Salam sejahtera buat seluruh pengunjung setia blog Pemuda Pelapis, rakan-rakan bloggers, para pemimpin semua parti politik dan seluruh umat Islam. Bersempena hari baik bulan yang mulia ini, kita semua akhirnya berada di penghujung Ramadhan pada hari ini dan menyambut pula ketibaan 1 Syawal 1429H pada esok hari bersamaan 1 Oktober 2008 bagi merayakan Aidil Fitri setahun sekali.
Di kesempatan ini saya menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin di atas segala kekasaran atau keterlanjuran kata di dalam topik-topik perbincangan politik sejak dari awal blog ini disiarkan sehinggalah menjelang Aidil Fitri nanti sambil mengucapkan "Salam Aidil Fitri" buat semua umat Islam di seluruh negara dan di mana jua anda berada. Diiringi doa semoga kalian semua menyambut Aidil Fitri dengan penuh ceria bersama keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai.
Kepada anda yang pulang beraya di kampung halaman, saya doakan agar anda seisi keluarga selamat pergi dan balik ke destinasi. Berhati-hatilah ketika memandu di jalanraya kerana kita semua sedia maklum di musim perayaan sebegini, terlalu banyak kemalangan yang tidak diduga pastinya berlaku jika kita cuai, leka atau mengabaikan aspek-aspek keselamatan. Sayangilah keluarga anda dan janganlah memandu mengikut rasa hati atau dengan penuh keseronokan tanpa menghiraukan orang lain. Sama-samalah kita saling bertolak-ansur di jalanraya di saat kita memandu ke destinasi.
Bagi mereka yang pulang ke kampung halaman menaiki kenderaan awam, ingat-mengingatilah kepada pemandu kenderaan awam agar mematuhi peraturan jalanraya serta tidak memandu di dalam keadaan yang mengantuk yang boleh membahayakan keselamatan seluruh penumpang yang berada bersama anda. Gunakanlah kewajipan anda sebagai pengguna atau penumpang demi keselamatan dan kesejahteraan semua. Tanggungjawab anda adalah tanggungjawab untuk semua mereka yang menaiki kenderaan awam bersama anda.
Sekali lagi saya akhiri kata dengan mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidil Fitri" dan "Maaf Zahir Batin" buat seluruh umat Islam di mana sahaja anda berada bagi merayakannya. Wassalam!
|
Nampaknya 16 September 2008 hanya menjadi angan-angan kosong dan meninggalkan kenangan demi kenangan setelah 3 kali Dato' Seri Anwar Ibrahim gagal menyempurnakan hajat beliau untuk bertakhta sebagai Perdana Menteri baru Malaysia dengan menukarkan kerajaan BN yang sedia-ada kepada kerajaan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dicanangkan beliau selama ini.
Mengikut pandangan seorang blogger yang juga wartawan malahan ramai lagi pandangan lain yang saya perolehi, rata-rata bersetuju apabila ada pihak-pihak mengatakan bahawa ketua pembangkang itu pada hakikatnya sudah mengalami tekanan jiwa yang tegar atau kronik akibat berterusan berfantasi dengan angan-angan yang tidak mungkin akan mampu dicapainya. Apakah Dato' Seri Anwar Ibrahim sedia menerima hakikat ini? Apakah keluarga beliau khususnya isteri dan ank-anaknya sedar akan perkara ini atau masih terus mahu menegakkan benang yang basah?
Kepada penyokong-penyokong taksub beliau, bermuhasabahlah sebelum terlambat. Akal manusia dijadikan semulia-mulia akal jika dibandingkan dengan semua makhluk ciptaan Tuhan maka pergunakanlah ianya dengan penuh kewarasan bagi membezakan yang buruk dengan yang baik. Tidak menjadi kesalahan untuk menyokong perjuangan parti politik mana sekali pun tetapi biarlah sesuatu keputusan itu dibuat berlandaskan kewarasan akal dan fikiran. Selidiki siapa yang anda sokong dan janganlah menyokong membabi buta. Jangan kerana marahkan seekor nyamuk, habis kelambu mahu dibakarnya.
