Kehancuran Umno dan BN juga adalah kerana Najib yang bersikap "YES MAN" terhadap segala tindakan Abdullah
Sejak Abdullah dan Najib mengambil tempat sebagai pemimpin nombor satu dan nombor dua negara, kita dapat melihat mereka telah mempamerkan kepada rakyat kepimpinan yang terlalu banyak DOLAK DALIH dan menjadikan POLITIK sebagai GELANGGANG TEST MARKET mereka.
Abdullah dan Najib lebih sesuai diibaratkan sebagai "Syok Sendiri" dan "Gila Kuasa". Bak kata orang kebanyakan, "Biar Papa, Asal Bergaya".
"Syok Sendiri" dan "Gila Kuasa" yang dimaksudkan adalah berdasarkan kepada banyak kemungkinan yang diperkatakan rakyat. Hanya mereka sahaja yang lebih tahu agenda-agenda penting mereka di sebalik tabir walaupun asakan demi asakan daripada banyak cawangan, bahagian dan majoriti rakyat meminta REFORMASI besar-besaran dilakukan di dalam Umno dan Barisan Nasional tetapi tetap tidak mahu diendahkan dan masih mahu mempertahankan keadaan yang dilihat amat genting. Masih lagi memperkatakan majoriti rakyat masih menyokong mereka walhal itu adalah "kenyataan terbalik" atau "kenyataan songsang" yang sengaja diada-adakan untuk tujuan menyedapkan hati dan perasaan sendiri serta "MEMBOHONGI" rakyat. Adakah ini dikatakan mereka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab?
Soal "Biar Papa, Asal Bergaya" yang dimaksudkan di sini adalah tentang tiadanya lagi sokongan majoriti dan bukan merujuk kepada isu kebendaan kerana rakyat sedia maklum mereka memang sudah pun kaya raya. Mereka tidak segan silu "Papa - Tanpa Sokongan Majoriti" tetapi masih mahu "Bergaya - Sebagai Pemimpin Tertinggi" yang terus berusaha mahu "menegakkan benang yang sudah basah".
Politik "DOLAK DALIH"
Kita faham semua orang tahu untuk berjaya dan hebat di dalam karier politik, seseorang itu perlu bijak bercakap, perlu mahir berhujah dan perlu pandai menjawab soalan-soalan yang diajukan. Inilah yang dikatakan sebagai hebat berpidato untuk meraih kepercayaan dan pengaruh.
Namun kehebatan itu akan lebih berkesan jikalau pemimpin itu lebih kuat bekerja, jujur dan ikhlas, prihatin masalah rakyat, bertanggungjawab dan komited sebagai "Wakil Rakyat" yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat.
Pemimpin yang disayangi rakyat ialah pemimpin yang ada ciri-ciri yang saya sebutkan itu, di samping bersedia ditegur, dikritik dan dikecam. Pemimpin juga perlu ada sikap "SEDIA AKUI KESILAPAN" dan "AKUR KEPADA KEHENDAK RAKYAT".
Malangnya politik hari ini mempertontonkan sebilangan besar golongan pemimpin yang lebih berkepentingan peribadi daripada mementingkan keperluan rakyat yang semakin bertambah dari hari ke hari. Sebagai rakyat Malaysia, saya amat malu jika masih ada "golongan minoriti" yang mempertahankan pemimpin-pemimpin sebegini.
Negara tidak akan mampu dipacu dengan lebih baik dan lebih telus selagi menyokong golongan pemimpin sedemikian. Mahukah anda semua "BERPUTIH MATA" melihat lebih banyak lagi negeri-negeri lain bakal tergadai ke tangan pembangkang?
Kalau dulu Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan kempen "SATU RUMAH, SATU KOMPUTER" yang kini telah pun melangkaui realitinya.
Sukakah anda jika pembangkang melancarkan kempen "SATU NEGERI, SATU KANDANG BABI MODEN?" Atau...
Kalau dulu kerajaan BN Selangor menyokong kempen "SATU DAERAH, SATU INDUSTRI", berpuashatikah anda jika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sekarang ini bakal berkempen untuk "SATU DAERAH, SATU KANDANG BABI MODEN?"
