Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Bantahan rakyat Selangor terhadap kerajaan Selangor yang kini di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat

Makluman pembaca: Topik ini juga saya bahaskan di laman web MyKMU.Net yang telah disiarkan mulai hari ini 14 April 2008 dan menerima berbagai komen daripada pembaca yang menyokong dan membangkang usaha ini. Anda juga boleh membuat komen di ruangan ini secara terbuka. Untuk merujuk terus ke ruangan topik ini di MyKMU.Net, sila klik di sini.

Merujuk kenyataan HarakahDaily.Net semalam yang ditulis pengarangnya berkenaan projek "MEGA" ladang ternakan babi secara moden menunjukkan pendirian yang jelas pucuk pimpinan PAS cuba mempertahankan keputusan yang telah dibuat oleh MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kepimpinan PAS dilihat menyelar dan menuding jari kepada media serta pemimpin-pemimpin BN yang kononnya telah memanipulasikan isu tersebut dengan "menyerang" kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

Mereka marah dengan sindiran "sinis" Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang menganggap projek tersebut sebagai "HADIAH BESAR" kepada penyokong Pakatan Rakyat di atas kemenangan PRU12 yang lalu, melalui kenyataan yang dituliskan di laman blog Ketua Menteri Melaka itu.

Sebaliknya PAS menempelak semula Ketua Menteri Melaka itu dengan merujuk keadaan yang pernah berlaku di Melaka pada tahun 2007 yang lepas, yang menyatakan Mohd Ali Rustam gagal menanganinya dengan baik sehingga membawa kepada rusuhan para penternak babi.

Pelbagai alasan digunakan oleh kepimpinan PAS dan para penyokong mereka untuk mempertahankan keputusan itu tanpa rasa "SEGAN SILU" dan tidak malu mengandaikan usaha itu sebagai "Fardhu Kifayah" daripada pucuk kepimpinan Islam kepada rakyat bukan Islam.

Di dalam konteks ini, saya tampil untuk mengulas ringkas bahawa usaha PAS mempertahankan keputusan tersebut sebagai "LIDAH YANG BERCABANG" dan "TIADA BERPENDIRIAN" yang boleh dianggap sebagai "Menjilat Ludah Sendiri".

Juga adalah keterlaluan untuk menganggapkannya sebagai "Fardhu Kifayah" kerana banyak lagi usaha-usaha lain yang boleh ditumpukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat jika sekiranya mahu berbudi kepada golongan bukan Islam untuk memperolehi "Pahala Fardhu Kifayah".

Saya melihat alasan demi alasan yang diberikan oleh kepimpinan PAS dan para penyokong mereka untuk mempertahankan keputusan yang dibuat itu sebagai satu kepentingan politik semata-mata demi meraih sokongan daripada masyarakat bukan Islam atas dasar desakan daripada pihak dalaman (DAP) dan juga gagal berpandangan jauh untuk memikirkan kesan jangka panjang secara menyeluruh.

Sepatutnya kejadian di Melaka tahun lalu harus diambil sebagai iktibar. Walau canggih sekalipun pelaksanaannya tetapi "PENCEMARAN UDARA" tetap akan berlaku. Tidak tahulah pula jika sekiranya mereka menternak secara tertutup di dalam "DEWAN BERHAWA DINGIN" adalah satu kemungkinan untuk mengelakkan pencemaran udara.

Saya juga tidak hairan dengan kepimpinan PAS yang selama ini memang sering memperalatkan agama suci Islam ke arah mencapai matlamat politik mereka. Mereka sanggup memutarbelitkan apa sahaja fakta demi kepentingan peribadi mereka. Secara tidak langsung dengan memperalatkan agama Islam, mereka "TIDAK MENGHORMATI ISLAM" dan mengajar sekutu mereka yang bukan Islam untuk turut tidak menghormati Islam.

Dengan penggunaan nama parti politik sebagai "Parti Islam Se-Malaysia - PAS" itu sebenarnya telah banyak mencemarkan imej "ISLAM" di mata masyarakat bukan Islam di negara ini secara khususnya, kerana perjuangan PAS hari ini sudah jauh menyimpang dan tersasar daripada landasan sebenar perjuangan asal mereka ketika di zaman Dato' Asri suatu masa dahulu.