Pada tajuk-tajuk sebelumnya saya menggelarkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang Mat Jenin tetapi pada situasi semasa saya kira wajar untuk dimaklumkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa beliau kini sebenarnya adalah seorang pesakit mental yang agak kronik di kalangan pemimpin-pemimpin parti politik. Jika pengikut-pengikut taksub beliau masih terus menyokongnya bermakna satu dorongan ke arah menjadikan Dato' Seri Anwar Ibrahim seorang yang disahkan gila akan termakbul dalam sedikit masa lagi. Syabas! buat seluruh penyokong-penyokong taksub ketua pembangkang itu.
Bagi BN pula, ianya ibarat sebagai sebuah parti klasik yang masih bernilai dan berharga sebagai pembela agama, bangsa dan negara. Sungguh pun pelbagai kemelut yang telah melanda namun keutuhan serta kekukuhan Barisan Nasional masih tetap terserlah cuma sedikit pembetulan sahaja diperlukan bagi memperbaiki sebuah kapal yang sebelum ini dianggap pembangkang kononnya hampir karam dan tenggelam.
Berdasarkan situasi hari ini nampaknya BN akan kembali pulih seperti sediakala jika Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Mohd Najib Razak semakin akur segala kehendak rakyat bagi menyegerakan peralihan kuasa lebih awal daripada tarikh 2010 sebagaimana yang pernah dimaklumkan oleh PM suatu ketika dahulu. Semoga peralihan kuasa nanti akan mampu menarik semula sokongan rakyat dan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional, apatah lagi di saat yang amat bertepatan sekali setelah kita semua melihat wayang kulit Dato' Seri Anwar Ibrahim semakin hari semakin membosankan.
Benar atau tidak benar apa yang saya perkatakan di sini, sama-samalah kita fikir-fikirkan!
|
Salam hormat dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung setia blog Pemuda Pelapis. Sokongan anda selama ini sangat dihargai. Apa yang ingin saya perkatakan pada hari ini ialah berkenaan tarikh keramat 16 September 2008 yang kononnya pembentukan kerajaan baru Malaysia di bawah naungan pentadbiran Pakatan Rakyat sepertimana yang gah dilaungkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Persoalannya di sini, apakah pada tarikh hari ini impian beliau itu benar-benar bakal menjadi kenyataan sepertimana yang diharapkan atau hanya akan meninggalkan angan-angan kosong semata-mata? Jika benar maka terbuktilah apa yang heboh dipukul canang selama ini sejak selepas PRU12 pada 8 Mac 2008 yang lalu tetapi jika masih tidak menjadi kenyataan lagi, apakah pula alasan dan helah Dato' Seri Anwar Ibrahim kepada seluruh rakyat Malaysia?
Kita semua tahu dan faham bahawa telah banyak kali Dato' Seri Anwar Ibrahim (kini ketua pembangkang di Parlimen) gagal membuktikannya khususnya kepada para penyokong taksub beliau sendiri. Oleh itu tarikh keramat itu sudah pun sampai di ambangnya pada hari ini. Setelah lama menunggu, saya percaya semua orang ingin tahu realitinya apa yang akan berlaku pada hari ini.
Apakah lagi temberang atau wayang yang akan dimainkan oleh pemimpin harapan Pakatan Rakyat itu jika apa yang pernah dikempenkan pada pilihanraya kecil di Permatang Pauh baru-baru ini tidak menjadi kenyataan? Kalau benar-benar menjadi realiti maka bertambahlah kredit buat beliau tetapi bagaimana jika tidak berlaku? Kita tunggu dan lihat sahaja sehingga ke penghujung hari ini tepat jam 12:00 malam nanti.
|
Masa berlalu terlalu pantas bagaikan tidak merasa puas menikmati Ramadhan Al-Mubarak yang sudah pun masuk hari ke-11 hari ini (11 September 2008 / 11 Ramadhan 1429H). Masa sentiasa berubah tetapi bagaimana iklim politik negara kita? Apakah ianya akan berterusan begini tanpa ada sebarang pendekatan yang lebih berkesan ke arah mengamankannya?
Saban hari saya dan rakan-rakan selalu mendengar keluhan serta rintihan rakyat pelbagai kaum. Tidak kira peringkat umur mahu pun latarbelakang kerjaya, semuanya cukup tidak senang dan tidak selesa dengan suasana politik negara selepas PRU pada 8 Mac 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini. Masing-masing melontarkan bermacam-macam pandangan dan pendapat.
