Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Sehingga detik ini saya menulis, telinga telah mendengar 102 pencalonan jawatan Presiden menyebelahi Dato' Seri Najib Tun Razak. Tiada satu pun lagi pencalonan yang mampu diperolehi oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Jika tiada pertandingan jawatan utama ini maka sahlah Umno sebuah parti kroni dan politik wang sedang bermaharajalela.

Apakah mungkin tidak akan ada langsung pencalonan buat YBM Tengku Razaleigh? Apakah juga Dato' Seri Najib akan terus merasa lega mendahului pencalonan berseorangan tanpa ada pesaing yang bakal menandingi jawatan Presiden Umno pada pemilihan bulan Mac 2009 akan datang? Benarkah di akar umbi rela dan bersedia memberi laluan semudah itu kepada Dato' Seri Najib?

Benarkah situasi ini berlaku atas kehendak akar umbi Umno sendiri atau ada perkara-perkara tidak sihat yang telah berlaku di sebalik tabir? Jika mengikut apa yang telah dituliskan oleh mantan PM kita di www.chedet.com berkenaan politik wang, adalah amat mustahil YBM Tengku Razaleigh langsung tidak dipertimbangkan oleh mana-mana bahagian Umno bagi mendapatkan pencalonan seandainya calon menunggu lurus bendul tanpa membocorkan kantongnya untuk ditaburkan kepada akar umbi.

Apa pun sebagai rakyat tentulah ada kecurigaan dan merasa agak pelik apabila di sana sini heboh bercakap tentang politik wang di dalam pemilihan Umno. Tambah pula sebelum ini kita sering mendengar betapa ramainya ahli-ahli Umno di akar umbi yang kurang menyenangi Dato' Seri Najib yang telah dilabelkan sebagai seorang pemimpin "Yes Man" yang tidak berpendirian tegas tetapi bagaimana beliau kini diberi laluan sebegitu mudah? Apakah ini difikirkan masuk dek akal kita?

Apakah pula dalam sekelip mata akar umbi Umno semuanya telah kembali merubah pendirian? Bukankah ini sesuatu yang "Pelik Bin Ajaib" telah berlaku? Tiada sesiapakah yang mahu memikirkan perkara ini? Inikah hakikat yang diperkatakan kononnya Umno bakal melalui detik-detik reformasi besar-besaran? Atau mungkinkah satu pembohongan besar-besaran lagi sebagai mewarisi kepimpinan Dato' Seri Abdullah?

Jadi apakah salah sekiranya rakyat telah melabelkan parti Umno sebagai sebuah parti kroni dan juga parti golongan tertentu sahaja? Bila ini dibangkitkan kenapa pemimpin-pemimpin tertinggi Umno harus melenting sehingga berhari-hari membuang masa memaklumbalas dengan hujah-hujah meminta rakyat agar jangan mempedulikan tuduhan tersebut? Rakyatkah yang berbohong atau para pemimpin yang suka berbohong besar?

Sehingga topik ini saya tuliskan, telinga ini telah banyak mendengar cakap-cakap umum dari kumpulan akar umbi Umno bahawa mereka sudah tidak mahu hendak ambil peduli lagi soal-soal kepentingan Umno selepas pemilihan akan datang. Ada di antaranya bercadang untuk meninggalkan Umno beramai-ramai tetapi tidak pula disebut mahu berhijrah ke parti politik mana. Percakapan mereka itu membawa makna kepada saya, juga membayangkan secara langsung kebenaran politik wang yang memang benar-benar berlaku pada ketika ini sehingga mereka amat kecewa termasuklah saya sendiri.

Pada renungan saya secara peribadi di samping mengambil kesinambungan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad, Umno selepas pemilihan pada Mac 2009 nanti bakal menghadapi satu saat kesukaran di dalam meraih undi rakyat pada PRU13 akan datang jika pemilihan kali ini dijadikan sebagai satu pemilihan syok sendiri oleh para pemimpin tertinggi parti bersama kroni-kroninya.

Apa yang telah diibaratkan oleh Tun Dr Mahathir dengan perumpamaan seorang peniaga buah keranji yang menebang pokok keranji bagi mendapatkan hasilnya dengan mudah amatlah bertepatan sekali. Hasil hanya mampu dikaut sekali ini sahaja dan musim depan peniaga itu tidak mungkin akan dapat menuai lagi buah keranji disebabkan kebodohannya bertindak mudah tanpa mahu berfikir panjang. Oleh itu keuntungan peniaga seperti ini hanyalah sekali sahaja.

Begitulah juga dengan para pemimpin Umno yang kaya-raya dan hebat membocorkan kantong mereka untuk ditaburkan kepada akar umbi bagi meraih laluan mudah pencalonan pada kali ini. Benar mereka yakin menang dan mendapat keuntungannya pada musim ini tetapi pastikah mereka akan untung lagi pada musim-musim akan datang? Apa akan jadi kalau kerajaan persekutuan jatuh ke tangan parti pembangkang pada PRU13 akan datang? Masih beruntung dan bermaknakah lagi semua jawatan tertinggi Umno yang sedang direbutkan sekarang ini?

Nampaknya semakin hari semakin ramai orang-orang Umno ibarat sudah buta mata, buta hati dan buta minda untuk berfikir dengan waras secara lebih bijaksana. Situasi yang telah berlaku dan yang sedang berlaku sekarang ini sebenarnya amat mengecewakan rakyat secara menyeluruh. Lagi banyak kata-kata nasihat serta teguran diberikan sebagai peringatan oleh pelbagai pihak semakin galak ketamakan dipertunjukkan oleh para pemimpin dan kroni-kroni. Rata-rata dilihat semakin alpa malahan begitu angkuh sekali.

