipelihara dengan makan minum yang mencukupi serta diasuh dan diberikan pendidikan yang baik sehinggalah anak-anak kecil tadi membesar dalam kesempurnaan. Oleh itu tidak perlulah bantuan yang dihulurkan itu digembar-gemburkan yang hanya mengundang pihak pembangkang menjadikannya sebagai satu isu dalam kempen pilihanraya.

Ianya lebih ketara di saat-saat sebegini. Dalam situasi pilihanraya kecil dan juga pilihanraya umum perkara bantuan ini terlalu difokuskan dan pembesar-pembesar kerajaan pula masa inilah kelihatan gigih luarbiasa memainkan adegan-adegan masing-masing dengan watak-watak yang terlampau sehingga mengundang kebencian rakyat apatah lagi di kalangan pemimpin parti lawan.

Janganlah segala-galanya cuba dipolitikkan oleh kerajaan jika tidak mahu isu bantuan dispekulasikan oleh pihak pembangkang di saat-saat pilihanraya. Lakukan tugas dan tanggungjawab secara luhur, jujur, telus dan ikhlas. Kerajaan kepada rakyat umpama ibu dan bapa kepada anak-anak dalam institusi keluarga.

Semua pemimpin kerajaan disarankan mengubah persepsi dan pandangan rakyat agar situasi kebetulan tidak terlalu sering dijadikan sebagai alasan sepanjang masa di dalam sejarah politik negara. Ianya amat memualkan dan jelik sekali di kaca mata rakyat dan lebih-lebih lagi di pihak pembangkang.

Di era millenium dan di zaman globalisasi ini sesuatu kelainan wajar diaplikasikan di dalam memikat hati pengundi dan rakyat. Dengan berterusan membawa perilaku lapuk ini hanya akan merugikan parti sendiri dan secara langsung memudarkan kredibiliti diri sendiri.

Sampai bilakah situasi kebetulan ini harus berpanjangan? Adakah sampai bahtera Umno/BN pecah berkecai sehingga karam di dasar lautan maka semua pemimpin baru mahu sedar dan bangkit dari lamunan? Jika saya sebagai orang Umno/BN merasa getik dan meluat dengan kenyataan ini apatah lagi orang-orang di luar Umno/BN? Tidakkah semudah itu yang dapat difikirkan oleh para pemimpin?

Kemaskinilah tahap daya pemikiran supaya kelihatan lebih ada kelas dan tergolong di dalam kualiti "Gred A" yang paling atas jika berharapan tinggi mahu menjawat kerusi Timbalan Presiden Umno sepertimana yang dicalonkan. Kalau inilah pemimpin yang mahu diangkat naik oleh parti nescaya masa depan parti dan negara akan menjadi lebih parah akibat ketandusan idea pemikiran.

Berbanyak maaf Tan Sri tetapi terimalah teguran ini sebagai satu teguran yang membina parti dan perjuangan masa depan agar Umno/BN kembali dihormati sebagaimana dahulu dan asalnya.

Pemuda Pelapis
Lagi 15 hari pilihanraya kecil P36 - Parlimen Kuala Terengganu akan berlangsung iaitu pada 17 Januari 2009. Kedua-dua pihak kini sudah mengenalpasti calon masing-masing untuk diketengahkan bertanding dalam pilihanraya kecil itu akibat kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Dato' Razali Ismail (BN) pada 28 November 2008 lepas.

Majlis Tertinggi Umno sejak awal lagi telah memilih calon BN selepas banyak pihak berteka-teki sebelumnya tetapi akhirnya Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46 daripada Umno telah terpilih untuk mewakili BN bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu itu. Beliau juga adalah Senator yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Sementara PAS agak lewat mengumumkan calon mereka untuk mencabar calon BN di kerusi tersebut. Lewat petang semalam Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang baru membuat pengumuman calon PAS di Stadium Negeri Kuala Terengganu dengan memilih ADUN Wakaf Mempelam, En. Mohd Abdul Wahid Endut, 52 yang telah mengekalkan kerusi ADUN itu selama 5 penggal berturut-turut tanpa tewas sejak 1990 lagi. Calon yang dikemukakan PAS ini juga turut mendapat restu daripada Mursyidul Am PAS, Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat. Calon PAS ini ialah Bendahari PAS Terengganu dan juga Yang Di Pertua PAS Kuala Terengganu.

