Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mahathir Mohamad

Apa yang berlaku akhir-akhir ini telah menarik minat sebilangan besar rakyat dan
juga parti-parti lawan. Serang menyerang kenyataan dan berbalas kritikan antara pemimpin nombor satu yang masih berkuasa dengan bekas pemimpin nombor satu yang telah berundur.

Apakah rasionalnya? Apa kata kita rujuk kepada punca dan fakta sebenar.

Kenapa Tun Dr Mahathir agak sering muncul dan mengkritik kepimpinan Pak Lah sejak akhir-akhir ini? Jawapannya ada pada hampir semua orang termasuklah anda dan juga saya. Tun yang mengeluarkan kenyataan demi kenyataan sudah pasti beliau lebih arif tentang apa yang diperkatakannya. Malahan Pak Lah sendiri pun tahu kenapa dia dikecam dan dikritik hebat oleh Tun. Begitu juga semua barisan Kabinet dan ahli-ahli Majlis Tertinggi. Malahan saya turut "tabik spring" kepada golongan remaja belasan tahun yang masih muda mentah apabila secara kebetulan terdengar mereka bijak membuat ulasan.

Inilah rasional yang saya ingin kongsikan kepada semua pembaca. Bukan soal mahu memenangi sesiapa atau pun mahu menyalahi sesiapa tetapi jika kita merasakan kita manusia atau insan yang waras, kita perlu rujuk kepada punca dan menilai kepada fakta. Jangan berlandaskan kepada emosi.

Kepimpinan Pak Lah Secara Ringkas dan Umum

Sejak Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil-alih kuasa kepimpinan secara rasmi pada 31 Oktober 2003 daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Pak Lah adalah pemimpin nombor satu negara yang menerajui barisan Kabinet. Ertikata lain, Pak Lah adalah Perdana Menteri dan harus bertanggungjawab secara langsung dengan sepenuhnya untuk memikul satu beban yang amat besar bagi mentadbir negara.

Jatuh bangun, maju mundur dan apa sahaja kemelut yang melanda adalah atas kebijaksanaan Pak Lah untuk menerajuinya dan juga mengatasinya dengan dibantu barisan Kabinet yang bertindak sebagai jentera kerajaan di peringkat tertinggi. Apa pun Pak Lah adalah "Master Mind" dan segala arahan datangnya daripada Pak Lah.

Jika ada pun Menteri Kabinet lain yang memberi arahan tetapi mesti mendapat persetujuan Pak Lah terlebih dahulu dan barulah tindakan dapat dilakukan.

PRU11 pada tahun 2004 merupakan pilihanraya umum pertama di bawah kepimpinan Pak Lah. Yang pasti, strategi pelaksanaan PRU11 tersebut telah disusunatur dengan baik sebelum Tun mengundurkan diri dan hanya perlu diteruskan oleh Pak Lah sahaja. Kalau ada perubahan pun mungkin tidak banyak yang perlu dilakukan Pak Lah. Hasil PRU11 itu telah membawa satu kemenangan besar yang terus berpihak kepada BN. Ia tidak dinafikan atas kesan pembangunan dan pemodenan yang dibawa oleh Tun ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 dan bukan atas dasar kewibawaan Pak Lah.

Rakyat memandang kemenangan itu belum boleh diambilkira untuk diukur dan dinilai sebagai kewibawaan Pak Lah kerana baru setahun jagung peralihan tampuk kepimpinan daripada Tun pada ketika itu.

Namun Pak Lah telah mula dinilai selepas pembentukan kabinet baru beliau dengan kemenangan PRU11 tersebut sehinggalah ke tarikh PRU12 pada 8 Mac 2008 yang lalu. Selama tempoh lebih kurang 4 tahun 4 bulan Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia, sebagai Presiden Umno dan juga Pengerusi Barisan Nasional, rakyat mula membuat penilaian sebenar terhadap kewibawaan Pak Lah untuk dibandingkan dengan kewibawaan Tun Dr Mahathir yang telah memegang jawatan tersebut selama 22 tahun.