Namun secara keseluruhan dan puratanya, majoriti telah menolak kepimpinan Dato' Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri dan juga tidak mahu menerima Dato' Seri Najib sebagai pengganti PM bagi tempoh-tempoh akan datang. Saya kira hati dan perasaan rakyat turut harus diberikan pertimbangan jika mahu melihat Malaysia kembali sebagai sebuah negara aman dan damai sepertimana ketika di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.
Sekiranya keluhan rakyat tidak mahu diambil-pakai oleh para pemimpin tertinggi yang ada sekarang, nescaya tidak mustahil negara akan menghadapi satu kemelut yang lebih huru-hara daripada keadaan semasa dan di luar dugaan pada masa akan datang. Maka semua pemimpin-pemimpin kanan kerajaan tidak seharusnya berterusan berdegil serta bersikap mementingkan diri sendiri. Ingatlah bahawa para pemimpin hanyalah beberapa kerat sahaja tetapi rakyat yang puluhan juta menanggung derita dan beban akibat daripada masalah kepimpinan negara.
Suka atau tidak suka, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang ada pada hari ini wajib menerima kenyataan bahawa rakyat amat memerlukan satu perubahan besar yang lebih drastik daripada biasa. Perubahan ini perlu dilaksanakan segera dan tidak wajar untuk dilengah-lengahkan mengikut keselesaan diri pemimpin itu sendiri. Ini difikirkan amat wajar dan bertepatan dengan tuntutan semasa agar suasana iklim politik dan ekonomi negara kembali pulih ke tahap yang diharapkan oleh semua golongan dan lapisan masyarakat demi kesejahteraan sejagat.
Harapan saya dan juga harapan seluruh rakyat Malaysia agar perkara yang baik tidak harus ditunda lebih lama lagi. Segerakanlah peralihan kuasa pada selewat-lewatnya penghujung tahun ini di hari Perhimpunan Agung Umno pada Disember akan datang. Sesungguhnya masa itu adalah emas dan ianya amat berharga kepada seluruh rakyat di dalam mencari kualiti sebuah kehidupan. Ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul. Kita mahu semua pihak mendapat kemanfaatan daripada perubahan yang bakal dilakukan di dalam pentadbiran negara.
Janganlah diabaikan lagi masa yang terus berlalu dengan pantas. Masa tidak menunggu kita sebaliknya kitalah yang harus mengejar masa bagi melaksanakan perubahan demi kebaikan sejagat. Bagi semua pemimpin beragama Islam, kembalilah ke pangkal jalan dan renungkanlah sepotong ayat suci Al-Quran, "Demi Masa" yang mampu menyedarkan kita daripada khayalan dan ketamakan impian yang menggunung tanpa memikirkan diri orang lain. Kita hidup bermasyarakat maka wajiblah kita saling menghormati masyarakat di sekeliling kita. Kepada semua pemimpin, ingatlah juga bahawa tanpa rakyat siapalah anda.
|
Ada yang bertanya saya kenapa sudah lama tak berapa aktif sangat menulis blog seperti sebelumnya? Baiklah biar saya jawab pertanyaan itu di dalam blog sahaja. Sebenarnya tentulah ada banyak sebab-sebabnya. Tidak mungkin berlakunya sesuatu itu tanpa bersebab.
Lama tak aktif menulis blog kerana.......
Lebih baik menumpukan urusan kehidupan seharian mencari rezeki untuk seisi keluarga daripada melayan kerenah politik negara yang sudah tunggang-langgang dek kerana kebodohan pemimpin-pemimpin tertinggi yang ada yang tidak tahu bagaimana mahu menangani setiap permasalahan yang wujud. Depa kaya tapi kita yang kayap.
Lama tak aktif menulis blog kerana.......
Mencari dan mengumpulkan banyak maklumat-maklumat dan fakta-fakta penting yang berguna untuk membuktikan pelbagai salahlaku pemimpin-pemimpin tertinggi sehinggalah kepada pemimpin-pemimpin bahagian dan cawangan. Setidak-tidaknya apabila perlu maka sedikit demi sedikit dapatlah dimaklumkan dan dikongsikan kepada semua orang supaya rakyat tahu perihal di sebalik tabir yang sebenarnya.
Lama tak aktif menulis blog kerana.......