Ini semua adalah angkara sebahagian besar pemimpin PAS hari ini yang tidak bertanggungjawab. Saya tidak tujukan kepada semua pemimpin mereka tetapi sebahagian besarnya adalah sebagaimana apa yang saya maksudkan itu. Hanya segelintir sahaja pemimpin PAS yang masih boleh dihormati.

Kepada pemimpin PAS yang membaca kenyataan ini, sila berikan jawapan kenapa kerajaan negeri harus memperuntukkan bajet sebegitu besar sehingga mencecah RM100Juta untuk ladang "MEGA" bagi ternakan babi? Apakah keberuntungannya kepada golongan masyarakat Melayu dan semua yang beragama Islam?

Apakah yang "HARAM" itu boleh menjadi "HALAL" demi kepentingan politik? Untuk sekadar memenuhi keperluan golongan "Pemakan babi" yang hanya segelintir tersebut, cukuplah sekadar bantuan "BAKA TERNAKAN" sebagaimana yang dilakukan oleh Jabatan Haiwan kepada masyarakat Melayu di kampung, di samping keluasan tanah yang memadai dan mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Sanggupkah mana-mana kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat meluluskan sejumlah yang sama atau lebih besar untuk tujuan penternakan lembu, kambing, biri-biri, ayam, itik dan sebagainya selain daripada babi kepada masyarakat bumiputera?

Inilah kepimpinan "AKHIR ZAMAN" oleh pemimpin Islam yang mengakui diri sebagai "ALIM ULAMAK" yang sanggup "MENGHALALKAN" apa yang "HARAM" sewenang-wenangnya.

Jika begitu, semua kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS tidak perlulah memansuhkan "LESEN PERJUDIAN" yang dikatakan haram. Sekurang-kurangnya perjudian itu tidak perlu "DISAMAK" sebagaimana najis babi.

Tiada apa-apa perbezaan untuk memakan hasil pendapatan daripada "JUDI" jika dibandingkan dengan hasil "PENTERNAKAN BABI". Kedua-duanya datang daripada sumber yang haram. Oleh itu saya mohon pemimpin PAS tidak perlulah mempertahankannya atau memperjuangkan usaha tersebut. Di sebaliknya haruslah menasihati sekutu mereka dan bukan terus bersekongkol.

PAS haruslah bersikap "JUJUR, IKHLAS DAN LEBIH TELUS" di dalam perjuangan Islam mereka.

BERPEGANGLAH PADA HAKIKAT KEBENARAN DAN CONTOHILAH KEPIMPINAN RASULULLAH SAW.

Sila rujuk artikel sebelumnya bertajuk Projek "Mega" Ternakan Babi Sebagai Agenda Utama Ekonomi Kerajaan Barisan Rakyat PKR-PAS-DAP Di Selangor pada ruangan "Arkib" atau KLIK DI SINI.

Pemuda Pelapis
Kenapa agaknya Pak Lah liat mahu berundur? Adakah dialog ini menggambarkan satu kemungkinan? Saya menyediakannya atas gambaran rakyat "CAKAP-CAKAP SANA SINI" dan "CAKAP-CAKAP KEDAI KOPI".

Untuk mendengar kenyataan oleh saudara Dato' Mukhriz Tun Dr Mahathir tentang "ISU TAKUT", anda boleh melihat Video di sebelah kanan blog ini yang bertajuk "UMNO PERLUKAN REFORMASI". Selamat menonton!



Klik pada gambar untuk membaca dengan lebih jelas

Pemuda Pelapis
Kehancuran Umno dan BN juga adalah kerana Najib yang bersikap "YES MAN" terhadap segala tindakan Abdullah

Sejak Abdullah dan Najib mengambil tempat sebagai pemimpin nombor satu dan nombor dua negara, kita dapat melihat mereka telah mempamerkan kepada rakyat kepimpinan yang terlalu banyak DOLAK DALIH dan menjadikan POLITIK sebagai GELANGGANG TEST MARKET mereka.


Abdullah dan Najib lebih sesuai diibaratkan sebagai "Syok Sendiri" dan "Gila Kuasa". Bak kata orang kebanyakan, "Biar Papa, Asal Bergaya".

