Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

Ketua Menteri Melaka - Mohd Ali Rustam

Diambil daripada kenyataan beliau, "Semua pemimpin BN khususnya Umno diminta mewujudkan laman blog masing-masing bagi menyaingi 240 laman serupa yang dihasilkan pihak tertentu yang majoritinya menyokong pembangkang".

Kata Naib Presiden Umno itu lagi, "Usaha itu sebagai menyokong langkah beberapa pemimpin Umno dan komponen BN lain yang mula mewujudkan laman blog masing-masing selepas Pilihanraya Umum Ke-12. Laman blog ini wajar diwujudkan segera bagi menerangkan aktiviti selain membolehkan masyarakat berinteraksi secara terus dengan pemimpin tanpa mengira waktu".

Ketua Menteri Melaka itu menyambung kenyataan, "Setakat ini Umno sudah mula menggunakan khidmat pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk membantu menghasilkan laman blog di kalangan pemimpin parti supaya dapat menangkis dakyah pelbagai blog yang rata-rata cenderung menyokong pembangkang".

Merujuk kepada kenyataan beliau itu, saya suka memberi komen bahawa hasrat beliau itu memang bagus dan bertujuan baik tetapi "sudah terhantuk baru terngadah" dan kenapa sebelum ini tidak pernah ada terlintas di fikiran semua pemimpin-pemimpin Umno dan BN? Kenapa selama hari ini semuanya "lalai dan cuai" di dalam mencari suatu usaha pendekatan diri dengan rakyat?

Berkenaan 240 laman blog bahkan sebenarnya lebih daripada jumlah itu, yang telah dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu yang dianggap Mohd Ali Rustam sebagai lebih cenderung menyokong pembangkang sebenarnya tidak betul. Dengan menilai kemarahan, kritikan dan kecaman mereka sebagai tidak menyokong kerajaan adalah satu "persepsi yang salah". Sebagai pemimpin beliau sepatutnya lebih bersifat terbuka dan positif.

Kembali kepada zaman perjuangan Islam dahulu, ketika Rasulullah SAW memperjuangkan Islam, baginda tidak memandang musuh-musuh baginda sebagai tidak menyokong baginda tetapi baginda Rasulullah SAW menilai di sudut positif dengan menganggap musuh-musuh tersebut sebagai "tiada berilmu" sebagaimana apa yang ada pada diri baginda dan semua para sahabat baginda.

Pendekatan yang diambil baginda Rasulullah SAW ke arah merapatkan perhubungan dengan musuh-musuh baginda haruslah dicontohi oleh pemimpin-pemimpin kita pada hari ini untuk menarik golongan berkenaan bagi menyampaikan ilmu dan apa sahaja perjuangan yang dibawa demi ke arah kebaikan dan bukan dengan cara menyisihkan mereka.

Baginda Rasulullah SAW berpegang teguh pada "hakikat kebenaran" dan tidak khuatir atau tidak takut dengan segala ancaman musuh-musuh. Akhirnya kita semua tahu bahawa Rasulullah SAW telah berjaya di dalam perjuangannya di dalam usaha menegakkan syiar Islam dan di antara musuh ketat baginda yang akhirnya turut memeluk Islam dan sanggup berkorban memperjuangkan Islam ialah Sayyidina Umar Al-Khattab, yang telah diangkat darjat sebagai "Sahabat" baginda Rasulullah SAW.

Jika semua pemimpin Umno berpaut kukuh kepada Al-Quran dan Hadis sebagai panduan perjuangan, insyallah segala kemungkaran, kepincangan, penyelewengan atau apa sahaja masalah di dalam soal-soal kepimpinan tidak akan timbul malahan menjadikannya lebih teguh. Rakyat tidak marah kepada parti tetapi rakyat amat marah kepada pemimpin-pemimpin parti yang tidak betul perjalanan politiknya.

Kembali untuk saya menambah sedikit komen tentang laman blog tersebut. Kenapa pemimpin Umno dan BN mesti mahu membazirkan lagi wang ringgit rakyat untuk menggunakan khidmat pakar ICT di dalam menghasilkan laman blog yang amat mudah itu? Saya yang tidak tahu ICT dan tidak pernah berkursus pun begitu mudah menyediakan laman blog percuma ini. Apakah perlu semua itu?

Atau pemimpin Umno/BN mahukan sebuah laman yang kelihatan amat canggih dan menarik?

Tidak perlu semua itu kerana yang lebih mustahak adalah keikhlasan dan kesedaran pemimpin sudah cukup untuk rakyat, di samping memuatkan isikandungan topik-topik semasa untuk diperbincangkan bersama rakyat.

Untuk menangkis dakyah-dakyah pembangkang sebenarnya bukanlah susah sangat tetapi ia menjadi begitu sukar disebabkan pemimpin-pemimpin Umno/BN sendiri yang tidak mahu sedar dan tidak mahu berubah.


Jika mahu rakyat kembali menyokong sepertimana dulu, caranya amatlah mudah. Hanya perlu mengadakan "REFORMASI" menyeluruh dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat tertinggi. Insyallah segala-galanya akan "terubat". Itulah rahsia "PENAWAR" yang terbaik yang saya nampak jelas kerana itu adalah kehendak rakyat yang majoriti.

Formulanya amat mudah. MAJORITI = KEMENANGAN dan MINORITI = KEKALAHAN.

Kalau Umno/BN terus berdegil atau "ketegak" bak kata orang Utara, masih mahu tunduk kepada kehendak pemimpin "minoriti" yang segelintir yang berkepentingan peribadi maka jawapannya "TIADALAH SOKONGAN MAJORITI RAKYAT" dan selagi itulah masalah demi masalah akan pasti timbul.

Sebelum saya mengakhiri komen ini untuk topik yang dibangkitkan oleh Mohd Ali Rustam, saya cuma mahu berpesan kepada Ketua Menteri Melaka itu supaya mengaktifkan laman blog beliau itu dan dikemaskini dari semasa ke semasa sebagaimana langkah yang diambil oleh Dr Mohamad Khir Toyo dan jangan hanya pandai bercakap dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kosong yang tiada apa-apa makna yang kononnya "rakyat dan pemimpin boleh beriteraksi secara terus tanpa mengira waktu".

Jangan sampai saya dan ramai lagi di luar sana mula melabelkan Mohd Ali Rustam sebagai "Cakap Tak Serupa Bikin".

0 Responses