Kenapa perkara ini boleh berlaku? Itulah apabila kuasa sudah digenggam dan berada di tangan. Apa pun mereka boleh lakukan. Begitu jugalah kepimpinan tertinggi yang ada pada hari ini. Mereka boleh cipta 'KERAJAAN KELUARGA" dan "KERAJAAN KRONI" mereka seolah-olah rakyat ini sebagai buta, tuli dan bodoh.
Apabila rakyat bangkit pada pilihanraya umum lalu, barulah tersentak Abdullah yang selama ini "TIDUR" dan "LENA" dengan kekayaan yang mampu dijana untuk kepentingan diri sendiri, keluarga beliau dan juga kroni-kroni beliau yang termasuklah Najib. Kerana itulah Najib sanggup menjadi "YES MAN" dan menghulurkan "SOKONGAN YANG MEMBAWA REBAH DAN KEHANCURAN" sebagaimana yang telah berlaku.
Hari ini, Najib masih mahu menjadi "HERO" bagi mempertahankan Abdullah yang secara terang telah ditolak majoriti rakyat pelbagai kaum. Di manakah pendirian Najib? Apakah Najib merasakan pendirian beliau itu sebagai "BETUL?" Nilai-nilailah sendiri...
Abdullah terlalu banyak "BERDOLAK DALIH" di dalam keputusannya sendiri. Semasa membuat kenyataan selepas PRU12 beliau jelas menyatakan pendirian beliau untuk tidak memberi ruang di dalam Kabinet beliau kepada pemimpin-pemimpin yang tewas di dalam pilihanraya tersebut tetapi kita nampak masih juga ada pemimpin yang diangkat masuk ikut "PINTU BELAKANG" seperti Shahrizat Abdul Jalil contohnya.
Contoh lainnya adalah beberapa pemimpin yang tidak bertanding tetapi diberi ruang di dalam kabinet atas tiket sebagai "SENATOR" seperti Zaid Ibrahim, Muhammad Muhd Taib dan Dr Mashitah. Jika ada beberapa lagi yang tak disebut, anda tambah-tambahlah sendiri. Apa yang saya nak sampaikan adalah soal sikap "DOLAK DALIH" Abdullah supaya semua orang faham.
Buang masa jika mahu menghuraikan terlalu banyak fakta-fakta yang telah mereka "DOLAK DALIH". Abdullah, Najib dan kroni-kroni mereka sebenarnya telah banyak membazirkan masa rakyat selama ini. Berundurlah sebelum situasi negara menjadi lebih huru-hara dan hancur musnah. Kita tidak mahu PEMBERONTAKAN yang dianggap "BUKAN TRADISI" bakal menjadi "TRADISI" kepada rakyat yang bangkit memberontak dengan kekerasan. Jika sekiranya ia berlaku pun, itu bukan salah rakyat tetapi pemimpinlah yang "WAJIB BERTANGGUNGJAWAB".
Kenapa saya katakan begitu? Kerana rakyat telah memberi isyarat tetapi masih tidak mahu faham. Masih juga berterusan BERDOLAK DALIH tanpa jemu dan tanpa rasa bersalah.
Politik "TEST MARKET"
Saya menamakan politik di bawah kepimpinan Abdullah dan Najib sebagai "Politik TEST MARKET" kerana banyak sebab.
Pertamanya, Abdullah terlalu ghairah untuk dipuji rakyat sebagai seorang pemimpin yang kononnya 'ANTI RASUAH" dengan memeranginya secara besar-besaran. Memerangi "ISU RASUAH" menjadi agenda utama Abdullah sejak mengambil-alih kepimpinan negara seolah-olah di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dulu tiada usaha ke arah membanteras rasuah. Adakah untuk mengaburi mata rakyat?
Di sini saya telah ada kemusykilan awal terhadap Abdullah dan barisan kepimpinannya. Dari dulu lagi saya sudah menganggap usaha ini hanya sebagai "WAYANG KULIT" yang dimainkan Abdullah.
