Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Menurut laporan berita Buletin Utama TV3 dan akhbar Bernama semalam (Selasa, 9 September 2008), katanya mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali kepangkuan Umno tetapi belum lagi menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Tertinggi Umno.

Hasrat Tun telah dimaklumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ahli Majlis Tertinggi Umno. Menurut kata Muhyiddin, Tun berhasrat kembali kepangkuan Umno kerana merasa bimbang akan apa yang telah berlaku dan menimpa Umno/BN akhir-akhir ini. Tambahnya lagi, Tun juga berhasrat untuk membantu memperkukuhkan semula keyakinan parti serta rakyat.

Dengan penyertaan semula Tun ke dalam Umno/BN diyakini akan mampu memulihkan kembali kemelut yang telah melanda Umno/BN sejak kebelakangan ini. Itulah harapan pihak Majlis Tertinggi Umno yang sentiasa mengalu-alukan kemasukan semula Tun ke dalam parti. Sejauh mana kebenaran terhadap apa yang diharapkan itu, kita sama-samalah tunggu perkembangannya nanti.

Walau bagaimanapun, pihak wartawan masih tidak dapat lagi menghubungi Tun sendiri bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut. Kita harap Tun akan mengulas isu ini di laman blog beliau dalam masa yang terdekat ini agar seluruh rakyat dan para penyokongnya lebih memahami apakah sebab utama keputusan ini dibuat oleh Tun pada saat dan ketika ini.

3 Responses
  1. add Says:

    Alhamdulillah..syukur kepada Allah kerana TUN akan bersama kita lagi demi Agama,Bangsa dan Negara.

    Kepada pemimpin -pemimpin yang merasakan diri mereka sebahagian yang mencacamarbakan negara undur-undurkanlah diri sebelum terlambat dan mendapat "kemaluan yang besar" apabila TUN membuat "ops cantas" .

    Wallahuallam...


  2. azlishukri Says:

    selamat kembali Tun Mahathir!


  3. Salam dan terima kasih kepada rakan-rakan pengulas,

    Saya percaya Tun Dr Mahathir Mohamad lebih tahu terhadap setiap keputusan yang ingin diambil beliau. Keyakinan saya dan juga majoriti rakyat berbilang kaum ke atas kredibiliti Tun memang tidak dapat disangkal lagi setelah apa yang diperlihatkan selama tempoh 22 tahun beliau memegang tampuk pentadbiran negara Malaysia yang tercinta ini.

    Apa yang sangat-sangat diharapkan sekarang ialah komitmen Tun ke arah memulihkan semula keyakinan seluruh rakyat terhadap Umno/BN secara total tetapi untuk tujuan usaha-usaha ini, pihak Majlis Tertinggi seharusnya memberi laluan, menyokong sepenuhnya dasar-dasar yang bakal diusulkan oleh Tun bagi mencapai matlamat tersebut.

    Kepada golongan Ahli Majlis Tertinggi yang tidak tahu dan tidak ada idea-idea bernas tidak perlu banyak mulut untuk campur tangan sebaliknya duduk diam-diam dan jangan mengganggu usaha-usaha yang akan dilaksanakan oleh mantan PM kita yang terhormat itu. Berilah kebebasan serta dokongan padu dari belakang jika sekiranya mahu melihat Umno/BN kembali diterima rakyat secara menyeluruh.

    Saya juga percaya ini adalah langkah terakhir kenapa Tun ingin kembali kepangkuan Umno/BN bagi membantu dan menabur bakti sekali lagi daripada dalam. Jika ada pihak-pihak dungu dan bodoh sombong yang masih tidak reti mengenang budi dan tidak tahu menghormati Tun, dikhuatiri Tun tidak mustahil akan tersinggung sekali lagi dan akan terus meninggalkan Umno/BN buat selama-lamanya sehingga ke nafas terakhir beliau.

    Oleh itu berhati-hatilah semua sebelum pandai-pandai melemparkan sebarang ulasan atau komen kepada Tun. Beliau lebih tahu apa yang beliau ingin lakukan.

    Kecemerlangan Tun dalam pelbagai usaha dan bidang telah pun terbukti selama ini sementara Dato' Seri Abdullah dan Dato' Seri Najib belum membuktikan apa-apa hasil yang boleh dibanggakan rakyat sehingga ke hari ini. Yang telah mereka buktikan cuma huru-hara dan inflasi sahaja. Rata-rata rakyat mengeluh dan tidak selesa duduk di bawah pemerintahan PM dan TPM yang ada sekarang ini.