Tahniah kepada PAS dan juga BN yang telah ada calon masing-masing. Proses penamaan calon akan berlangsung pada 6 Januari 2009 ini dan tempoh berkempen hanya dibenarkan selama 11 hari sahaja bagi merayu undi rakyat di bawah parlimen P36 Kuala Terengganu. Maka ini rakyat Kuala Terengganu adalah penentu keputusan pilihanraya kecil ini untuk memilih calon manakah yang akan mewakili suara mereka ke Dewan Rakyat walaupun kerusi tersebut sebelumnya adalah milik BN pada PRU12 yang lalu.

Namun pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini tidak kurang menariknya kerana sebenarnya bukan satu pertandingan dua penjuru di antara PAS dan BN sahaja malahan parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) juga telah bersetuju untuk menamakan seorang calon mereka iatu Naib Presidennya sendiri, En. Harun Mohamad bagi menyahut cabaran di dalam pilihanraya kecil yang akan berlangsung nanti. Juga tahniah diucapkan atas keprihatinan AKIM untuk memperjuangkan dasar-dasar Islam.

Adalah juga tidak mustahil jika sekiranya seorang calon Bebas akan turut tampil menawarkan diri bertanding di kerusi parlimen Kuala Terengganu nanti mengikut apa yang telah didesas-desuskan sebelum ini. Namun calon Bebas tersebut bukanlah Maimun Yusof, 89 (Tok Mun) kerana Tok Mun sejak awal lagi telah menyatakan beliau tidak akan bertanding pada pilihanraya kecil kali ini akibat kewangan yang tidak mengizinkan. Siapakah agaknya calon Bebas tersebut? Sama-samalah kita tunggu perkembangan berita terkini dalam sehari dua ini sekiranya ada.

Pemuda Pelapis
Salam sejahtera kepada semua rakan-rakan blogger dan pengunjung blog Pemuda Pelapis.

Hari ini kita telah memasuki hari pertama tahun baru 2009 Masehi. Semoga semuanya bersemangat baru dan sama-samalah kita tanamkan satu tekad dan azam baru ke arah segala yang positif khususnya di dalam membicarakan isu-isu semasa tidak kira apa jua. Bijak-bijaklah kita membezakan di antara fitnah dan kebenaran.

Untuk topik sulung 2009 ini saya ingin berkongsi satu cerita lama yang pernah saya dengar tetapi masih dibicarakan dan diterima menerusi email saya semalam. Apakah tujuan sebenarnya saya masih kurang pasti samada ianya satu kebenaran untuk dihebahkan atau satu fitnah semata-mata untuk menutup periuk nasi orang lain.

Seseorang telah menghantar email kepada saya menghebahkan alkisah rangkaian restoran mamak di Malaysia yang kononnya dikatakan pengotor di segi cara penyediaan makanan dan pelaris daripada najis serta kotoran lain. Saya percaya tentu di kalangan anda turut menerima email yang sama.

Di antara nama-nama restoran yang disebutkan di dalam email itu ialah:

1. Restoran Mamak di Presint 9, Putrajaya.

Katanya di situ ada dua restoran mamak berdekatan tetapi yang disebutkan ini ialah restoran mamak yang pekerjanya memakai apron putih. Mengikut kata pengirim, secara kebetulan seorang makcik telah lalu di belakang restoran itu dan mendapati pekerjanya sedang menguli tepung roti canai dengan kedua-dua kakinya.