"Syok Sendiri" dan "Gila Kuasa" yang dimaksudkan adalah berdasarkan kepada banyak kemungkinan yang diperkatakan rakyat. Hanya mereka sahaja yang lebih tahu agenda-agenda penting mereka di sebalik tabir walaupun asakan demi asakan daripada banyak cawangan, bahagian dan majoriti rakyat meminta REFORMASI besar-besaran dilakukan di dalam Umno dan Barisan Nasional tetapi tetap tidak mahu diendahkan dan masih mahu mempertahankan keadaan yang dilihat amat genting. Masih lagi memperkatakan majoriti rakyat masih menyokong mereka walhal itu adalah "kenyataan terbalik" atau "kenyataan songsang" yang sengaja diada-adakan untuk tujuan menyedapkan hati dan perasaan sendiri serta "MEMBOHONGI" rakyat. Adakah ini dikatakan mereka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab?

Soal "Biar Papa, Asal Bergaya" yang dimaksudkan di sini adalah tentang tiadanya lagi sokongan majoriti dan bukan merujuk kepada isu kebendaan kerana rakyat sedia maklum mereka memang sudah pun kaya raya. Mereka tidak segan silu "Papa - Tanpa Sokongan Majoriti" tetapi masih mahu "Bergaya - Sebagai Pemimpin Tertinggi" yang terus berusaha mahu "menegakkan benang yang sudah basah".

Politik "DOLAK DALIH"

Kita faham semua orang tahu untuk berjaya dan hebat di dalam karier politik, seseorang itu perlu bijak bercakap, perlu mahir berhujah dan perlu pandai menjawab soalan-soalan yang diajukan. Inilah yang dikatakan sebagai hebat berpidato untuk meraih kepercayaan dan pengaruh.

Namun kehebatan itu akan lebih berkesan jikalau pemimpin itu lebih kuat bekerja, jujur dan ikhlas, prihatin masalah rakyat, bertanggungjawab dan komited sebagai "Wakil Rakyat" yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat.

Pemimpin yang disayangi rakyat ialah pemimpin yang ada ciri-ciri yang saya sebutkan itu, di samping bersedia ditegur, dikritik dan dikecam. Pemimpin juga perlu ada sikap "SEDIA AKUI KESILAPAN" dan "AKUR KEPADA KEHENDAK RAKYAT".

Malangnya politik hari ini mempertontonkan sebilangan besar golongan pemimpin yang lebih berkepentingan peribadi daripada mementingkan keperluan rakyat yang semakin bertambah dari hari ke hari. Sebagai rakyat Malaysia, saya amat malu jika masih ada "golongan minoriti" yang mempertahankan pemimpin-pemimpin sebegini.

Negara tidak akan mampu dipacu dengan lebih baik dan lebih telus selagi menyokong golongan pemimpin sedemikian. Mahukah anda semua "BERPUTIH MATA" melihat lebih banyak lagi negeri-negeri lain bakal tergadai ke tangan pembangkang?

Kalau dulu Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan kempen "SATU RUMAH, SATU KOMPUTER" yang kini telah pun melangkaui realitinya.

Sukakah anda jika pembangkang melancarkan kempen "SATU NEGERI, SATU KANDANG BABI MODEN?" Atau...

Kalau dulu kerajaan BN Selangor menyokong kempen "SATU DAERAH, SATU INDUSTRI", berpuashatikah anda jika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sekarang ini bakal berkempen untuk "SATU DAERAH, SATU KANDANG BABI MODEN?"

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Itulah apabila kuasa sudah digenggam dan berada di tangan. Apa pun mereka boleh lakukan. Begitu jugalah kepimpinan tertinggi yang ada pada hari ini. Mereka boleh cipta 'KERAJAAN KELUARGA" dan "KERAJAAN KRONI" mereka seolah-olah rakyat ini sebagai buta, tuli dan bodoh.

Apabila rakyat bangkit pada pilihanraya umum lalu, barulah tersentak Abdullah yang selama ini "TIDUR" dan "LENA" dengan kekayaan yang mampu dijana untuk kepentingan diri sendiri, keluarga beliau dan juga kroni-kroni beliau yang termasuklah Najib. Kerana itulah Najib sanggup menjadi "YES MAN" dan menghulurkan "SOKONGAN YANG MEMBAWA REBAH DAN KEHANCURAN" sebagaimana yang telah berlaku.