Kepada semua bahagian Umno yang belum bermesyuarat silalah ubah pendirian anda semua. Bukalah laluan untuk mereka yang lebih layak. Melawan nafsu bukan hanya di bulan Ramadhan sahaja malahan wajib kita praktikkan di sepanjang masa selagi hidup dan selagi bernyawa. Boleh kayakah anda-anda semua dengan sogokan yang tidak seberapa itu? Berapa lamakah ianya boleh bertahan dan disimpan? Apakah orang-orang berharta sahaja yang sewajarnya mewarisi salasilah kepimpinan Umno?

Benar wang ringgit adalah segala-galanya tetapi wang dan harta kekayaan itu jugalah sebagai pemusnah makhluk bernama manusia. Wang jugalah perosak agama, bangsa dan negara. Sama-samalah kita bermuhasabah dan ambillah iktibar dengan apa yang telah berlaku selama ini di bawah pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Cukup-cukuplah.......

Malaysia perlukan perubahan! Malaysia wajar diberi pembaharuan!

Pemuda Pelapis
Beberapa bulan yang lalu nama YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang ini disebut-sebut bakal menyaingi pencalonan bagi merebut jawatan Presiden Umno. Kata beliau tidak kira siapa pun yang bertanding jawatan itu samada Pak Lah mempertahankan kerusi itu mahupun Najib namun beliau tetap akan mencabarnya.

Sehingga ke hari ini kita lihat tiada satu pun bahagian-bahagian yang telah bersidang mencalonkan nama YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan kerusi Presiden Umno. Apa sudah jadi dengan semua bahagian yang sebelum ini secara terbuka menyuarakan sokongan kepada beliau? Itulah politik namanya, apa-apa pun boleh jadi.

Sungguhpun masih banyak lagi bahagian-bahagian Umno yang masih belum bermesyuarat, apakah YBM Tengku Razaleigh bakal meraih pencalonan daripada mana-mana bahagian nanti bagi menyaingi perebutan jawatan Presiden Umno menentang Dato' Seri Najib?

Secara terbuka, saya memberi sokongan kepada YBM Tengku Razaleigh untuk dicalonkan merebut jawatan Presiden Umno. Semoga akan ada pencalonan yang mencukupi buat beliau daripada bahagian-bahagian Umno yang masih belum bersidang bagi melayakkan diri beliau bersaing hebat dengan Dato' Seri Najib. Bak kata TPM sendiri tempohari, apa-apa jawatan pun adalah terbuka untuk dipertandingkan dan sesiapa sahaja pun boleh menawarkan diri untuk bertanding.

Kita tidak mahu jawatan utama itu dimenangi dengan begitu mudah oleh Dato' Seri Najib sebagai calon menunggu (daripada peralihan kuasa) tetapi haruslah diberikan saingan yang sengit oleh YBM Tengku Razaleigh yang sebelum ini pernah bertanding merebut jawatan itu menentang Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu dengan kekalahan yang amat tipis (perbezaan 41 undi sahaja).

Oleh yang demikian, apakah istimewanya Dato' Seri Najib untuk diberi laluan mudah tanpa persaingan ini? Di sinilah sebagai kayu pengukur sokongan dan pengaruh sebenar Dato' Seri Najib bilamana wujudnya pertandingan nanti, dengan syarat pemilihan dijalankan secara telus dan jujur tanpa politik wang. Namun begitu apakah ini boleh dipercayai sedangkan Tun Dr Mahathir telah menulis di blog beliau bahawa beliau telah menerima banyak aduan tentang politik wang yang sedang berlaku di saat-saat lobi-melobi pencalonan sekarang ini.

Saya percaya seandainya YBM Tengku Razaleigh mampu meraih pencalonan yang mencukupi bagi melayakkannya menentang Dato' Seri Najib untuk jawatan Presiden Umno yang tidak dipertahankan Dato' Seri Abdullah itu, sudah pasti pertarungan sengit akan berlaku di antara kedua-duanya.

Maka dengan ini saya menyeru dan merayu sokongan bagi pihak YBM Tengku Razalaeigh agar beliau diberikan pencalonan yang mencukupi oleh bahagian-bahagian Umno yang masih belum bermesyuarat supaya memberi peluang terakhir kepada beliau untuk menentang Dato' Seri Najib bagi merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan Umno bulan Mac 2009 akan datang.

Pemuda Pelapis
Malaysia adalah sebuah negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum. Rakyat negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang hidup aman dan makmur selama ini cuma sejak kebelakangan ini sahaja bunga-bunga perbalahan kaum kian nampak melata.

Seperti kata pepatah Melayu, "jangan kerana seekor nyamuk maka kelambu hendak dibakar" jadi sebagai warganegara yang merdeka saya harus juga memerdekakan minda saya daripada bunga-bunga permusuhan kaum yang dipalu kumpulan Hindraf yang tidak bertanggungjawab itu.

Memandangkan ramai lagi rakan-rakan dan teman-teman beragama Hindu yang tidak berdosa dan tidak bersalah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Selamat Hari Deepavali" kepada masyarakat India dan semua mereka yang beragama Hindu. Semoga perayaan pesta cahaya yang bakal disambut pada hari Isnin, 27 Oktober 2008 ini diraikan dengan meriahnya oleh semua masyarakat India di Malaysia.