Rumusan kebanyakan rakyat mendapati bahawa kerajaan yang diterajui Pak Lah agak lembap, lembik dan longgar. Tidak padat dan padu sebagaimana pemerintahan di era Tun dahulu yang lebih menonjol dan berwibawa.

Pak Lah telah gagal menyelesaikan banyak isu-isu rakyat serta mengabaikan kepentingan ekonomi rakyat. Banyak projek pembangunan tidak seimbang dan tidak memberi apa-apa kesan manfaat kepada rakyat. Yang mendapat imbuhan hanyalah orang-orang korporat dan untuk kepentingan pemimpin-pemimpin yang berkuasa serta individu-individu tertentu sahaja.

Projek-projek IKS dan perniagaan hanya sekadar "indah khabar dari rupa" di mana pengumuman dan pelaksanaannya yang tidak selaras. Rakyat sendiri dinafikan apabila memohon meskipun syarat-syarat telah dipenuhi. Terlalu banyak birokrasi berlaku di peringkat agensi IKS yang langsung tidak mampu dipantau Pak Lah dan barisan Kabinet Pak Lah. Tiada sebarang tindakan diambil walaupun aduan telah dibuat oleh rakyat.

Projek-projek besar diutamakan untuk golongan korporat yang telah sedia kaya raya di samping menumpukan perhatian lebih kepada pelabur-pelabur asing untuk diberi keutamaan yang melampaui batasan sehingga rakyat memberontak.

Begitulah antara luahan hati rakyat yang tidak berpuashati dengan kepimpinan Pak Lah.

Lebih buruk lagi keadaan apabila secara tiba-tiba dan mendadak munculnya pula Khairy menantu Pak Lah pada tahun 2004 itu, yang diangkat mudah sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau. Tidak habis di situ tetapi dinobatkan pula sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat yang diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding untuk jawatan berkenaan.

Adakah ini satu tindakan yang betul? Kenapa bayangan Khairy tidak menjelma lebih awal sebelum Pak Lah menjadi Perdana Menteri? Ini semua adalah tanda tanya rakyat yang tidak berpuashati dan masih belum dijawab oleh Pak Lah sehingga kini secara terbuka sebagaimana Pak Lah membalas kritikan Tun semalam (6 April 2008). Daripada Khairy juga tiada jawapan.

Di sinilah sebenarnya telah mula berputik kemarahan rakyat yang merasakan Pak Lah tidak adil, tidak bijak mentadbir kerajaan dan mementingkan diri sendiri dan keluarga. Ekoran daripada peristiwa ini, segala langkah dan tindak tanduk Pak Lah mula dinilai rakyat. Pantang ada kesilapan atau kelemahan maka rakyat akan mengambilkira. Salahkah rakyat menilai? Bukankah Malaysia mengamalkan demokrasi?

Isu-isu lain yang dipantau rakyat seperti isu "Scomi Group" turut mendapat perhatian rakyat kerana ramai yang tahu bahawa satu-satunya anak lelaki Pak Lah terbabit dan ada kepentingan di situ.

Komen Pak Lah Atas Prestasi Buruk Umno dan BN Pada PRU12

Di antara isu-isu yang diutarakan Pak Lah terhadap prestasi buruk Umno dan BN pada PRU12 - 8 Mac 2008 yang lalu adalah:

1. Berlakunya sabotaj daripada ahli-ahli Umno sendiri termasuklah ahli-ahli parti komponen BN yang lainnya.

2. Kenyataan, kritikan dan kecaman Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba memecah-belahkan perpaduan.

3. Kes Hindraf di mana kaum Hindu telah mengalih pandangan untuk menyokong parti lawan.

Apa yang telah disebutkan Pak Lah terhadap ketiga-tiga isu tersebut sebenarnya tidak cukup kuat untuk dijadikan alasan yang kukuh. Rakyat tidak mahu mendengar alasan demi alasan daripada pemimpin nombor satu negara setelah apa yang berlaku. Rakyat melihat di sudut pengurusan dan pentadbiran parti yang tidak betul sejak mengambil-alih pucuk pimpinan.