Hari ini, Najib masih mahu menjadi "HERO" bagi mempertahankan Abdullah yang secara terang telah ditolak majoriti rakyat pelbagai kaum. Di manakah pendirian Najib? Apakah Najib merasakan pendirian beliau itu sebagai "BETUL?" Nilai-nilailah sendiri...

Abdullah terlalu banyak "BERDOLAK DALIH" di dalam keputusannya sendiri. Semasa membuat kenyataan selepas PRU12 beliau jelas menyatakan pendirian beliau untuk tidak memberi ruang di dalam Kabinet beliau kepada pemimpin-pemimpin yang tewas di dalam pilihanraya tersebut tetapi kita nampak masih juga ada pemimpin yang diangkat masuk ikut "PINTU BELAKANG" seperti Shahrizat Abdul Jalil contohnya.

Contoh lainnya adalah beberapa pemimpin yang tidak bertanding tetapi diberi ruang di dalam kabinet atas tiket sebagai "SENATOR" seperti Zaid Ibrahim, Muhammad Muhd Taib dan Dr Mashitah. Jika ada beberapa lagi yang tak disebut, anda tambah-tambahlah sendiri. Apa yang saya nak sampaikan adalah soal sikap "DOLAK DALIH" Abdullah supaya semua orang faham.

Buang masa jika mahu menghuraikan terlalu banyak fakta-fakta yang telah mereka "DOLAK DALIH". Abdullah, Najib dan kroni-kroni mereka sebenarnya telah banyak membazirkan masa rakyat selama ini. Berundurlah sebelum situasi negara menjadi lebih huru-hara dan hancur musnah. Kita tidak mahu PEMBERONTAKAN yang dianggap "BUKAN TRADISI" bakal menjadi "TRADISI" kepada rakyat yang bangkit memberontak dengan kekerasan. Jika sekiranya ia berlaku pun, itu bukan salah rakyat tetapi pemimpinlah yang "WAJIB BERTANGGUNGJAWAB".

Kenapa saya katakan begitu? Kerana rakyat telah memberi isyarat tetapi masih tidak mahu faham. Masih juga berterusan BERDOLAK DALIH tanpa jemu dan tanpa rasa bersalah.

Politik "TEST MARKET"

Saya menamakan politik di bawah kepimpinan Abdullah dan Najib sebagai "Politik TEST MARKET" kerana banyak sebab.

Pertamanya, Abdullah terlalu ghairah untuk dipuji rakyat sebagai seorang pemimpin yang kononnya 'ANTI RASUAH" dengan memeranginya secara besar-besaran. Memerangi "ISU RASUAH" menjadi agenda utama Abdullah sejak mengambil-alih kepimpinan negara seolah-olah di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dulu tiada usaha ke arah membanteras rasuah. Adakah untuk mengaburi mata rakyat?

Di sini saya telah ada kemusykilan awal terhadap Abdullah dan barisan kepimpinannya. Dari dulu lagi saya sudah menganggap usaha ini hanya sebagai "WAYANG KULIT" yang dimainkan Abdullah.

Keduanya, Abdullah cuba membentuk pemerintahan beliau sebagai satu "DINASTI BARU" yang memartabatkan kaum keluarga beliau sendiri, baik dalam politik mahupun ekonomi. Di dalam politik, Abdullah telah berjaya menonjolkan menantunya Khairy, manakala pada ekonomi pula, Abdullah telah memperjuangkan empayar perniagaan anak lelaki beliau, Datuk Kamaludin Abdullah di dalam "Scomi Group".

Di dalam masa yang sama, Abdullah mahu tengok apa tindakan Najib. Walaupun Najib sedar ini tidak betul tetapi demi memelihara kedudukan untuk kekal sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri maka terpaksa "BUAT-BUAT BUTA" dan "BUAT-BUAT TULI DAN PEKAK". Mungkin Najib hanya boleh beri pandangan, jika itu yang Pak Lah kata baik maka baiklah pada saya. Hakikat sebenarnya di dalam hati Najib, beliau tak bersetuju dengan kaedah Abdullah itu tetapi terpaksa akur. Itulah yang rakyat nampak pada awalnya.