2. Restoran Mamak di Putra Perdana, Puchong.

Menurut pengirim email yang menginap di apartmen berdekatan, beliau melihat sendiri seorang pekerja dapur restoran itu keluar ke belakang dapur dengan mendokong seekor anak anjing untuk dilepaskan di luar. Katanya apabila ditanya samada pekerja itu Islam atau Hindu maka dijawabnya dia beragama Hindu tetapi bosnya Mamak Islam. Kemudian tuan restoran berkenaan tampil lantas meminta maaf atas perkara tersebut.

3. Restoran-restoran Mamak di Alor Setar, Kedah.

Mengikut kandungan cerita yang panjang menerusi email tersebut, katanya seorang ustaz dari pejabat Agama Islam Kedah telah diundang untuk membaca doa satu majlis keraian dan kemudiannya ustaz itu telah memaklumkan kepada hadirin agar umat Islam tidak berkunjung makan dan minum di mana-mana restoran mamak di sekitar Alor Setar atas alasan beliau yang mengatakan kesemua restoran-restoran mamak di bandaraya Alor Setar haram dimakan kerana mendapat bekalan ayam daripada tauke-tauke cina di pasar.

4. Restoran Insaf, Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL.

Ini berkenaan kisah benar nasi beriyani mengikut kata pengirim. Rakan beliau sering makan dan minum di situ dan pada suatu hari rakannya singgah makan nasi beriyani di restoran itu ketika waktu rehat tengahari dan kemudiannya ingin membungkus satu lagi nasi beriyani untuk dibawa balik ke pejabat lalu menghampiri periuk lauk. Ketika pekerjanya menceduk lauk kari untuk dibungkus, rakan beliau ternampak satu bundut bungkusan berlabelkan jenama "crocodile" yang disyaki seluar dalam lelaki berwarna putih yang direndamkan ke dalam lauk itu sebagai pelaris. Lalu rakan beliau terus membatalkan pesanan tetapi membayar apa yang sempat dimakannya tadi. Sesampai di pejabat rakannya termuntah lalu menceritakan kepada semua kawan-kawan sepejabat.

5. Restoran BK Corner, Wisma Central, Jalan Ampang, KL.

Kedai makan ini dikatakan terletak berhampiran tangga elektrik (escalator) di tingkat bawah. Katanya dua orang pembantu perempuan Indonesia bekerja di situ di samping dua orang lagi lelaki Hindu. Setelah diamati rupanya memang sah kedua-dua lelaki itu bukan mamak tetapi Hindu kerana di pergelangan tangannya berikat tangkal benang berwarna kuning. Kadangkala di awal pagi di antara jam 7:00am hingga 7:30am semasa restoran itu baru mula hendak dibuka, kedua-dua lelaki itu memakai "calit sarjan" putih pada dahi mereka. Apakah itu mamak Islam? Itulah cerita pengirim.

6. Warung dekat Pasar Pudu, belakang Esso.

Sebuah warung berhampiran Pasar Pudu selalu dipenuhi pengunjung Melayu Islam untuk bersarapan pagi di situ. Kebiasaannya roti canai dan teh tariklah yang menjadi kegemaran ramai. Apa yang mendukacitakan, tidakkah umat Islam memandang pada dahi suami dan isteri pemilik warung berkenaan yang memakai "calit sarjan" dan di lengan wanita Hindu itu terdapat lilitan benang berwarna merah yang mungkin tangkal? Tak boleh ke susah sikit untuk menyeberang jalan di situ dan bersarapan di warung-warung Melayu? Kenapa mesti makan juga makanan yang was-was akan status halalnya?

7. Restoran Shah Jahan Maju di Setiawangsa, KL.

Ini satu cerita yang lebih jijik. Kata pengirim, kawan kepada kawannya makan roti canai di restoran berkenaan dan terjumpa satu ketulan dalam kuah dal roti canai. Sangkanya biji asam jawa tetapi bila diamati rupanya najis iaitu kepala tahi (sesuatu yang keras sedikit pada najis manusia) yang dijadikan bahan pelaris berunsurkan sihir ilmu hitam. Tuan restoran datang kepadanya dan menghulurkan RM2,000 bagi menutup mulut kawan kepada kawannya itu. Kini restoran tersebut agak lengang daripada sebelumnya kerana kurang pengunjung. Yang masih datang makan mungkin mereka yang belum mengetahui cerita sebenarnya.