Jika pengurusan parti ditadbir secara berhemah dan dengan penuh ketelusan maka soal sabotaj tidak akan timbul. Kita wajib mengkaji daripada punca asas, kenapa sabotaj boleh berlaku? Jawapannya kerana ahli-ahli bawahan di akar umbi tidak berpuashati di atas kepimpinan Pak Lah dan barisan kepimpinan tertinggi yang ada.

Apakah perlu untuk menuding jari kepada orang lain? Siapakah yang memimpin parti? Siapa pula yang memberi arahan dan membuat keputusan?

Isu kedua yang kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad cuba memecah-belahkan perpaduan adalah tidak betul sama sekali. Sebagai rakyat di dalam sebuah negara demokrasi, saya menyelar kenyataan Pak Lah dan semua pemimpin-pemimpin Umno yang tidak bertanggungjawab menyokong kenyataan tersebut. Mereka yang menyokong kenyataan itu adalah pengampu-pengampu yang cukup hebat yang ada agenda tersendiri.

Bodoh sangatkah Tun seorang bekas Perdana Menteri mahu melihat negara huru-hara dan hancur? Ke manakah jasa Tun selama 22 tahun mentadbir kerajaan? Adakah kenyataan itu hanya untuk mendapat satu kepuasan diri kerana merasa marah atas segala kritikan Tun? Apakah dengan kenyataan itu mampu mempengaruhi minda rakyat? Kenyataan itu dinilai tidak lebih daripada "meminta simpati rakyat".

Sukakah Pak Lah dan semua barisan yang menyokong kenyataan itu untuk dilabelkan oleh rakyat sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab atau sebagai "kacang lupakan kulit?". Kenapa tidak berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan-kenyataan tidak berasas yang hanya mampu digelak-tawakan oleh rakyat?

Tidak dinafikan rakyat bahawa Tun Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang "terbilang" kehebatannya. Banyak bukti nyata yang dapat dinilai rakyat. Tun mendapat sokongan dan pengaruh yang besar atas usaha beliau memajukan negara dan memartabatkan Malaysia di mata dunia.

Tun dinilai rakyat di atas kepintaran beliau yang berjaya menangani krisis matawang yang meruncing pada suatu ketika. Kalau pemimpin Yahudi mampu menghormati Tun, kenapa Pak Lah dan barisan kepimpinannya tidak ada rasa hormat? Memang Tun seorang yang hebat dan kehebatan yang ada pada Tun tidak ada pada Pak Lah dan pemimpin-pemimpin lain.

Kenapa tidak mahu menerima segala kritikan dan kecaman Tun itu sebagai satu "teguran seorang bapa kepada anak?" Beliau menegur kerana dia merasa bertanggungjawab memberi laluan kepada Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan tidak menyangka sebegini teruk kepimpinan Pak Lah sehingga 5 negeri baru jatuh kepada pembangkang dan masih gagal merebut balik Kelantan.

Mujurlah Tun Dr Mahathir telah sempat menyatukan parti-parti di Sabah dan Sarawak ke dalam BN yang mampu menyumbangkan kemenangan mudah (tipis). Apa kata kalau dulu Tun tak lakukan usaha itu? Pak Lah boleh jawab, Najib boleh jawab dan semua pemimpin yang ada pun boleh jawab, di mana kita sekarang agaknya?

Sudah tentulah duduk di bawah tampuk pemerintahan kerajaan campuran pembangkang. Kenapalah pemimpin yang ada tak mampu nak fikirkan tentang perkara ini? Di sini sekali lagi rakyat nampak sebagai usaha dan jasa Tun dan beliau campur tangan dalam keadaan sekarang bukan kerana dia masih gila kuasa tetapi untuk menyelamatkan keadaan supaya prestasi yang lebih buruk tidak akan berlaku. Adakah nak kena tunggu ianya terjadi baru pucuk pimpinan mahu sedar? Renung-renungkanlah!