Ketiganya, Abdullah cuba hendak menonjolkan kewibawaannya sendiri sebagaimana Tun Dr Mahathir membawa pembangunan dan pemodenan kepada negara.

Sejak Tun berundur, segala perancangan pembangunan dan ekonomi telah banyak disusunatur dan ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir untuk Abdullah meneruskannya secara berperingkat-peringkat dengan perbelanjaan yang telah ditentukan tetapi Abdullah mahukan kelainan dengan kaedah beliau tersendiri dengan harapan supaya rakyat dapat menilai bahawa beliau juga berkebolehan seperti Tun.

Tapi apa yang berlaku adalah meleset kerana Abdullah telah melaksanakannya secara "TUNGGANG LANGGANG" tanpa ikut kepentingan yang mana sepatutnya dijadikan "KEUTAMAAN" dan yang mana pula sepatutnya di 'KEMUDIANKAN" demi memberi faedah dan manfaat kepada rakyat seluruhnya. Apa yang dilakukan Abdullah itu bukan mendapat pujian tetapi kecaman hebat daripada rakyat kerana memberi kelebihan kepada tokoh-tokoh korporat untuk menambahkan lagi kekayaan mereka.

Rumusan Ringkas

Akibat daripada terlalu banyak sangat DOLAK DALIH dan TEST MARKET maka inilah keputusannya pada hari ini. Rakyat telah bangkit memberi isyarat kepada pemimpin supaya tidak berterusan memperbodoh-bodohkan rakyat.

Dari penggal ke penggal pilihanraya umum mengambil masa di antara 4 tahun hingga 5 tahun yang merupakan masa penting kepada rakyat yang perlu dimanfaatkan bersama untuk keselesaan serta kesejahteraan dan bukan untuk dibazirkan. Sebagai peneraju kepimpinan, tidak seharusnya menjadikan politik sebagai "GELANGGANG PERCUBAAN" untuk "DOLAK DALIH" dan "TEST MARKET".

Banyak masa rakyat terbazir begitu sahaja dan fahamilah bahawa sebilangan besar rakyat bukan terdiri daripada golongan berada. Kemiskinan dan kedhaifan masih lagi belum mampu diatasi kerajaan. Negara kita belum mencapai ke tahap sebuah "NEGARA MAJU" kerana sesebuah negara maju mampu memperuntukkan "ELAUN PENGANGGURAN" kepada rakyatnya.

Buatlah sesuatu usaha yang boleh membantu ekonomi rakyat secara adil dan bukan untuk kepentingan individu-individu tertentu sahaja. Rakyat tahu setiap pemimpin atasan telah dibayar elaun puluhan ribu ringgit sebulan dan tidak akan merasa kesusahan menghadapi kenaikan kos hidup.

Kini TEMPOH PERCUBAAN tersebut telah cukup dan memadai. Tidak perlulah lagi menagih simpati rakyat supaya diberi masa untuk melakukan usaha-usaha pemulihan. Serahkan sahaja tampuk kepimpinan kepada generasi baru yang lebih berwibawa dan berkemampuan untuk memulihkan keadaan setelah apa yang berlaku akhir-akhir ini.

Pemuda Pelapis
"Leader In Waiting"

Pakatan Rakyat PKR-PAS-DAP menganggap Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai "LEADER IN WAITING" untuk menduduki jawatan Perdana Menteri, bagaimana pula dengan nasib Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang diura-urakan Pak Lah sebagai bakal penggantinya jika sampai masanya beliau berundur nanti?


Desas-desus kedengaran di sana sini mempersoalkan perkara ini. Terbaru, saya dan rakan-rakan cuma mampu tersenyum mendengar "cakap-cakap kedai kopi" daripada suara hati rakyat. Ada yang mengatakan kedudukan sekarang 50-50 untuk Anwar dan Najib bergantung kepada konflik dalaman Umno sendiri pada masa ini samada cepat diselesaikan atau pun tidak. Di sudut mudahnya, memanglah Najib tetapi "MISSION IMPOSSIBLE" boleh juga berlaku kalau silap percaturannya.