Makin hari makin meluat dengan majoriti pemimpin-pemimpin tertinggi negara yang boleh diistilahkan sebagai hina dan tidak bermaruah sama-sekali. Apa tidaknya, jika mereka merasa masih ada maruah dan harga diri kenapa rakyat sudah bagi isyarat pada PRU12 dan PRK Permatang Pauh pun masih buat-buat tak reti bahasa? Di samping itu pula terlalu tunduk kepada kaum-kaum minoriti secara keterlaluan sehingga kepala ibarat mampu dipijak-pijakkan.
Lama tak aktif menulis blog kerana.......
Telah ramai blogawan-blogawan yang mengambil bahagian menulis isu-isu semasa maka cukuplah sekadar menjadi pengunjung dan pembaca blog rakan-rakan blogawan yang lain sambil melepaskan sepatah dua komen serta ulasan sahaja. Bilamana ada ulasan-ulasan tambahan daripada sudut pandangan peribadi maka barulah menulis di blog sendiri. Sesungguhnya itu lebih baik daripada sesetengah blog yang merapu-rapu.
Lama tak aktif menulis blog kerana.......
Lagi kita buka pekong pemimpin-pemimpin yang ada (tidak kira kerajaan atau pembangkang), lagi depa buat-buat muka tak tahu malu seolah-olah tiada apa-apa salah yang depa lakukan. Namun hakikatnya yang bahlul tetap bahlul dan yang dungu tetap jugak dungu. Cukuplah kita sebagai rakyat dapat tengok sejauh mana mereka rasa mereka hebat. Kita bersabar dulu sehingga PRU13 nanti untuk tentukan keputusan akan datang.
Lama tak aktif menulis blog kerana.......
Macam-macam lagi perihal dan perkara kalau mahu dibangkitkan tetapi rasa-rasanya seluruh rakyat Malaysia tahu apa sebenarnya yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku nanti. Kita bukan Tuhan, bukan Malaikat, bukan Nabi dan bukan golongan kasyaf namun lenggang-lengguk politik negara mampu untuk kita semua ramalkan secara tepat.
|
Hari ini 4 September 2008 bersamaan 4 Ramadhan 1429 Hijriah, kita kehilangan seorang tokoh wartawan, Tan Sri Abdul Samad Ismail yang telah kembali kerahmatullah tepat jam 5:58 pm. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pantai selepas dikatakan menghadapi jangkitan kuman pada paru-paru.
Al-Fatihah kepada Allahyarham, semoga Allah swt mengampuni segala dosa-dosanya, dicucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan para-para solihin. Amin!
Juga takziah saya ucapkan kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham. Setiap yang hidup pasti akan pergi jua apabila tiba masanya. Segala-galanya adalah ketentuan Ilahi. Semoga seluruh anggota keluarga Allahyarham bersabar menghadapi segalanya serta redha dengan penuh keikhlasan.
Ucapan ikhlas daripada: PEMUDA PELAPIS
|
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Merdeka ke-51 buat seluruh warga Malaysia yang berbilang kaum. Juga diucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Sambutan kemerdekaan yang gilang-gemilang baru sahaja berlangsung pagi semalam dan diharapkan semoga jiwa-jiwa pemimpin kita semuanya pun akan merdeka daripada belenggu rasuah dan kronisme. Mereka perlu memerdekakan diri mereka daripada berpemikiran cetek yang mengundang kebencian rakyat. Kebetulan pula sambutan kemerdekaan pada tahun ini terus diiringi dengan sambutan puasa fardhu di bulan Ramadhan bermula pada hari ini 1 September 2008. Berkatkanlah sepanjang Ramadhan ini untuk mencari sesuatu penyelesaian terbaik kepada rakyat dan negara.
Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang prihatin, besarlah harapan saya agar semua para pemimpin yang ada pada hari ini mengambil kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk bermuhasabah diri dan saling mencari kekhilafan diri masing-masing ke arah membawa satu perubahan yang bermakna buat seluruh rakyat dan negara yang amat tercinta ini khususnya ditujukan kepada PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan TPM, Dato' Seri Mohd Najib Razak sebagai dua pemimpin utama yang paling bertanggungjawab terhadap segala apa yang telah berlaku akhir-akhir ini.