Baru satu penggal yang tidak sampai pun 5 tahun Pak Lah memerintah negara, perkara ini boleh berlaku. Apakah wajar kenyataan Pak Lah sebelum ini yang masih meminta diberi masa lagi? Dua tiga tahun pertama Pak Lah memimpin, Tun hanya menyepi seribu bahasa tanpa sebarang kritikan terhadap Pak Lah tetapi malangnya rakyat yang menilai dan melabelkan Pak Lah sebagai "tidur". Apakah salah apabila Pak Lah dikejutkan melalui kritikan hebat oleh Tun agar bingkas bangun dan bertindak sesuatu? Apakah Pak Lah masih lena dibuai mimpi dengan apa yang telah berlaku?

Buktikan sesuatu usaha yang realistik untuk mampu menambat hati rakyat dan bukan dengan banyak bercakap atau menabur janji-janji kosong bagi menyedapkan hati rakyat semata-mata. Rakyat menilai segala kenyataan-kenyataan tidak berasas itu sebagai longgar dan rapuh. Begitulah juga dengan kes Hindraf. Persoalannya, kenapa perkara ini boleh berlaku?

Menuding jari tidak menyelesaikan masalah melainkan bertanggungjawab sepenuhnya dan mendengar suara ramai yang meminta Pak Lah supaya "berundur dengan penuh hormat."

Jangan bersikap sebagaimana perumpamaan yang mengatakan, "GAJAH DEPAN MATA KITA TAK NAMPAK TAPI KUMAN SEBERANG LAUTAN KITA NAMPAK".

Ini bukan soal desakan tetapi atas dasar tanggungjawab kerana prestasi yang "teramat buruk" di dalam sejarah perjuangan Umno. Jika jujur sayangkan Umno/BN dan negara, buktikan kepada rakyat dengan menunaikan apa yang rakyat pinta. Rakyat tidak minta wang ringgit atau harta Pak Lah, cukuplah jika Pak Lah berundur. Adakah Pak Lah berterusan mahu bersikap "menafikan?".

Banyak lagi punca dan fakta jika mahu dihuraikan.

Bukti Luahan Hati Rakyat

Hari ini rakyat dan pemimpin mula berdialog dan berbahas di alam maya dengan adanya blog pemimpin Dr Mohamad Khir Toyo yang telah mengambil satu langkah bijak untuk mendekatkan diri dengan rakyat bagi mendapatkan maklumbalas dan mendengar suara hati rakyat.

Topik hangat yang diutarakan oleh bekas Menteri Besar Selangor itu adalah "Kepimpinan Negara dan Isu-isu Rakyat". Kita boleh rujuk blog berkenaan dan cuba memahami setiap komen dan pandangan rakyat yang diluahkan di situ.

Ternyata rakyat amat tidak berpuashati dengan kepimpinan yang ada. Bukan kerana rakyat bencikan Pak Lah tetapi kerana rakyat sayangkan negara dan cintakan perjuangan parti. Rakyat semakin bijak menilai dan mereka mahukan perubahan kepada pucuk pimpinan demi merealisasikan "Wawasan 2020" sebagai sebuah negara maju di dunia.

16 Responses
  1. Unknown Says:

    Syabas. Satu pendapat yang tepat!


  2. Terima kasih saudara Omong...
    Harap dapat sama-sama kongsikan pandangan anda.


  3. Unknown Says:

    Pemuda pelapis telah menabur jasa dengan memberi pendapat berdasarkan fakta. Ramai anak muda masih belum faham keadaan yang sebenar. Sejarah Malaysia amat penting diketahui oleh anak muda yang berpelajaran tinggi. Pandangan mereka kearah meritocracy yang boleh diputar belitkan untuk kepentingan satu kaum sahaja tanpa memberi laluan pada yang lemah.

    Teruskan amalan yang baik ini.


  4. Terima kasih saudara Omong...

    Bersamalah kita menyerapkan segala perkara-perkara hak dan kebenaran di minda golongan muda yang tidak peka dengan situasi sebenar. Semoga dengan izin Allah swt, usaha perjuangan kita yang murni turut direstuiNya dan diberkati sepanjang zaman. Bersatulah kita mengusir pengkhianat-pengkhianat parti demi agama, bangsa dan negara.