Kenapa agaknya mereka kata begitu? Semua orang tahu hakikatnya sekarang ini BN yang memerintah kerajaan persekutuan walaupun menang tipis. Adakah kemungkinan berlakunya penghijrahan pemimpin-pemimpin BN kepada Pakatan Rakyat untuk melayakkan pembentukan kerajaan persekutuan yang baru bagi merealisasikan impian Anwar yang bercita-cita tinggi mahu menjadi PM?


Apakah sudah sampai masanya untuk Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai PM dan membiarkan Najib melopong menanti hari dan saat?


Secara dasarnya ia tidak semudah itu kerana pilihanraya kecil perlu diadakan jika ini benar-benar berlaku dan Anwar sendiri haruslah terlebih dahulu bergelar Ahli Parlimen di mana-mana kawasan yang bakal diberi laluan samada oleh isteri beliau ataupun anak perempuan beliau. Ada sesetengah pihak mengatakan MB Selangor, Khalid Ibrahim dan Azmin Ali turut bersedia memberikan laluan mudah kepada Anwar di kerusi Parlimen yang dimenangi mereka masing-masing di Bandar Tun Razak dan Gombak.


Pendekata, rakyat seolah-olah amat menantikan satu revolusi besar untuk berlaku di dalam pentadbiran kerajaan persekutuan. Mereka tidak kisah parti mana pun yang memimpin kerajaan persekutuan asalkan perubahan perlu dibuat segera. Rata-rata rakyat teramat bosan dengan kepimpinan yang ada sekarang.


Oleh itu, jikakalau BN masih mahu berwaspada dan mengambilkira semua ini, maka kepimpinan yang ada perlulah akur dengan kehendak majoriti rakyat yang menuntut agar Pak Lah segera berundur supaya keadaan tidak menjadi lebih parah untuk melihat BN terus kecundang dan terjunam.


Bukan hanya setakat itu sahaja, rakyat juga belum tentu merestui Najib untuk menerajui Negara bagi menggantikan Pak Lah jika berlandaskan rekod serta kredibiliti beliau yang sudah tercemar di bawah kepimpinan Pak Lah selama ini.


Individu yang dilihat lebih layak adalah Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein. Apakah dengan kenyataan awal Hishammuddin sebelum ini yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sebagai satu bayangan ke arah matlamat tersebut untuk bertanding jawatan Presiden Umno dan sekaligus menjadi Perdana Menteri?


Jika benar bagai yang dikatakan itu, siapakah pula bakal Timbalan Perdana Menteri? Adakah Najib tetap berada di situ atau dilenyapkan terus? Apa yang rakyat nampak dari riak wajah Najib, beliau kian resah dan tidak keruan bak cacing kepanasan dalam situasi semasa sementara menunggu nasibnya ditentukan Disember nanti.


Atau juga kemungkinan di dalam kekalutan kononnya Mukhriz diheboh-hebohkan bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno itu hanya sebagai "gimik" sedangkan di saat-saat akhir nanti ke jawatan Timbalan Presiden pula beliau bertanding? Apakah ini sebagai satu teka-teki?


Apa yang pasti masing-masing telah ada ramalan tersendiri dan semua orang tidak sabar menunggu harinya.


Pemuda Pelapis

Ketua Menteri Melaka - Mohd Ali Rustam

Diambil daripada kenyataan beliau, "Semua pemimpin BN khususnya Umno diminta mewujudkan laman blog masing-masing bagi menyaingi 240 laman serupa yang dihasilkan pihak tertentu yang majoritinya menyokong pembangkang".

Kata Naib Presiden Umno itu lagi, "Usaha itu sebagai menyokong langkah beberapa pemimpin Umno dan komponen BN lain yang mula mewujudkan laman blog masing-masing selepas Pilihanraya Umum Ke-12. Laman blog ini wajar diwujudkan segera bagi menerangkan aktiviti selain membolehkan masyarakat berinteraksi secara terus dengan pemimpin tanpa mengira waktu".

Ketua Menteri Melaka itu menyambung kenyataan, "Setakat ini Umno sudah mula menggunakan khidmat pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk membantu menghasilkan laman blog di kalangan pemimpin parti supaya dapat menangkis dakyah pelbagai blog yang rata-rata cenderung menyokong pembangkang".