Bagi segelintir kumpulan pembawa api perkauman diharapkan kembalilah semula ke pangkal jalan dan hentikan saja niat jahat anda semua ke arah menyemarakkan api perbalahan di antara kaum di tanahair merdeka yang tercinta ini.

Sekian, "Happy Deepavali" daripada Pemuda Pelapis.

Pemuda Pelapis
Saya tertarik dengan isu bidas-membidas di antara Perdana Menteri ke-5 yang bakal berundur dengan mantan Perdana Menteri ke-4 kita. Beberapa hari yang lalu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membidas Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka lagi. Katanya, siapa Tun untuk bersuara lantang dan kononnya cuba mahu berlagak menjadi Pengarah Pemilihan Umno sedangkan Tun kini berada di luar Umno.

Dato' Seri Abdullah dilihat begitu ketara amat tidak berpuashati dan gusar sekali dengan segala kenyataan dan pandangan Tun Dr Mahathir di dalam blog www.chedet.com berkenaan isu pemilihan pemimpin tertinggi Umno yang kini hangat menerima pencalonan. Beliau sungguh tidak senang apabila Tun menyuarakan pendapat bahawa sekiranya Dato' Seri Najib menduduki jawatan Presiden Umno dan sekaligus dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikannya nanti, semua kroni-kroni yang pro-Abdullah selama ini wajar digugurkan jika mahu mengadakan perubahan atau reformasi di dalam pentadbiran parti dan kerajaan.

Saya hairan apabila melihat Dato' Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri yang masih memegang jawatan ternyata takut pada bayang-bayangnya sendiri. Beliau sedar bahawa diri beliau amat lemah di segi pengaruh dan sokongan rakyat maka sebab itulah beliau suka pula mengaitkan kesalahan Tun Dr Mahathir yang cuma bersuara memberi pandangan di dalam blog. Jika beliau tahu siapa Tun dibandingkan dengan diri beliau yang masih berkuasa kenapa harus khuatir dan gentar walau apa pun yang Tun ingin perkatakan?

Maka situasi ini dapat menjelaskan kepada rakyat bahawa betapa Tun Dr Mahathir masih berpengaruh dan segala idea-idea bernas Tun masih diperlukan oleh sebilangan besar rakyat termasuklah barisan para pemimpin. Di saat-saat menunggu masa mengundurkan diri sudah tentulah Dato' Seri Abdullah terasa dirinya semakin hambar di segi sokongan malahan beliau sedia maklum bahawa pemergiannya dari takhta pucuk pimpinan sebenarnya sangat dialu-alukan secara tidak langsung.

Di ketika ini barulah beliau sedar ada di kalangan penyokong pro beliau selama ini hanyalah hipokrit semata-mata kerana di antara golongan tersebut dahulunya terpaksa akur mengipas beliau untuk menghentam hebat Tun tetapi kini ada di antaranya telah mula memberi perhatian semula kepada pandangan Tun serta ingin berkawan semula dengan Tun Dr Mahathir.

Situasi inilah yang mungkin menyebabkan Dato' Seri Abdullah merasa amat tidak senang sehingga terpaksa mereka-reka cerita bodoh yang sebegitu rupa. Tindak-tanduk perilaku dan bidasan kenyataan Dato' Seri Abdullah terhadap Tun Dr Mahathir itu sebenarnya telah sekali lagi mencemarkan maruah diri beliau sendiri tanpa beliau sedari. Itulah kelemahan diri beliau yang amat jelas yang mampu dilihat dan dinilai rakyat. Pada hakikatnya Dato' Seri Abdullah tidak pernah bersikap pro dan waras di dalam menangani sesuatu isu.

Akhirnya setelah beberapa hari berlalu maka barulah Tun Dr Mahathir mula menjawab bidasan Dato' Seri Abdullah itu melalui tajuk "Bidas Membidas" di dalam blog beliau. Nyata sekali kita mampu melihat betapa Tun adalah seorang tokoh pemimpin yang cemerlang, gemilang dan terbilang kerana begitu tenang dan mampu mengulas apa sahaja fitnah, tuduhan dan sangka buruk Dato' Seri Abdullah terhadapnya.

Sepertimana yang saya komen di dalam topik "Kemuncak Pemilihan Umno" sebelum ini di ruangan blog Pemuda Pelapis ini, sesiapa sahaja adalah berhak untuk bersuara, maka ianya tidak harus dianggap sebagai suatu kesalahan. Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi adalah sebuah negara yang memberikan hak untuk rakyat bersuara. Soal mereka berada di dalam Umno atau pun di luar Umno itu bukan perkara pokok atau masalahnya.

Apabila perihal ini cuba dijadikan satu isu oleh Dato' Seri Abdullah, secara tidak langsung kita dapat menilai bahawa beliaulah pemimpin yang paling tidak bertanggungjawab sama sekali yang suka memanipulasi setiap kenyataan dan pandangan orang lain di dalam usaha-usaha tidak baik yang cuba menagih simpati murahan daripada rakyat dan segelintir kroni-kroni yang pro-Abdullah.

Nasihat saya secara peribadi kepada Dato' Seri Abdullah, hentikanlah usaha mencari kesalahan orang lain. Seorang pemimpin yang baik itu adalah pemimpin yang senantiasa bermuhasabah diri sendiri dan memperbaiki setiap kelamahan yang ada pada dirinya demi khidmat dan bakti terhadap rakyat dan negara. Menuding jari kepada orang lain tidak mampu menyelesaikan apa-apa masalah serta tidak membawa sebarang keuntungan ke arah perubahan yang lebih positif.