    Salam perjuangan!


  5. Memang semua orang nampak.. tapi ade orang hanya nak membutakan mata sahaja..

    Sekarang nie sudah ade bunyi-bunyi ketidak yakinan kepada PM secara meluas...


  6. Mak Ummi Says:

    saya sokong... pandangan saudara contoh paling dekat adalah saya... dalam paper gembar gembur untuk bagi pinjaman perniagaan pada bumiputera hakikatnya lebih sudu dari kuah... nak pinjam macam minta sedekah lagi baik budi bahasa along berbanding mereka yang dikerusi empuk siap bagi nasihat... perniagaan banyak risikolah apalah takut tak boleh bayarlah... come lah kalau rasa tak boleh bayar saya tak pinjam... tapi karenah birokrasi yang menyebabkan sukar untuk saya buat pinjaman... macam macam pinjaman konon tabung usahawan bumiputera ler.. tabung inilah... sememangnya zaman dollah bodohwi akan melihat ramai bumiputera glung tikar... buat kerja macam nak rak tapi dah dekat setahun payment pun tak berbayar malaysia... malaysia..


  7. Terima kasih kepada letting the time pass me by dan juga kepada fedora_core di atas komen anda.

    Memang semua orang nampak PEMBOHONGAN kepimpinan DS Abdullah tetapi majoriti ahli-ahli Kabinet semuanya kayu. Maklumlah kabinetlah katakan... macam KABINET PERABOT! Tak ada otak nak fikir dengan waras. Masing-masing fikir guna kepala lutut. Masuk politik pasal nakkan jawatan dan nakkan kekayaan. Nak berjuang membela nasib rakyat dan negara jauh sekali. Sekurang-kurangnya Tun Dr Mahathir terbukti dengan banyak jasa membangunkan negara dan rakyat memperolehi banyak manfaat.

    Saudara atau saudari fedora_core? Maaf saya tidak pasti. Apa yang anda katakan itu memang benar. Sebelumnya dah banyak komen saya buat di blog-blog pemimpin lain tentang perihal keusahawanan ini. Di zaman Tun Dr Mahathir dulu ramai usahawan bumiputera berjaya dilahirkan dengan cemerlang tetapi di zaman DS Abdullah biol ni ramai pula yang gulung tikar. Yang hanya kaya-raya cuma kroni-kroni dia atau konco-konco dia sahaja. Rakyat biasa melopong ternganga.

    Eloklah kita semua buat SOLAT HAJAT 40 hari 40 malam dan BACA YAASIN banyak-banyak tuju pada PM karut-marut ni agar INNALILLAH... cepat-cepat sikit daripada menyusahkan ramai orang lain. Kerana NILA SETITIK HABIS ROSAK SUSU SEBELANGA.

    Bagi diri saya, dosa-dosa pengkhianatan Abdullah kepada rakyat dan negara tidak akan saya maafkan. Antara dia dengan Tuhan sajalah. Saya sendiri ada banyak bukti di tangan tentang usahawan-usahawan yang dianiayai dengan janji-janji kosong Abdullah dan Najib. Dua-dua spesis sesat akhlak ni memang tak berguna langsung pun kepada negara.


  8. Assalammualaikum para bloggers semua.Saya sangat bersetuju dgn pendapat2 saudara semua.dgn itu marilah kita sama sama hadirkan diri dlm mesyuarat agung cawangan atau bahagian UMNO kerana di sanalah suara kita dpt kita utarakan kepada pemimpin yg mata dan telinga nya telah tertutp.bahkan hatinya jgk sudah tertutup utk menerima kehendak rakyat meminta beliau meletakkan jawatan.Selepas beliau meletakkan jawatan marilah kita melantik seorang PM yg dpt membawa negara kita ke arah cemerlang gemilang dan terbilang,bukan seperti paklah yg membawa kita ke arah cemerlang gemilang dan terlentang.Dan yg paling utama marilah kita membenteras rasuah dlm politik. kerana rasuahlah yg menjadi punya utama kemarahan rakyat..buru perasuah hingga ke lubang cacing.