Merujuk kepada kenyataan beliau itu, saya suka memberi komen bahawa hasrat beliau itu memang bagus dan bertujuan baik tetapi "sudah terhantuk baru terngadah" dan kenapa sebelum ini tidak pernah ada terlintas di fikiran semua pemimpin-pemimpin Umno dan BN? Kenapa selama hari ini semuanya "lalai dan cuai" di dalam mencari suatu usaha pendekatan diri dengan rakyat?

Berkenaan 240 laman blog bahkan sebenarnya lebih daripada jumlah itu, yang telah dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu yang dianggap Mohd Ali Rustam sebagai lebih cenderung menyokong pembangkang sebenarnya tidak betul. Dengan menilai kemarahan, kritikan dan kecaman mereka sebagai tidak menyokong kerajaan adalah satu "persepsi yang salah". Sebagai pemimpin beliau sepatutnya lebih bersifat terbuka dan positif.

Kembali kepada zaman perjuangan Islam dahulu, ketika Rasulullah SAW memperjuangkan Islam, baginda tidak memandang musuh-musuh baginda sebagai tidak menyokong baginda tetapi baginda Rasulullah SAW menilai di sudut positif dengan menganggap musuh-musuh tersebut sebagai "tiada berilmu" sebagaimana apa yang ada pada diri baginda dan semua para sahabat baginda.

Pendekatan yang diambil baginda Rasulullah SAW ke arah merapatkan perhubungan dengan musuh-musuh baginda haruslah dicontohi oleh pemimpin-pemimpin kita pada hari ini untuk menarik golongan berkenaan bagi menyampaikan ilmu dan apa sahaja perjuangan yang dibawa demi ke arah kebaikan dan bukan dengan cara menyisihkan mereka.

Baginda Rasulullah SAW berpegang teguh pada "hakikat kebenaran" dan tidak khuatir atau tidak takut dengan segala ancaman musuh-musuh. Akhirnya kita semua tahu bahawa Rasulullah SAW telah berjaya di dalam perjuangannya di dalam usaha menegakkan syiar Islam dan di antara musuh ketat baginda yang akhirnya turut memeluk Islam dan sanggup berkorban memperjuangkan Islam ialah Sayyidina Umar Al-Khattab, yang telah diangkat darjat sebagai "Sahabat" baginda Rasulullah SAW.

Jika semua pemimpin Umno berpaut kukuh kepada Al-Quran dan Hadis sebagai panduan perjuangan, insyallah segala kemungkaran, kepincangan, penyelewengan atau apa sahaja masalah di dalam soal-soal kepimpinan tidak akan timbul malahan menjadikannya lebih teguh. Rakyat tidak marah kepada parti tetapi rakyat amat marah kepada pemimpin-pemimpin parti yang tidak betul perjalanan politiknya.

Kembali untuk saya menambah sedikit komen tentang laman blog tersebut. Kenapa pemimpin Umno dan BN mesti mahu membazirkan lagi wang ringgit rakyat untuk menggunakan khidmat pakar ICT di dalam menghasilkan laman blog yang amat mudah itu? Saya yang tidak tahu ICT dan tidak pernah berkursus pun begitu mudah menyediakan laman blog percuma ini. Apakah perlu semua itu?

Atau pemimpin Umno/BN mahukan sebuah laman yang kelihatan amat canggih dan menarik?

Tidak perlu semua itu kerana yang lebih mustahak adalah keikhlasan dan kesedaran pemimpin sudah cukup untuk rakyat, di samping memuatkan isikandungan topik-topik semasa untuk diperbincangkan bersama rakyat.

Untuk menangkis dakyah-dakyah pembangkang sebenarnya bukanlah susah sangat tetapi ia menjadi begitu sukar disebabkan pemimpin-pemimpin Umno/BN sendiri yang tidak mahu sedar dan tidak mahu berubah.


Jika mahu rakyat kembali menyokong sepertimana dulu, caranya amatlah mudah. Hanya perlu mengadakan "REFORMASI" menyeluruh dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat tertinggi. Insyallah segala-galanya akan "terubat". Itulah rahsia "PENAWAR" yang terbaik yang saya nampak jelas kerana itu adalah kehendak rakyat yang majoriti.

