Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Memetik kenyataan Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan pada 8 April 2008 supaya Khairy Jamaluddin dicalonkan dan diberi sokongan untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia adalah keterlaluan dan tidak bertanggungjawab. Saya memandang amat sinis dengan kenyataan beliau itu yang kononnya Khairy adalah calon paling layak seolah-olah exco-exco lain tiada berbudi di dalam perjuangan parti.

Saya yakin majoriti ahli-ahli Pemuda Umno di peringkat akar umbi hanya menilai apa yang Jamlus perkatakan itu berdasarkan kepentingan peribadi beliau tanpa memikirkan situasi semasa. Beliau mengeluarkan kenyataan itu untuk mencari "publisiti murahan" kerana tidak menimbangkan kehendak yang majoriti. Beliau bercakap "tanpa akal dan fikiran yang matang" kerana tidak berpandangan jauh.

Dalam keadaan semasa ini Jamlus sepatutnya lebih berhati-hati sebelum bersuara kerana keredaan belum ada dalam suasana politik dalaman Umno sendiri apatah lagi di kalangan rakyat yang majoriti.

Sebagai seorang Ketua Pemuda Umno Negeri, Jamlus seharusnya lebih bertanggungjawab untuk menilai apa yang telah diperkatakan oleh Hishammuddin sendiri sebelum ini. Mengikut kata Hishammuddin, tidak semestinya Naib Ketua akan diangkat samada secara automatik mahupun melalui pertandingan kerana walaupun hierarkinya begitu, kita tidak mahu ianya menjadi seolah-olah sebagai satu warisan atau tradisi di dalam Umno. Tidak timbul soal menjadikannya "tradisi" dan begitu juga jawatan-jawatan lain seperti Presiden dan Timbalan Presiden, kata Hishammuddin.

"SUDAH TERANG LAGI BERSULUH", apa lagi yang Jamlus susah sangat nak faham?

Topik sebelumnya telah saya sebutkan bahawa kehebatan seseorang itu perlu diuji melalui pertandingan yang telus dan adil. Kita kena kaji bagaimana Khairy tampil di peringkat awal yang menjadi tanda tanya rakyat. Diangkat mudah sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau, kemudiannya dinobatkan sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Pusat "tanpa bertanding" dan dicalonkan pula bertanding di Parlimen Rembau baru-baru ini. Apa semua itu? Bukankah kerana dibayangi Abdullah Ahmad Badawi?

Kenapa kita harus tunduk menjadi "Pak Turut" kepada keluarga Abdullah Ahmad Badawi dan kroni-kroninya untuk menjadikan Malaysia "sebuah kerajaan keluarga beliau?".

Lebih menarik lagi perhatian saya apabila Jamlus sedar dan akui bahawa Khairy banyak menerima kritikan tapi malangnya Jamlus gagal berfikir dengan telus dan jujur kenapa kritikan demi kritikan diterima Khairy?

Soal pembabitan Khairy yang membantu kepimpinan Hishammuddin dan beberapa pilihanraya kecil itu adalah tanggungjawab seseorang pemimpin dalam parti. Ia tidak perlu dihebohkan atau diperbesar-besarkan oleh Jamlus. Exco-exco lain dan ahli-ahli lain juga turut berkorban dan memberi kerjasama. Kalau itu yang menjadi ukuran kepada Jamlus, apa kata kita ketengahkan pengorbanan ahli-ahli parti dan penyokong-penyokong Umno di akar umbi.

Siapa sebenarnya yang lebih hebat daripada pemimpin-pemimpin atasan? Cuba diberi laluan kepada orang-orang bawahan yang lebih berwibawa daripada Khairy mahupun Jamlus sendiri, pastinya mereka yang dibawah ini lebih berwibawa kerana mereka yang lebih kuat bekerja dan ada pendekatan dengan masyarakat.

Untuk mengajak ahli-ahli Pemuda Umno Negeri lain menyokong saranan beliau hanyalah sia-sia sahaja dan mungkin sebagai "angan-angan Mat Jenin". Saya kurang pasti akan mendapat sokongan selain hanya Negeri Sembilan sahaja yang berharapan sebegitu kerana dengan menjulang Khairy kononnya dapat menumpang populariti di samping pangkat dan jawatan.

Cukuplah sekadar Khairy telah menang Parlimen Rembau pada PRU12 yang lalu walaupun majoriti kemenangan amat ketara pengurangannya. Buktikan dahulu kepada masyarakat di sana, apakah kemajuan dan pembangunan yang mampu dibawa Khairy sebelum memikirkan soal jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Takut nanti terlalu tamak akan membataskan tanggungjawab yang sedia-ada dan tidak mampu dipikul.

Bercakaplah ikut "akal" dan bukan ikut "hati".

0 Responses