  9. Anonymous Says:

    BUNGARAYA bercerita,
    Saya tidak lagi tergolong dalam pemuda kerana usia sudahpun 52 tahun pada bulan september lepas.

    Kenapa dibanding Pak Lah dengan Tun Dr Mahathir? sebagai soalan pembuka bicara. TDM memang hebat.
    Banyak jasanya terhadap Bangsanya dan Negaranya Malaysia. Tetapi bukan sedikit yang kini bermuka-muka. Padahal dulu ketika TDM memegang tampuk kuasa, beliau dikeji dan dihina. Ramai yang mengata TDM Mahafiraun. Betul ke tidak? Cuba pula lihat antara yang ada kepada sifat dan sikap TDM yang anda tak suka dan cuba anda pula bicara. Jangan pula anda berpura-pura buat tak tahu?

    Bila pula Pak Lah mengabaikan ekonomi rakyat jelata? Bukankah Pertanian dan perikanan menjadi utama? Kenyataan anda yang mengatakan banyak projek yang tidak seimbang dan tidak mendatangkan manafaat kepada rakat adalah satu kenyataan yang boleh dipertikaikan. Pak Lah berusaha untuk membawa pembangunan ekonomi kemarata Malaysia. Tidak hanya tertumupu disekitar Lembah Klang samata seperti semasa kepimpinan TDM dahulu. Jika ini dibantu oleh rakyat jelata seperti anda, maka sudah tentu nanti akan menjelma menjadi kenyataan. Kenapa kita sangsi dengan program yang spt ini?
    Kenapa anda tak nampak dengan nyata? Salahkah Pak Lah melaungkan slogan Islam Hadhari? Salahkah Pak Lah mencuba untuk menghakis minda rasuah dikalangan pemimpin negara dan kakitangannya? Salahkah Pak Lah mengujukan suasana liberal dalam media massa?

    Jangan hanya nampak yang buruk sahaja. TDM bukanlah baik sangat. Begitu juga Nik Aziz, PaK Hadi, Bang Anwar, Khalid Ibrahim dan yang lain-lain itu. Kenapa kalau pemimpin UMNO buruk semuanya. Anda nampaknya berkepentingan jika berkata-kata.


  10. Menjawab balas pada Anonymous bernama pena BUNGARAYA...

    Salam saudara! Jika benar saudara kini berusia 52 tahun sepatutnya saudara lebih nampak segala apa yang telah berlaku untuk kita perbandingkan ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dengan zaman Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Rakyat semakin hari semakin bijak menilai situasi ekonomi dan juga iklim politik negara.

    Apa yang diperbincangkan di dalam topik ini adalah berdasarkan pada hakikat sebenar yang tidak boleh kita nafikan. Perumpamaan "jauh panggang dengan api" atau "ibarat langit dengan bumi" adalah jelas kelihatan di antara kedua-dua pemimpin. Kita bercakap pada realiti dan kenyataan.

    Sebagai pengganti Tun Dr Mahathir, Pak Lah seharusnya lebih advance kerana Pak Lah tidak perlu lagi berperah otak sebagaimana Tun berfikir. Segala-galanya telah dirangkakan oleh Tun dengan baik dan jelas untuk Pak Lah menjayakannya sebelum Tun meletak jawatan dahulu.

    Tugas Pak Lah hanyalah meneruskan usaha-usaha perancangan Tun sebagai satu kesinambungan ke arah merealisasikan "Wawasan 2020" sebagai sebuah negara maju. Pada dasarnya tidak banyak yang perlu dilakukan oleh Pak Lah tetapi sekadar mempertingkatkan idea-idea secara lebih bernas di dalam usaha penambahbaikan dan mengemaskini apa yang telah dirancang dan ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir untuk diteruskan oleh Pak Lah.

