Salam sejahtera buat seluruh pengunjung blog Pemuda Pelapis yang saya hormati sekalian. Saya baru sahaja meletakkan satu soalan kajiselidik atau bedah-siasat terhadap keputusan kemenangan tanpa bertanding yang diperolehi oleh Dato' Seri Najib sebagai Presiden Umno yang baru.
Inisiatif ini adalah bagi tujuan mengumpul maklumbalas secara umum terhadap keputusan yang telah diumumkan pada malam 2 November 2008 baru-baru ini. Memandangkan telinga ini mendengar banyak rungutan ketidakpuasan hati di peringkat akar umbi dan juga di pihak rakyat bawahan maka apa kata kita sama-sama menzahirkan rasa puas hati atau rasa tidak puas hati kita semua dengan undian yang disediakan di ruangan sebelah kanan (side bar) blog Pemuda Pelapis ini. Undian bermula sekarang sehingga 23 Mac 2009 - jam 11:59PM (sehari sebelum hari persidangan rasmi nanti).
Keyakinan saya melalui pendapat dan pandangan melalui blog adalah salah satu perantaraan (medium) yang sebenarnya boleh diterimapakai kerana ahli-ahli di akar umbi serta rakyat mampu menyuarakannya secara lebih terbuka dan lebih bebas berlandaskan kehendak hati yang sebenarnya tanpa dipengaruhi rasuah wang sebagaimana yang berleluasa berlaku pada persidangan sebenar di luar sana.
Saya percaya begitu ramai ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi yang merasa terbuku dan terkilan apabila jawatan utama Umno itu gagal menyaksikan pertandingan yang sihat pada persidangan akan datang. Semoga dengan undian kita di alam siber ini adalah satu keputusan suara umum agar para pemimpin tertinggi dapat melihat dengan lebih jelas apakah sebenarnya kehendak hati ahli-ahli Umno di akar umbi dan juga rakyat secara amnya.
Andaikata keputusan undian di sini tetap juga bakal menyebelahi Dato' Seri Najib dengan maklumbalas "setuju" sebagaimana pengumuman yang telah dibuat maka barulah adil untuk kita semua menerima beliau sebagai pengganti Dato' Seri Abdullah bagi menerajui parti tunggak pentadbiran negara. Jika keputusan menyebelahi kepada "tidak setuju" atau "curiga" maka sesuatu tindakan adalah wajar dilakukan oleh pihak berwajib bagi menyiasat dakwaan tentang adanya "politik wang" sebagaimana yang didakwa semasa proses pencalonannya. Selamat mengundi!
|
Bagaikan pepatah seekor ayam, "bertelur sebiji riuh sekampung" itulah perumpamaan yang lebih sesuai kita anugerahkan kepada kabinet pimpinan Pak Lah dan Najib. Apakan tidaknya, setiap keputusan yang dirasakan popular oleh mereka maka media arus perdanalah yang menjadi kuda tunggangan mereka untuk melompat terkinja-kinja memukul gendang agar semua rakyat tahu kebaikan mereka.
Selepas penurunan harga minyak diesel dan petrol, sejak semalam hingga ke hari ini heboh pula tentang penurunan harga beras yang tidak seberapa. Apakah istimewanya harga beras turun sebanyak RM0.20 sekilogram (20 sen) yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamed kononnya mampu meringankan bebanan rakyat sedangkan ianya naik berlipat kali ganda sehingga ada yang mencecah RM1.50 - RM2.00 sekilogram?
Sebagai satu contoh ialah beras super cap rambutan yang sering saya makan seisi keluarga. Sebelumnya harga beras ini hanyalah lebih kurang RM18.00 untuk paket 10kg bermakna RM1.80 sekilogram. Pada peringkat awal kenaikan mendadak harganya ialah RM38.00 untuk paket 10kg bermakna RM3.80 sekilogram (naik sehingga RM2.00 sekilogram).
Kemudian telah turun sedikit pada bulan Ramadhan yang lalu sebanyak RM0.30 sekilogram menjadikannya RM3.50 sekilogram atau RM35.00 untuk paket 10kg. Semalam saya baru sahaja membeli sepaket 10kg yang baru pada harga RM33.00 yang bermakna harganya masih pada tahap RM3.30 sekilogram. Apakah harganya tidak berkuatkuasa serta-merta setelah kerajaan membuat pengumumannya?
Kenapa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak membuat pemantauan yang serius ke atas semua peniaga? Apakah semua kakitangan penguatkuasa kementerian ini hanya makan gaji buta? Sepatutnya apabila harga telah diketahui awal untuk diturunkan maka persiapan penguatkuasaan telah bersiap-sedia untuk menjalankan tugas-tugas pemantauan.
Kenapa kerajaan meletakkan seorang menteri yang terencat akal untuk mentadbir KPDNHEP? Sukar sangatkah untuk bertindak menjadi "master mind" kepada kementerian yang diterajuinya? Apakah hanya pandai bercakap merapu-rapu sahaja daripada membuat kerja? Saya tidak nampak Datuk Shahrir Samad sebagai seorang yang berkelayakan untuk memegang jawatan ini. Beliau hanya layak memegang jawatan sebagai "office boy" pejabat Perdana Menteri sahaja.