8. Restoran Maju Curry House, Lebuh Ampang, KL.

Restoran ini katanya adalah rangkaian restoran milik Shah Maju. Persoalannya ke mana perginya perkataan "Jahan" selepas perkataan Shah dan sebelum perkataan Maju pada nama rangkaian restoran itu? Ini juga turut diragui akan kebersihan dan kehalalannya kerana ia adalah rangkaian restoran yang sama pemiliknya.

9. Warung Nasi Lemak Antarabangsa, Kg Baru, KL.

Kandungan email menyatakan pada suatu hari seseorang telah mengajak seorang teman lain yang alim dan warak makan di situ. Tiba-tiba hamba Allah yang dikatakan alim dan warak tadi ternampak seekor toyol sedang kencing ke dalam periuk nasi lemak. Mungkin makanan yang dipesan belum sempat dihidangkan lalu mereka membatalkan niat untuk makan di situ lantas beredar. Si alim tadi bercerita kepada rakannya yang mengajaknya makan di situ kenapa beliau hilang selera. Mungkin tuan punya ada meminta khidmat bomoh pelaris tanpa mengetahui apakah sebenarnya yang dibekalkan oleh si bomoh. Selalunya perkara-perkara halus atau ghaib ini bukan boleh dilihat dengan mata kasar manusia tetapi mungkin bagi sesetengah orang yang ada kelebihan sahaja.

Begitulah di antara apa yang saya baca melalui email yang saya terima. Ceritanya agak panjang tetapi telah saya ringkaskan sedikit bagi membawa maksud penyampaian sebenar oleh pengirimnya.

Mengikut alamat-alamat email yang tercatat dilihat telah ramai pihak yang menerima hebahan ini dari semasa ke semasa yang terus dipanjangkan sehingga ke hari ini. Lapan cerita mengisahkan tentang rangkaian restoran dan warung mamak sementara satu daripadanya warung milik orang Melayu kita yang beragama Islam.

Saya tidak mahu menyebelahi atau tidak menyebelahi mana-mana pihak di dalam perkara ini. Sesuatu yang dirasakan khuatir atau ragu-ragu hendaklah disiasat terlebih dahulu sebelum boleh mempercayainya. Dalam isu ini saya melihat ianya kemungkinan mempunyai dua motif samada berniat baik untuk dihebahkan atau berniat jahat untuk menutup rezeki orang lain.

Apa pun pihak berkuasa disarankan menyiasat laporan ini dan kepada pihak pemilik restoran atau warung makanan pula berhak membela diri dengan membuat laporan polis sekiranya mereka merasakan mereka telah dianiayai oleh pihak-pihak tertentu.

Sebagai rakyat yang prihatin saya memaparkan perkara ini di laman blog supaya banyak pihak dapat membaca dan merujuk bagi membuat penilaian sebenar kerana saya merasa was-was kenapa berita ini disebarkan secara tertutup melalui email ke email jika diyakini berbukti dan benar? Bagi mereka yang melihat dan terbabit secara langsung kenapa tidak membuat laporan polis untuk merujukkannya kepada bahagian penguatkuasa PBT, JAKIM dan penguatkuasa Kementerian Kesihatan?

Oleh itu saya syorkan kepada mereka yang melihat sendiri dan ada bukti serta saksi, sila tampil ke hadapan dengan berani atas dasar kebenaran demi sebuah keadilan. Jika ianya tidak benar dan sengaja diada-adakan maka ini merupakan satu fitnah yang besar dan amat berdosa sekali. Berazamlah kita untuk bercakap benar mulai tahun baru 2009 ini. Fitnah jangan sekali-kali disebarkan. Jika penyebar berita ini merasakan ianya satu kebenaran yang sahih, tampillah ke hadapan membantu masyarakat dan pihak berkuasa.

Sekian dimaklumkan!