    Memandangkan Pak Lah berkepentingan peribadi untuk mengkayakan diri beliau, ahli keluarga beliau dan kroni-kroni beliau maka segala apa yang telah digariskan oleh Tun semuanya diabaikan dan banyak projek yang telah dibatalkannya tanpa memikirkan risiko masa depan. Ternyata apa yang berlaku hari ini telah menggambarkan ketamakan serta kelemahan diri Pak Lah sendiri sehingga menjejaskan rakyat. Mudah cerita, pentadbiran Pak Lah sebenarnya tunggang-langgang tiada aturan dan tiada etika sebagai seorang yang benar-benar layak digelar Perdana Menteri.

    Membawa sesuatu idea yang baru seperti memajukan sektor pertanian dan perikanan memang bagus dan tidak salah tetapi biarlah ianya seimbang dengan lain-lain sektor yang sedia-ada. Apa yang jelas kita nampak, Pak Lah tidak cekap mentadbir bajet untuk semua sektor secara seimbang sehingga menjuruskan situasi ketidakseimbangan dalam pelbagai sektor lain dan terbukti ramai usahawan-usahawan bumiputera di dalam sektor lain tidak mendapat manfaat daripada perancangan yang dibawa oleh Pak Lah.

    Pendekata di dalam sektor lain pada dasarnya hanya lebih "indah khabar dari rupa" sahaja. Bajet sahaja yang disebutkan di media-media sebagai mengelirukan rakyat namun hakikatnya apabila rakyat memohon hampir 70% dinafikan. Siapakah golongan 30% yang mendapat peluang itu? Tentulah kroni-kroni Pak Lah. Ini juga ada kaitan dengan permainan "silap mata" Pak Lah yang kononnya cuba memerangi rasuah walhal di sebalik tabir siapakah sebenarnya "Raja Rasuah"?. Bukankah beliau sendiri berserta anak, menantu dan kroni-kroni beliau?

    Wajarkah budak-budak di tingkat empat dilantik sebagai badan penasihat Pak Lah selaku Perdana Menteri sedangkan mereka berkepentingan peribadi semuanya? Apakah saudara tidak mengetahui tentang ECM Libra, Scomi dan sebagainya? Siapakah di situ kalau bukan menantu dan anak lelaki tunggal Pak Lah? Masyallah pendeknya akal pengetahuan saudara tentang situasi politik semasa tanahair.

    Sebuah perjuangan yang luhur terhadap rakyat dan negara, seseorang pemimpin tidak wajar megutamakan isu-isu kepentingan peribadi. Rasanya cukuplah dahulu saya menjawab apa yang saudara tidak faham. Banyak lagi "homework" yang perlu saudara buat jika ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang siapakah Pak Lah yang sebenarnya. Sentiasa ingat bahawa seseorang yang berani bercakap sudah tentu dia menyimpan sedikit sebanyak maklumat berasas daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai dan diterimapakai.

    Sekian. Semoga saudara merujuk jawapan balas saya ini terhadap apa yang telah saudara bangkitkan di sini.


  11. Anonymous Says:

    Pemuda pelapis, saya menyokong pendapat anda dalam hal ini, pandangan anda disertakan dengan bukti dan fakta yang tak dapat disangkal lagi...


  12. Anonymous Says:

    Tahniah kepada pemuda pelapis atas keprihatinan terhadap perkembanagan politik negara semasa. Sebagai bakal pemimpin masa depan keprihatinan ini merupakan sesuatu yang positif.
    Bagaimanapun sebelum mengemukakan fakta dan pendapat eloklah mengkaji dengan teliti latar belakang kedua-dua pemimpin ini secara mendalam agar perbandingan Tun Dr.Mahathir (TDM) dan DS Abdullah(DSA)menjadi lebih adil.TDM memang seorang pemimpin terbaik negara setakad ini.Beliau dipuja dan disanjung.Namun, sepanjang pemerintahannnya beliau juga banyak melakukan kesilapan tetapi diabaikan kerana kebanykan generasi muda tidak mengetahuinya.