Pemuda Pelapis
Soal rasuah dalam pemilihan Umno bukanlah satu perkara baru tetapi telah menjadi tradisi sejak berzaman lagi. Ia mula berlaku sejak era pemerintahan Perdana Menteri pertama lagi sehinggalah sekarang. Adalah dipercayai ia tetap akan terus kekal begitu menjadi satu tradisi yang amat sukar untuk dibendung. Tak perlulah ada mana-mana pihak cuba menafikan perkara ini.

Semua orang tahu dan sedar rasuah di dalam pemilihan Umno bermula daripada bawahan lagi termasuklah cawangan, bahagian, negeri hinggalah ke pusat. Disebabkan berlakunya gejala-gejala tidak sihat inilah maka terlahirnya para pemimpin Umno yang tidak berkaliber dan tidak berwibawa dari peringkat bawah hinggalah ke peringkat tertinggi. Boleh dikatakan siapa ada kuasa dan wang ringgitlah yang mampu membeli pengaruh dan undi.

Yang benar-benar boleh dianggap berkaliber dan berwibawa cumalah separuh sahaja tetapi di era pemerintahan Perdana Menteri kelima, telah nyata mempamirkan sekurang-kurangnya 70% pemimpin yang korup dan tidak berwibawa. Hanya 30% sahaja terdiri daripada pemimpin yang boleh dibanggakan serta diharapkan. Siapakah golongan 30% ini? Sama-samalah kita buat "homework" dan cari jawapannya.

Andaikata kemunculan Perdana Menteri keenam nanti masih terus juga berleluasa hal-hal rasuah pemilihan di dalam Umno ini, amatlah malang sekali nasib sebuah parti tua yang selama ini menjadi tulang belakang kepada kerajaan pemerintah di tanahair kita yang tercinta ini sejak sekian lamanya. Rakyat sering dihidangkan dengan segala kempen-kempen anti-rasuah oleh pihak kerajaan tetapi para pemimpin pemerintah sendiri sukar melekangkan diri daripada rasuah. Sebaliknya kempen anti-rasuah sebenarnya satu kempen silap mata sahaja untuk mengaburi pandangan rakyat khususnya ahli-ahli parti. Kita tidak mahu bercerita soal-soal rasuah lain di sini tetapi tentang rasuah di dalam pemilihan Umno itu sendiri.

Jika rasuah di dalam pemilihan para pemimpin Umno tidak dapat dibendung daripada sekarang, apakah akan terjadi kepada nasib anak bangsa kita seterusnya nanti? Pernahkah semua pemimpin-pemimpin kita memikirkannya? Sudah tentu generasi-generasi baru akan datang menganggap rasuah di dalam pemilihan ini sebagai sesuatu yang lazim dan tidak salah.

Mahukah kita sebagai pemimpin-pemimpin terawal daripada mereka membiarkan generasi baru akan datang terus mewarisi perkara yang tidak baik ini? Ia adalah seumpama tingkahlaku harian kita di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Apabila ibu dan bapa mengamalkan hidup dengan tabiat salah seperti tidak bersolat, tidak berdisiplin atau sebagainya sudah pasti menjadi contoh dan teladan kepada anak-anak kita yang dari hari ke hari semakin membesar. Anak-anak kecil ibarat sebagai kain putih dan kita sebagai ibubapalah yang mencorakkan mereka samada hendak menjadikannya abstrak atau pun batik. Jadi samalah juga kepada generasi baru di dalam parti Umno yang dikatakan kepimpinan melalui teladan.

Memandangkan rasuah ini terus berleluasa maka beginilah cadangan saya secara peribadi. Kita jangan begitu mudah berbangga di saat-saat pencalonan pemimpin pilihan kita pada ketika ini. Kadangkala ini semua hanya satu gimik politik sahaja walhal di sebalik tabir segala-galanya telah diaturkan dengan perancangan jahat yang begitu teliti oleh penguasa-penguasa yang tidak bertanggungjawab.

Contohnya seperti perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno. Sungguhpun pada zahirnya sekarang Datuk Mukhriz Mahathir telah melepasi kuota kelayakan dengan meninggalkan pesaingnya begitu jauh di belakang tetapi tidak juga mustahil di saat-saat akhir nanti pesaing beliau yang terdekat yang kononnya dianggap "calon favourite syok sendiri" itu akan juga melayakkan diri. Pencalonan ini bukan lagi sebagai penentu kemenangan tetapi di hari pengundian nantilah hari penentuan yang hakiki. Segala-gala yang pelik dan tidak masuk akal boleh terjadi seandainya tidak dipantau dengan begitu baik dan berhati-hati.

Kebanyakan manusia pada lazimnya bersifat gelojoh dan tamak sekali. Perwakilan yang bakal mengundi pada hari persidangan Umno akan datang haruslah bijak dan waras memilih calon mana yang sewajarnya layak. Jangan sampai berpinau-pinau biji mata melihat wang ringgit yang disogokkan kepada anda atau juga lain-lain bentuk sogokan.

Alang-alang perkara ini tidak dapat dibendung dan tetap juga berlaku, nasihat saya, terima saja sogokan yang dihulurkan itu tetapi tidak semestinya anda sebagai perwakilan harus mengundi calon-calon yang menyogok anda. Dengan ini kita akan dapat menyedarkan betapa hebatnya tamparan balik kepada pihak calon-calon yang merasuah anda semua. Sebagai perwakilan janganlah anda terlalu bodoh menuruti kehendak mereka dengan sogokan rasuah tersebut.