Keduanya, Abdullah cuba membentuk pemerintahan beliau sebagai satu "DINASTI BARU" yang memartabatkan kaum keluarga beliau sendiri, baik dalam politik mahupun ekonomi. Di dalam politik, Abdullah telah berjaya menonjolkan menantunya Khairy, manakala pada ekonomi pula, Abdullah telah memperjuangkan empayar perniagaan anak lelaki beliau, Datuk Kamaludin Abdullah di dalam "Scomi Group".
Di dalam masa yang sama, Abdullah mahu tengok apa tindakan Najib. Walaupun Najib sedar ini tidak betul tetapi demi memelihara kedudukan untuk kekal sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri maka terpaksa "BUAT-BUAT BUTA" dan "BUAT-BUAT TULI DAN PEKAK". Mungkin Najib hanya boleh beri pandangan, jika itu yang Pak Lah kata baik maka baiklah pada saya. Hakikat sebenarnya di dalam hati Najib, beliau tak bersetuju dengan kaedah Abdullah itu tetapi terpaksa akur. Itulah yang rakyat nampak pada awalnya.
Ketiganya, Abdullah cuba hendak menonjolkan kewibawaannya sendiri sebagaimana Tun Dr Mahathir membawa pembangunan dan pemodenan kepada negara.
Sejak Tun berundur, segala perancangan pembangunan dan ekonomi telah banyak disusunatur dan ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir untuk Abdullah meneruskannya secara berperingkat-peringkat dengan perbelanjaan yang telah ditentukan tetapi Abdullah mahukan kelainan dengan kaedah beliau tersendiri dengan harapan supaya rakyat dapat menilai bahawa beliau juga berkebolehan seperti Tun.
Tapi apa yang berlaku adalah meleset kerana Abdullah telah melaksanakannya secara "TUNGGANG LANGGANG" tanpa ikut kepentingan yang mana sepatutnya dijadikan "KEUTAMAAN" dan yang mana pula sepatutnya di 'KEMUDIANKAN" demi memberi faedah dan manfaat kepada rakyat seluruhnya. Apa yang dilakukan Abdullah itu bukan mendapat pujian tetapi kecaman hebat daripada rakyat kerana memberi kelebihan kepada tokoh-tokoh korporat untuk menambahkan lagi kekayaan mereka.
Rumusan Ringkas
Akibat daripada terlalu banyak sangat DOLAK DALIH dan TEST MARKET maka inilah keputusannya pada hari ini. Rakyat telah bangkit memberi isyarat kepada pemimpin supaya tidak berterusan memperbodoh-bodohkan rakyat.
Dari penggal ke penggal pilihanraya umum mengambil masa di antara 4 tahun hingga 5 tahun yang merupakan masa penting kepada rakyat yang perlu dimanfaatkan bersama untuk keselesaan serta kesejahteraan dan bukan untuk dibazirkan. Sebagai peneraju kepimpinan, tidak seharusnya menjadikan politik sebagai "GELANGGANG PERCUBAAN" untuk "DOLAK DALIH" dan "TEST MARKET".
Banyak masa rakyat terbazir begitu sahaja dan fahamilah bahawa sebilangan besar rakyat bukan terdiri daripada golongan berada. Kemiskinan dan kedhaifan masih lagi belum mampu diatasi kerajaan. Negara kita belum mencapai ke tahap sebuah "NEGARA MAJU" kerana sesebuah negara maju mampu memperuntukkan "ELAUN PENGANGGURAN" kepada rakyatnya.
Buatlah sesuatu usaha yang boleh membantu ekonomi rakyat secara adil dan bukan untuk kepentingan individu-individu tertentu sahaja. Rakyat tahu setiap pemimpin atasan telah dibayar elaun puluhan ribu ringgit sebulan dan tidak akan merasa kesusahan menghadapi kenaikan kos hidup.
Kini TEMPOH PERCUBAAN tersebut telah cukup dan memadai. Tidak perlulah lagi menagih simpati rakyat supaya diberi masa untuk melakukan usaha-usaha pemulihan. Serahkan sahaja tampuk kepimpinan kepada generasi baru yang lebih berwibawa dan berkemampuan untuk memulihkan keadaan setelah apa yang berlaku akhir-akhir ini.