    Pemuda pelapis seharusnya meneliti kembali tulisan tentang TDM oleh Marina Yusof, Rohanie Ahmad,Pengakuan Datuk Musa Hitam, Yahaya Ismail, Dato Shahnon, Dato Harun...(dan banyak lagi) dalam pelbagai media supaya sdr. faham kenapa TDM diberi pelbagai gelaran yang sangat dahsyat.Baca jugalah apa kata orang luar terhadap beliau dalam FEER, Time,FT, WST atau Newsweek supaya kita tak angkat bakul syok sendiri.Penyelidikan dan pembacaan yang meluas serta kemahiran berfikir yang bernas akan menelurkan pendapat dan pandangan yang adil dan dihormati.


  13. Salam saudara/saudari Anonymous yang sudi memberi komen,

    Kepada Anonymous (3 Nov '08 - 4:22PM)...

    Terima kasih atas nasihat dan pesanan saudara itu. Seperti yang telah saya katakan dalam menjawab balas komen pengunjung bagi topik ini, kita harus merujuk kepada peratusan kebaikan seseorang pemimpin yang bertanggungjawab itu samada berat ke arah kebaikan atau pun ke arah keburukan. Kita tidak nafikan setiap orang pasti ada melakukan kesilapan tetapi sebagai pemimpin nombor satu negara kesilapan haruslah diminimakan sehingga tidak menjejaskan rakyat dengan pelbagai bebanan.

    Jika pemimpin itu tahu dan maklum bahawa beliau seorang yang lemah kenapa tidak bersikap jujur dan ikhlas untuk berundur lebih awal bagi memberi laluan kepada pemimpin lain tanpa perlu diasak dan didesak? Lebih-lebih lagi di dalam suasana tekanan serta bebanan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh rakyat sudah tentulah ianya mengundang situasi yang tidak baik. Kenapa perkara sebegini tidak mampu difikirkan oleh seorang pemimpin nombor satu?

    Saya bersetuju dengan saranan saudara agar kita merujuk kepada banyak penulisan dan sumber bagi menilai pelbagai aspek sebelum mengeluarkan hujah terhadap seseorang pemimpin khususnya di dalam membuat perbandingan. Untuk pengetahuan saudara, usia saya kini sudah memasuki 41 tahun bermakna di sepanjang Tun Dr Mahathir menerajui negara saya sudah remaja dan cukup matang untuk menilai segala-galanya.

    Saya sedar di zaman Tun mentadbir negara beliau juga tidak disenangi oleh segelintir pihak-pihak tertentu yang menggelarkannya sebagai "Mahafiraun" dan sebagainya. Itu adalah lumrah yang menjadi adat kebiasaan di dalam dunia politik di mana-mana pun di dunia ini. Tidak akan ada sesiapa yang mendapat sokongan 100%. Tapi Tun mempunyai satu tahap daya pemikiran yang amat tajam dan cekap sehingga mampu melangkaui masa depan.

    Di samping itu beliau seorang pemimpin yang berani bertindak dengan keputusan yang diambilnya berbekalkan semangat serta keyakinan yang tinggi. Akhirnya percaturan beliau di dalam pelbagai perkara yang memajukan ekonomi negara sehingga ke tahap global amatlah membanggakan seluruh rakyat berbilang kaum. Tidak perlulah saya huraikan lagi di sini apakah semua itu kerana saya percaya saudara telah sedia memahaminya dengan baik.


  14. seribugis Says:
    This comment has been removed by the author.

  15. Anonymous Says:

    "A fair king is a king to obey, a cruel king is a king to fight against"....
    no more double dealing
    no more stratagem
    no more hanky-panky
    no more intrigue
    no more monkeyshine
    no more dupe

    life without struggle is no significance at all..body without soul....fight for our own glory.............with pride and honor.... reborn like a phoenix on fire.....the day is near...the time has come....


  16. Anonymous Says:

    anda tak layak gelar diri anda pemuda pelapis!

    *hapuskan korupsi!



    ANTI-KORUPSI