Jangan mudah merasa terhutang budi kepada perkara-perkara salah seperti itu, sebaliknya biarlah hanya terhutang budi pada soal-soal kebenaran dan bermanfaat sahaja. Jangan menjadi Melayu yang mudah lupa!

Pemuda Pelapis
Di saat-saat kemuncak pemilihan inilah seluruh rakyat khususnya ahli-ahli Umno sendiri di semua peringkat bakal dihidangkan dengan segala janji-janji manis oleh para pemimpin yang bertanding merebut jawatan-jawatan tertinggi parti bagi meraih sokongan agar mencalonkan mereka serta mengundi mereka nanti.

Kalau pada PRU kita melihat persaingan sengit di antara parti-parti yang bertanding tetapi di dalam pemilihan Umno ini, hanyalah untuk orang-orang Umno sahaja tanpa campurtangan mana-mana parti lain. Namun begitu di luar sana tetap ada suara-suara parti lawan yang sama-sekali tidak diundang. Pendekata orang luar yang tidak berkenaan tetap tidak mahu duduk diam seolah-olah parti mereka yang hendak bersidang nanti. Pelik jugak ye! Sebenarnya tidak.......

Apa pun keadaannya kita tidak boleh hendak menyalahkan pemimpin-pemimpin parti lain kerana mereka hanya sekadar bersuara sahaja sedangkan mereka tiada kuasa atau tiada hak untuk campurtangan di dalam pemilihan Umno apatah lagi untuk mencalonkan pemimpin pilihan. Jauh sekali untuk mengundi pada pemilihan akan datang. Kita harus beri peluang semua pihak memberi pandangan kerana mereka juga tetap warganegara walaupun mereka bukan terdiri daripada golongan parti pemerintah.

Para pemimpin Umno tidak wajar memandang ringan terhadap segala pandangan yang disuarakan andaikata ianya bermanfaat untuk diambilpakai. Masalahnya adakah orang-orang Umno bersedia mahu mendengar dengan hati penuh terbuka? Janganlah kita sering memandang negatif jika idea-idea baik itu datangnya daripada para pemimpin parti lawan. Yang elok itu wajar dipertimbangkan, yang benar-benar negatif tidak harus dilayan.

Pada pandangan saya, ada baiknya suara-suara luar perlu juga diberikan perhatian dan pertimbangan. Di kalangan para pemimpin pembangkang pun ada di antara mereka yang dahulunya pernah duduk sebaris di dalam kabinet kerajaan pemerintah. Maka itu sudah pasti di antara mereka dari pembangkang itu lebih mengetahui sedikit-sebanyak latarbelakang para pemimpin Umno yang mana yang wajar diberi keutamaan untuk dicalonkan bagi sesuatu kerusi yang dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang.

Saya amat tertarik dengan kemuncak pencalonan bagi perebutan jawatan-jawatan di dalam Umno sehingga kelu lidah untuk berkata-kata menyebabkan kebelakangan ini sukar hendak menulis banyak topik-topik baru bagi mengisi blog Pemuda Pelapis meskipun pada hakikatnya terlalu banyak isu-isu jika mahu diulas. Dalam ketertarikan hati terhadap situasi ini, ada juga perkara-perkara yang menggelikan hati saya serta rakan-rakan. Di antaranya apabila saya melihat gelagat para pemimpin Umno yang melobi agar dicalonkan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti khususnya untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Ketua, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri. Yang lain-lain di bawahnya agak kurang menarik minat saya serta tidaklah melucukan sangat.

Kenapa agaknya saya begitu gelihati dan terasa lucu? Saya percaya dan yakin, ada di antara anda juga mungkin sama seperti saya apabila dikala inilah para pemimpin Umno semuanya dilihat tanpa malu untuk masuk bakul dan angkat sendiri. Gelagat ini makin hari kian ketara dilihat oleh kita di mana-mana sahaja mesyuarat bahagian. Pemimpin-pemimpin Umno yang mahu bertanding merebut jawatan pula, waktu inilah masanya untuk mereka berhempas-pulas berfikir untuk menabur segala janji-janji manis belaka. Soal mampukah untuk mereka mengotakan janji-janji itu tidak dipedulikan malahan yang penting asalkan dapat melobi bahagian-bahagian yang bermesyuarat agar mencalonkan mereka.

Sebagai rakyat yang prihatin terhadap jatuh bangunnya tanahair yang tercinta ini, saya wajar bersuara untuk mengemukakan sedikit pandangan. Nasihat saya kepada semua perwakilan ke persidangan Umno nanti, agar gunakanlah fikiran dengan sewaras-warasnya di dalam membuang undi bagi memilih calon yang benar-benar berhati waja yang mahu memperjuangkan parti dan negara demi rakyat jelata dan bukan atas dasar kepentingan peribadi. Oleh itu bermula daripada mesyuarat bahagian haruslah mencalonkan pemimpin yang benar-benar difikirkan layak untuk memegang jawatan-jawatan tertinggi.

Mungkin suara saya hanya kecil sahaja yang mana mungkin langsung tidak akan dipandang oleh para pemimpin tetapi pucuk pimpinan haruslah bermuhasabah dari mana asal-usulnya mereka dahulu kalau bukan dari bawah seperti saya juga? Beradanya mereka di puncak sekarang juga adalah kerana sokongan daripada akar umbi. Tetapi kekalkah mereka untuk terus berada di situ seandainya mereka alpa dan terus bongkak? Ingatlah dan ambillah iktibar daripada apa yang telah berlaku di sepanjang di bawah pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Rakyat sudah pandai memberontak sehingga 6 negeri di Semenanjung begitu mudah jatuh ke tangan pembangkang. Oleh itu janganlah terus leka dan syok sendiri semuanya di dalam mengejar untuk merebut jawatan-jawatan penting di peringkat tertinggi.