Malang nasib kita sebagai rakyat yang sering dibebani dengan masalah-masalah yang dibawa oleh kerajaan tetapi tidak bijak dan tidak cekap menanganinya kembali. Kerajaan sewajarnya menjadi pelindung kepada rakyat tetapi apa yang sering berlaku ialah kerajaan gemar memberi masalah dan beban untuk ditanggung rakyat. Situasi ini ketara sejak kita berada di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-5 dan barisan kabinetnya. Apakah Perdana Menteri ke-6 bakal mewarisi sindrom penyakit yang sama atau lebih teruk lagi?
Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Jangan ke mana-mana, kita bersama lagi selepas ini. (bagaikan ayat Buletin Utama yang popular dan sering kita dengar)
|
Isu semasa ialah berkenaan harga minyak (petrol dan diesel) yang turun lagi. Sebagai rakyat tentulah hal sedemikian disambut baik cuma kita merasa sedikit hairan bilamana harganya boleh naik melambung secara mendadak pada kadar yang amat luarbiasa tetapi turun pada kadar yang tipis secara berperingkat-peringkat. Kita semua faham kenaikannya dahulu berasaskan pasaran harga minyak dunia.
Di sini saya ingin bersuara memberi satu kesedaran minda buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa sahaja agama dan bangsa asalkan bernama warganegara. Saya tetap bersyukur dengan perkembangan positif ini tetapi masih mahu mengingatkan para pemimpin supaya janganlah terus-menerus memperbodoh-bodohkan rakyat kerana rakyat semua tidak buta mata, tidak buta hati dan tidak buta minda. Cukup-cukuplah bermain "silap mata" atau mendendangkan "tarian gamelan" atau juga bermain "wayang kulit" yang masih mampu dihidu rakyat.
Pada dasarnya harga minyak boleh diturunkan serentak tanpa perlu dilakukan berperingkat-peringkat sepertimana pengumuman demi pengumuman sudah tiga empat kali sejak akhir-akhir ini, hanya menyusahkan para pengusaha stesen minyak untuk mengubahlaras harga pada pam-pam minyak di stesen mereka. Kerajaan tidak perlu cuba menunjukkan ehsan atau sikap baik hati kononnya telus dan bertanggungjawab terhadap rakyat walhal di sebaliknya cuba mahu mengambil kembali hati rakyat setelah dirobek sebegitu hebat sebelumnya. Bukan sengaja hendak mempertikaikan usaha baik kerajaan tetapi menyampah dengan sikap para pemimpin yang lebih bermuka-muka.
Terus-terang saya katakan situasi yang berlaku tentang penurunan harga minyak ini untuk beberapa kali kebelakangan ini hanyalah satu pengumuman bagi mendapatkan publisiti murahan di media-media massa dengan harapan supaya rakyat kembali berterima kasih kepada kerajaan yang kononnya prihatin menjaga kepentingan rakyat. Jika dahulu semasa harga minyak naik melambung secara mendadak, Pak Lah mengatakan beliau membuat satu pengumuman yang tidak popular. Apakah pengumuman penurunan harga minyak sebanyak tiga empat kali ini diibarat pula sebagai satu pengumuman untuk mencari populariti? Tidakkah ini boleh dianggap sebagai satu persoalan?
Apakah juga ianya satu kebetulan dalam kehangatan pencalonan pemilihan Umno sekarang ini? Sejak saya remaja sehingga kini sudah terlalu dewasa, situasi kebetulan terlalu banyak dan kerap berlaku untuk dihidangkan kepada rakyat. Contohnya bila hampir pilihanraya umum atau pilihanraya kecil maka akan adalah sedikit usaha membawa apa-apa sahaja kemajuan seperti menurap tar pada jalan-jalan kampung, membina dewan serbaguna, menghulurkan bantuan kewangan kepada fakir miskin, meluluskan projek itu dan pembiayaan ini, penambahbaikan sistem itu dan ini dan sebagainya. Apakah kerajaan fikir rakyat tidak nampak semua permainan tersebut?
Jika saudara dan saudari tidak percaya, tunggulah dalam sedikit masa lagi pasti harga minyak akan turun lagi sedikit demi sedikit walhal ianya telah dirancang dengan begitu teliti oleh penguasa-penguasa yang cukup hebat bersandiwara dengan rakyat. Apalah salahnya jika terus diturunkan ke tahap paling maksima atau menyamai harga asal sebelum kenaikan dahulu? Kenapa perlu ada peringkat demi peringkat dalam masa yang terdekat? Rakyat muak dan terlalu bosan dengan permainan politik kotor kerajaan yang hanya dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.
Jika layak diturunkan sehingga ke tahap maksima, turunkan sahaja sekaligus tanpa perlu mengambil masa berperingkat-peringkat. Kalau naik boleh sekaligus mendadak kenapa nak diturunkan tidak boleh sedangkan ianya sudah wajar untuk diturunkan? Hentikanlah politik lapok yang sudah jauh ketinggalan zaman jika mahu menambat kembali hati rakyat. Tak sungguh tak kata, tak betul rakyat takkan mengata!
|