Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Merujuk berita jam 3:00PM RTM1 (Ahad, 6 April 2008), Pak Lah menjawab segala teguran yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kata beliau segala yang dilakukannya seolah-olah sentiasa tidak nampak betul di mata Tun Dr Mahathir. Katanya lagi, pada PRU11 tahun 2004 dulu kita menang besar pun salah juga, dia komplen kata kita perlu ada pembangkang dalam Dewan Rakyat, dan sekarang kita tak capai majoriti 2/3 lagi teruk dia kecam dan serang kita sebab prestasi buruk BN baru-baru ini.

Walau bagaimanapun Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sempat menyampaikan pesanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan menasihati mantan Perdana Menteri itu agar tidak terlalu mengkritik dan mengecam sangat terhadap kerajaan yang ada sekarang serta meminta diberi peluang untuk membuktikan kepimpinan kerajaan yang ada. Walaupun Tun Dr Mahathir merasa sudah cukup kuat dan teguh janganlah berterusan menyerang kami dengan pelbagai kritikan begitu tanpa henti. Katanya lagi, kerajaan sedang berusaha memulihkan keadaan dengan menumpukan perhatian untuk mengembalikan perpaduan dan keutuhan parti dan kerajaan serta semua pihak.

Secara peribadi di satu sudut, saya memandang segala teguran yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap prestasi buruk BN pada PRU12 yang lalu terhadap kepimpinan Pak Lah adalah sebagai satu teguran yang membina semata-mata dan bukan bermaksud tidak baik untuk melemahkan kepimpinan kerajaan.

Bak kata Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipetik daripada kenyataannya daripada Langkawi yang dimuatkan dalam akhbar Berita Minggu (Ahad, 6 April 2008) di mana kata Tun, kritikannya terhadap kepimpinan Umno tidak akan menghancurkan parti sebaliknya akan menjadikannya lebih kukuh.

"Terpulang kepada mereka hendak mendengar atau sebaliknya"

Saya menyeru kepada seluruh kepimpinan yang diterajui Pak Lah masakini agar berbaik sangka sesama kita dan bukan masanya untuk bercakaran atau berbalah dengan kenyataan Tun itu. Ini demi perpaduan dan keharmonian. Terima saja segala teguran demi teguran itu sebagai satu cabaran positif ke arah memperbetulkan kesilapan di dalam mengembalikan kekuatan parti secara menyeluruh. Sebagai Perdana Menteri, Pak Lah tidak harus merasa sedih, berduka atau kecewa dengan segala teguran dan kritikan tersebut kerana hanya akan mencerminkan kredibiliti dan kewibawaan diri sendiri yang lemah dan tidak bersedia dikecam atau dikritik.

Di saat ini, Umno/BN seluruhnya harus bersatupadu dan perlu menumpukan perhatian ke arah mengembalikan perpaduan dan keharmonian di samping berusaha keras mengembalikan semula keyakinan rakyat dan tidak sepatutnya berterusan di dalam keadan berduka-lara dengan mengabaikan tanggunjawab yang perlu dipikul untuk dilaksanakan.

Saya percaya tentu ada sebab musabab tersendiri kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak sedemikian. Jika kita terima secara positif maka positiflah ia tetapi kalau disambut dengan rasa kurang senang maka negatiflah jadinya.

Rasionalnya yang saya boleh katakan di sini bahawa segala tindakan Tun Dr Mahathir itu tidak lain dan tidak bukan hanya berniat baik untuk menyedarkan pucuk pimpinan tertinggi agar tidak terus leka dan terlena dalam situasi sekarang ini yang memerlukan jentera kerajaan untuk bertindak lebih agresif bermula daripada sekarang jika mahu terus memegang tampuk pemerintahan kerajaan.

Daripada pengalaman-pengalaman lalu, saya nampak Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan sesuka hati jika ianya tiada membawa manfaat dan makna ke arah kebaikan sejagat. Sesuatu yang diperkatakan pasti ada sebab. Sebagai pemimpin nombor satu dan Perdana Menteri, Pak Lah tidak haruslah mempamerkan sikap yang terlalu emosi di dalam perkara ini.

Saya menyokong segala usaha ke arah kebaikan, keutuhan perpaduan, keharmonian dan kekuatan jentera kerajaan untuk mentadbir negara dengan baik dan lancar. Walau bagaimanapun pendirian saya adalah jelas dan nyata, di mana saya berpegang teguh pada hakikat kebenaran.

Soal gagah dan kuat atau siapa lebih berpengaruh tidak patut ditimbulkan dalam soal ini kerana ia kedengaran agak janggal kepada rakyat disebabkan kenyataan ini datangnya dari mulut seorang Perdana Menteri yang sekarang ini menerajui pentadbiran negara.

Maka saya mohon kepada Pak Lah dan semua menteri-menteri kabinet dan seluruh jentera kerajaan agar bersama-samalah kembali bersatu hati menjernihkan keadaan dan meneruskan perjuangan dalam penuh permuafakatan demi manfaat semua. Bak kata pepatah melayu, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".

Sepatutnya Pak Lah dan seluruh barisan kabinet yang ada pada hari ini mencari jalan tengah berbaik-baik dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berbincang mencari satu formula terbaik ke arah usaha bagaimana mahu memulihkan keadaan.

Kedengaran suara hati rakyat diluahkan di sana sini agar jawatan Menteri Kanan patut diwujudkan dalam pentadbiran kerajaan dan meletakkan Tun Dr Mahathir sebagai insan paling layak untuk mendudukinya dan bertindak sebagai penasihat. Buah fikiran Tun Dr Mahathir masih diperlukan rakyat. Malangnya apa yang telah berlaku adalah di sebaliknya.

Pak Lah telah banyak menafikan suara rakyat dan tidak mahu mengambilkira saranan rakyat meskipun tahu bahawa usaha tersebut akan menjuruskan banyak manfaat dan faedah kepada rakyat dan negara. Oleh itu fikir-fikirkanlah.

0 Responses