Ibaratnya bagaikan anda mengukur baju di badan sendiri sebelum berangan-angan untuk melobi agar dicalonkan ke jawatan-jawatan penting. Teraju negara wajar dipimpin oleh seseorang yang amat berwibawa yang beridea bernas yang mampu membawa satu perubahan yang luarbiasa. Situasi sekarang amat berbeza daripada sebelumnya. Jika silap percaturan pada pemilihan Umno sebagai parti tulang belakang kepada Barisan Nasional pada kali ini, nescaya usaha-usaha pemulihan kepercayaan rakyat dan sokongan rakyat terhadap Umno hanya akan tinggal kenangan bak kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Akhirnya Umno hanya akan berkubur serta luput daripada sejarah sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Untuk perhatian saudara dan saudari semua. Gambar terbaru yang saya letakkan di atas itu memberi seribu makna jika mahu diulas tetapi saya percaya anda semua lebih matang untuk menilai pendirian warga Umno seperti saya di akar umbi dengan sebenar-sebenarnya. Kita tidak mahu kemuncak pemilihan kali ini bakal membawa satu penentuan yang lebih menghuru-harakan keadaan daripada apa yang telah sedia-ada. Jatuh bangunnya negara bertitik-tolak daripada sekarang jika mahu mengambilkira sedikit nasihat dan pandangan saya ini walaupun suara saya amatlah kecil sekali jika mahu dinilai. Maka itu berwaspada dan berhati-hatilah! Cegah sebelum parah!

Pemuda Pelapis
Apa yang dinanti-nantikan akhirnya.......
Alhamdulillah! Pak Lah akur untuk melepaskan jawatan lebih awal daripada apa yang telah dijadualkan walaupun pada dasarnya agak lewat pada kehendak rakyat. Pengumuman tempohari memang amat ditunggu-tunggu seluruh rakyat Malaysia dengan penuh kesyukuran. Saya sendiri telah mengadakan kenduri kesyukuran atas pengumuman tersebut.

Sepatutnya dah lama beliau bertindak untuk berundur dan bukannya sekarang. Masa rakyat sudah banyak terbuang kerana kelemahan diri beliau. Kehadiran beliau suatu ketika dahulu tidak pernah saya harapkan tetapi pemergian beliau ini amat dialu-alukan kerana di antara berjuta rakyat yang telah terbazir masa berada di bawah pentadbiran beliau adalah saya sendiri. Apa yang pernah dijanjikan beliau tidak dikotakan. Saya adalah di antara mangsa Abdullah Ahmad Badawi yang pernah menabur janji kosong.

Percayalah negara tidak akan rugi apa-apa dengan turunnya beliau daripada takhta kerajaan Malaysia. Setidak-tidaknya tenang sikit otak rakyat Malaysia. Harap-harap tidak akan ada lagi rakyat yang sakit jantung mati mengejut kerana kerenah Pak Lah yang cukup megecewakan rakyat dan negara. Saya ada dengar banyak cerita arwah-arwah yang telah selamat dikebumikan mati kerana terlalu marahkan pada Pak Lah. Secara tidak disedari Pak Lah juga adalah pembunuh dalam senyap kalau mahu diambilkira. Penyakit jantung sudah satu hal tapi ditambah pula kemeluatan yang teramat sangat pada Pak Lah mendorong punca kematian mereka terlebih awal. Bab takdir dan ketentuan Ilahi memanglah tak boleh dinafikan tetapi pendorong punca itu yang dipertikaikan.

Dan akhirnya...
Janganlah pula naiknya saudara Najib nanti akan menjadi lebih huru-hara lagi. Daripada desas-desus sana-sini telah bertiup kencang kemungkinan Najib akan mengharuk-pikukkan lagi pentadbiran negara jika beliau tidak mengambil iktibar dengan apa yang telah dikacau-bilaukan oleh Pak Lah. Di ambang pemilihan untuk mencalonkan Najib naik ke takhta Presiden Umno dan PM ketika ini ramailah kroni-kroni Najib yang sangat-sangat mengharapkan pelbagai jawatan dan pelbagai projek.

Di samping itu segala bunyi gendang akan semakin rancak dipalu oleh Najib dan konco-konconya. Semuanya janji-janji manis belaka sebab mahukan pencalonan dan jawatan PM yang bakal dikosongkan Pak Lah. Rasa-rasa boleh ke Najib bertanggungjawab dengan apa yang dijanjikan? Kita tidak mahu lebih sudu daripada kuahnya nanti. Anak isteri, saudara-mara dan konco-konco sahaja yang lebih-lebih nanti. Cukuplah dinasti Pak Lah dan menantunya berakhir dan tidak perlu diulangi pula oleh Najib dengan dinasti beliau yang akan datang.

Belum apa-apa lagi suara sumbang anak Najib sudah pun didendangkan di Universiti Lim Kok Wing yang kedengaran bermegah-megah dengan rakan-rakan kolej tentang bapanya. Petikan berbunyi, "hai tak kenal ke aku anak siapa? Anak Dato' Seri Najib TPM lah, takkan kau orang tak kenal?". Itulah keangkuhan anakanda beliau. Apakah wajar seorang anak pemimpin bersikap angkuh begitu terhadap rakan-rakannya? Di manakah budi bahasa anak seorang pemimpin? Itukah didikan Najib pada anak-anaknya atau didikan Rosmah? Mengundang kebencian ramai atau kesukaan ramai? Pepatah ada mengatakan, "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa". Istilah ini boleh dihuraikan kepada banyak makna yang tersirat. Fikir-fikirkanlah!