Formulanya amat mudah. MAJORITI = KEMENANGAN dan MINORITI = KEKALAHAN.

Kalau Umno/BN terus berdegil atau "ketegak" bak kata orang Utara, masih mahu tunduk kepada kehendak pemimpin "minoriti" yang segelintir yang berkepentingan peribadi maka jawapannya "TIADALAH SOKONGAN MAJORITI RAKYAT" dan selagi itulah masalah demi masalah akan pasti timbul.

Sebelum saya mengakhiri komen ini untuk topik yang dibangkitkan oleh Mohd Ali Rustam, saya cuma mahu berpesan kepada Ketua Menteri Melaka itu supaya mengaktifkan laman blog beliau itu dan dikemaskini dari semasa ke semasa sebagaimana langkah yang diambil oleh Dr Mohamad Khir Toyo dan jangan hanya pandai bercakap dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kosong yang tiada apa-apa makna yang kononnya "rakyat dan pemimpin boleh beriteraksi secara terus tanpa mengira waktu".

Jangan sampai saya dan ramai lagi di luar sana mula melabelkan Mohd Ali Rustam sebagai "Cakap Tak Serupa Bikin".

Pemuda Pelapis

Zahid Hamidi


suatu ketika beliau "Murtad Umno"
kini tidak tahu menilai untung nasib diri
setelah diterima semula ke dalam Umno



Dipetik kenyataan Zahid Hamidi baru-baru ini yang menempelak dan menghina bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "gila talak politik" adalah "terlalu kurang ajar dan teramat biadab".

Zahid Hamidi sebenarnya telah lama diperhatikan rakyat sebagai manusia "Talam Dua Muka" atau sebagaimana yang selalu saya perkatakan sebagai "Pengampu Hebat" yang tidak perlu lagi berada di dalam Umno. Suatu ketika dulu beliau pernah keluar Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat untuk bersekongkol menyokong Anwar Ibrahim.

Jika Zahid Hamidi ikhlas dan jujur dengan perjuangan Umno, apa pun kemelut yang melanda parti, beliau tidak seharusnya meninggalkan Umno pada ketika itu. Saya nampak Zahid hanya sebagai manusia yang "tiada pendirian teguh" di dalam perjuangan Umno. Dia juga telah lama saya labelkan sebagai "Lalang" dan Zahid patut bersyukur apabila beliau diterima semula ke dalam parti Umno ketika Tun Dr Mahathir masih menjadi Presiden Umno.

Mungkin pada ketika "Murtad Umno" dan duduk dalam PKR dulu merasakan karier politiknya tidak stabil dan tiada jaminan maka itulah terpaksa buat "lembik tengkuk" dan memohon maaf kepada Umno untuk kembali menyertai semula.

Nasihat saya kepada seluruh pejuang-pejuang Umno dari barisan pelapis muda agar berwaspadalah dengan Zahid Hamidi dan sentiasalah ekori aktiviti beliau kerana saya menaruh keyakinan kuat bahawa manusia sebegini "amat merbahaya" kepada parti. Kita takut beliau mempunyai agenda tersendiri untuk berperanan dari dalam Umno sebagai "duri dalam daging" di dalam suasana PKR sudah ada sedikit kuasa di beberapa negeri sekarang ini.

Tidak mustahil Zahid Hamidi sekali lagi menjadi seorang yang "Pembelot" dan juga "Pengkhianat Umno" atau mungkin "Tali Barut" kepada Anwar Ibrahim.

Saya amat berharap kepada Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil langkah berjaga-jaga daripada sekarang terhadap Zahid Hamidi dan ramai lagi barisan kepimpinan yang ada, yang telah dikesan sebagai "Talam Dua Muka" dan "Pengampu Hebat".

Semoga pada pemilihan parti Disember 2008 akan datang, seluruh perwakilan disarankan supaya tidak perlu lagi memberi sokongan kepada "Pengkhianat" parti seperti Zahid Hamidi serta mereka-mereka yang sehaluan dengannya.

Diminta Zahid Hamidi "MENCERMIN DIRI SENDIRI" dan menilai "MORAL YANG AMAT RENDAH".