Adalah dinasihatkan supaya jadilah pemimpin yang disukai dan dihormati rakyat dan jangan berterusan dilabelkan sebagai pemimpin pemusnah oleh seluruh rakyat setelah apa yang berlaku. Masanya belum terlambat untuk berubah jika benar-benar arif dengan keadaan semasa. Pekalah terhadap segala kemahuan dan tuntutan rakyat Malaysia yang majmuk.
Wassalam.
|
Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh telah berpihak kepada calon PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah berjaya mengalahkan dua orang pesaingnya iaitu calon dari AKIM dan juga calon dari BN. Syabas kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dan kepada calon-calon yang tewas saya ucapkan takziah.
Memang sudah pun dijangkakan sejak dari awal lagi, bukannya mudah untuk menewaskan "De Facto Leader" Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah berjaya membentuk satu pasukan penyokong-penyokong fanatik sejak sekian lamanya terhadap kepimpinan beliau. Cakaplah apa sahaja yang memburuk-burukkan ketua mereka pun, namun penyokong-penyokong fanatik Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak akan mempedulikannya. Ketua mereka ibarat dewa yang agung kepada mereka.
Kalau mahu dibuat bedah-siasat terhadap kekalahan di Permatang Pauh baru-baru ini rasanya banyak sebab dan punca kelemahan di pihak BN sendiri yang semakin hari semakin dilihat rakyat sebagai amat meluat. Terutamanya percakapan TPM, Dato' Seri Mohd Najib Razak sendiri yang tidak boleh diterimapakai sama-sekali. Di awal kempen beliau sebut tidak mahu membawa isu kes liwat Dato' Seri Anwar dan Saiful Bukhari tetapi semasa berkempen beliau terus melalakkan isu tersebut di sana sini. Hakikatnya bukan mendapat perhatian pengundi tetapi sebaliknya mengundang kebencian pengundi di Permatang Pauh.
Sikap Dato' Seri Mohd Najib sebagai TPM ini sebenarnya amat mendukacitakan ahli-ahli Umno/BN di peringkat akar umbi yang telah merasa kurang keyakinan serta tiada lagi kepercayaan terhadap diri beliau. Sebagai ketua yang dilantik memimpin pilihanraya kecil di Permatang Pauh sepatutnya beliau lebih bersikap terbuka dan profesional dan bukannya mengambil langkah memburuk-burukkan calon parti lawan. Cara dan kaedah menghina calon parti lawan telah mengundang rasa muak dan jelek di kalangan rakyat serta seluruh pengundi di Permatang Pauh. Dari situ kita semua boleh menilai kredibiliti TPM yang sudah tidak dapat diterima majoriti rakyat.
Saya tidak mahu mengulas panjang isu kekalahan BN di Permatang Pauh baru-baru ini tetapi cukuplah untuk pucuk pimpinan tertinggi menilai apakah yang dimahukan rakyat dan apakah yang tidak diingini rakyat. Kalau PRU12 sudah diberi isyarat masih tidak diendahkan lagi maka tanggunglah apa yang bakal berlaku seterusnya tanpa perlu menuding jari kepada rakyat berbilang kaum. Rakyat sebenarnya amat jemu dan loya kepada majoriti pemimpin di peringkat tertinggi yang menerajui kerajaan pada hari ini. Jika Disember ini masih juga tiada apa-apa perubahan besar yang berlaku nescaya makin malanglah nasib Umno/BN menjelang PRU13 akan datang yang dijangka diadakan pada Januari 2013.
Hari ini Dato' Seri Anwar Ibrahim bukan lagi sebagai ketua umum atau penasihat PKR tetapi telah disahkan sebagai Ketua Pembangkang mewakili Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat, maka sudah tentulah semangat dan kekuatan parti pembangkang semakin hari kian terserlah. Tidak mustahil akan ada ahli-ahli Umno/BN di akar umbi yang akan berhijrah ke Pakatan Rakyat jika sekiranya Umno/BN tidak melakukan sesuatu sepertimana yang telah diisyaratkan oleh rakyat pada PRU12 bulan Mac 2008 yang lalu. Penentunya akan dilihat setelah berlangsungnya nanti Perhimpunan Agung Umno pada Disember 2008 akan datang. Oleh itu berwaspadalah wahai semua pemimpin-pemimpin tertinggi Umno/BN seluruhnya.
|