Di dalam pemilihan pengganti Pak Lah, semua perwakilan haruslah waras memilih calon-calon yang paling layak, berbudi-bahasa, bertanggungjawab, dinamik dan sebagainya yang positif-positif. Bukan memilih atau menyokong atas dasar "aku kenal dia" atau "dia kawan aku" dan apa sahaja yang tidak seharusnya berlaku lagi kali kedua di dalam iklim politik Malaysia. Berwaspadalah daripada sekarang jika tidak mahu negara terus hancur dan musnah. Kita tidak mahu PM dan TPM akan datang tidak mampu merealisasikan impian Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju sebagaimana yang telah digariskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.

Juga selepas selesainya persidangan nanti, bubarkanlah semula kabinet negara kepada yang baru dengan pengisian pemimpin-pemimpin yang hanya benar-benar layak dan komited untuk berbakti kepada rakyat dan negara sahaja. Kabinet Pak Lah yang ada pada hari ini lebih daripada separuh yang masih mementingkan diri sendiri. Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang disandang hanya untuk bergaya dan bukannya untuk berkhidmat dengan telus atas dasar tanggungjawab yang telah diamanahkan. Rakyat benar-benar hampa dan kecewa sekali.

Pemuda Pelapis
Dulu lain, sekarang lain. Situasi iklim politik tanah air kita sudah jauh berbeza jika dibandingkan dahulu. Kalau dahulu rakyat kurang mahu mengambil tahu perkembangannya kerana keadaan begitu stabil dan tenteram tetapi hari ini rata-rata rakyat dari segenap lapisan golongan semuanya mahu mengikuti apakah yang akan berlaku seterusnya dari hari ke hari, sehinggalah kepada budak-budak di bangku sekolah menengah lagi.

Yang sepatutnya dimaksudkan dengan perkembangan ialah sesuatu kemajuan atau anjakan paradigma yang seharusnya ke arah yang lebih positif apatah lagi menuju kepada Wawasan 2020 yang semakin hampir, yang telah digariskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau melepaskan jawatan kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi lagi. Malangnya apabila jawatan PM diambil-alih oleh Dato' Seri Abdullah, kita dapat melihat kelemahan demi kelemahan yang kian ketara dari semasa ke semasa di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang. Andaikata saya memperibahasakannya sebagai, "ibarat kera mendapat bunga" tentulah agak kasar bunyinya namun apa yang dilihat begitulah umpamanya dengan apa yang telah berlaku di dalam negara kita.

Lebih malang lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hanya mampu menjadi "Pak Angguk Profesional" sahaja ke atas setiap kata-kata dan pelaksanaan yang dibawa oleh ketua beliau. Rakyat telah lama menilai dari pelbagai sudut dan aspek, semuanya semakin mundur sehinggalah kepada perpaduan kaum di Malaysia yang kian berpecah-belah dan huru-hara akibat ketidakprihatinan pucuk pimpinan negara yang ada pada hari ini. Kita semua tahu masing-masing hanya tahu menjaga perut dan temolok sendiri sahaja dan bukan tulus ikhlas mahu berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Terlalu banyak sangat bukti yang dipertontonkan kepada seluruh rakyat berbilang kaum di Malaysia. Ekonomi kita hanya lebih indah khabar dari realitinya. Suka atau tidak, setuju atau tidak, hakikatnya negara sedang mengalami defisit yang cuba disembunyikan oleh para pemimpin negara yang berkuasa. Belanjawan negara telah banyak disalahgunakan oleh penguasa demi kepentingan peribadi. Inflasi semakin dirasai oleh sebilangan besar rakyat di tanah air yang tercinta ini. Para pemimpin langsung tidak hairan untuk memperbaiki segala kelemahan demi kesejahteraan rakyat jelata.

Pada mereka yang penting gaji dan elaun mereka tetap diterima sejumlah puluhan ribu ringgit sebulan dan tentunya tidak akan merasa apa-apa keperitan rakyat yang sedang menderita berhempas-pulas mencari rezeki membanting tulang untuk menampung kehidupan keluarga. Bagi masyarakat yang makan gaji sekurang-kurangnya di hujung bulan dapat juga mencongak belanjawan keluarga tetapi bagi yang bekerja sendiri sudah pasti amat merasai kepayahan yang dilalui dari hari ke hari, minggu ke minggu dan bulan ke bulan sehinggalah tahun ke tahun lamanya. Apakah semua ini tidak mahu diambil peduli oleh pemimpin-pemimpin kita? Jika rakyat sengaja diabaikan, dari mana nak datangnya sokongan pada masa-masa akan datang? Apakah kaedah-kaedah yang dikatakan mahu memulihkan kembali sokongan rakyat? Segalanya masih kabur.

Hari ini majoriti rakyat berbilang kaum di Malaysia sudah benar-benar jemu dan amat bosan dengan kerenah-kerenah para pemimpin yang bekerja bagaikan, "tukul dengan pahat", apabila diketuk barulah bertindakbalas. Apalah yang susah sangat untuk memahami cara dan etika kerja sehingga sebegini rupa? Jika telah sedia maklum diri sendiri tiada ketokohan menjadi pemimpin, berundur sajalah dengan memberi laluan kepada generasi baru yang lebih berkebolehan memimpin negara. Jangan kerana tamakkan kuasa dan harta akhirnya negara tergadai akibat kelemahan diri sendiri yang tiada ketokohan serta tiada idea di dalam memajukan negara untuk rakyat.

Perilaku sebegini hanya akan merugikan agama, bangsa dan negara sendiri. Berfikirlah dengan lebih matang sebagai seorang manusia yang mulia dan waras akal pemikiran dengan mengenepikan kepentingan peribadi yang hanya mengundang seribu kebencian di hati seluruh rakyat. Sebaik-baiknya jadilah pemimpin yang disukai dan disayangi rakyat. Tinggalkanlah nama yang baik agar sentiasa dikenang rakyat dan generasi akan datang.

Peralihan kuasa yang masih dinanti-nantikan seluruh rakyat nampaknya terus diambil sebagai perkara yang remeh-temeh oleh kedua-dua pucuk pimpinan negara kita. Mereka hanya berbincang berdua sahaja seolah-olah Malaysia hanya menjadi hakmilik mutlak mereka berdua tanpa mempedulikan puluhan juta hati dan perasaan rakyat. Di mana ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain sehingga diketepikan? Jika merasa diri mereka berdua sudah cukup hebat, kenapa perlukan sokongan rakyat khususnya sokongan daripada ahli-ahli parti? Kenapa harus lupa diri?

Penundaan tarikh persidangan Umno dari bulan Disember 2008 kepada Mac 2009 sekali lagi membuktikan kelemahan Dato' Seri Abdullah dan Dato' Seri Mohd Najib selaku Presiden dan Timbalan Presiden Umno. Yang semakin mengundang kemeluatan ahli-ahli di akar umbi ialah sokongan buta oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi tanpa meneliti hujung dan pangkalnya meskipun diketepikan daripada perbincangan. Semua sanggup mengikut telunjuk dan turut menjadi "Pak Angguk" sebagaimana Dato' Seri Mohd Najib. Apakah tindakan ini dirasakan mampu menguatkan parti dan memperkukuhkan agama, bangsa dan negara? Di manakah akal pemikiran semua pemimpin yang ada?

Bak kata Tun Dr Mahathir pada tajuk terbarunya di blog beliau, jika selama tempoh 5 tahun Dato' Seri Abdullah telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang, apakah akan ada gemilang dan terbilangnya? Apakah di dalam tempoh penangguhan 3 bulan tersebut, Dato' Seri Abdullah mampu melakukan segala-gala tanggungjawab beliau khususnya di dalam memperbaiki segala kelemahannya selama 5 tahun yang telah dilalui itu? Sudah tentulah amat mustahil sekali.

Memang benar dan tepat apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir bahawa Dato' Seri Abdullah bukanlah jenis manusia yang berpegang pada kata-kata dan janji-janjinya. Dahulu dia kata lain tetapi dia buat lain cara. Jika sekarang dia masih berjanji lagi itu dan ini, dia juga boleh mengkhianatinya sekali lagi. Sebenarnya rakyat telah muak dengan cara beliau yang tidak pernah mengotakan janji beliau sendiri. Rakyat juga telah lama bersabar dan memberi peluang kepada beliau tetapi sampai bilakah rakyat harus akur dengan segalanya? Bila ada tercetusnya tindakan-tindakan ganas oleh sekumpulan tertentu rakyat maka begitu mudah beliau menuding jari kepada rakyat tetapi pernahkah beliau bermuhasabah diri sendiri apakah puncanya? Inikah pemimpin negara yang mahu kita sanjungi?

Jurang kepimpinan Dato' Seri Abdullah dengan Tun Dr Mahathir amatlah jauh sekali ibarat, "panggang dengan api" atau ibarat, "langit dengan bumi" betapa jauh jaraknya. Terlalu ketara dan banyak kesilapan demi kesilapan yang ditonjolkan oleh Dato' Seri Abdullah kepada rakyat. Maka itu sebagai rakyat yang amat prihatin akan kestabilan politik, ekonomi dan sosio-budaya, saya mohon semoga Dato' Seri Abdullah wajar memikirkan kesejahteraan rakyat dan menolak tepi soal-soal kepentingan peribadi diri sendiri dan keluarganya.

Janganlah berterusan mengundang huru-hara dan mencemar ketenteraman awam. Rakyat memprotes demi hak semua kerana Malaysia adalah untuk rakyat berbilang kaum dan bukan hanya untuk Dato' Seri Abdullah dan Dato' Seri Mohd Najib sahaja. Juga tidak wajar selalu menyalahkan tindakan rakyat sahaja kerana puncanya datang daripada para pemimpin yang tidak menghormati hak rakyat. Salahkanlah diri sendiri sebelum kita menyalahkan orang lain kerana itu adalah semulia-mulia sifat manusia, umat Nabi Muhammad SAW.

Kebanyakan penulisan blogawan-blogawan haruslah diambil iktibar dan diberikan perhatian kerana di kalangan blogawan yang serius menulis dan mengulas sebenarnya turut mewakili masyarakat di sekeliling mereka. Apa jua rungutan, pandangan, rasa kurang senang dan sebagainya telah diambilkira untuk disampaikan di blog masing-masing. Andai para pemimpin mampu memberi perhatian yang serius, saya percaya segala kerja menjadi lebih ringan setelah suara-suara hati rakyat dikutip dan diolah ke dalam bentuk penulisan bagi menyampaikan teguran kepada kerajaan pemerintah. Kepada semua pemimpin, hapuskanlah sikap ego anda yang tidak akan sampai ke mana-mana pun. Kembalilah ke pangkal jalan jika jujur dan ikhlas mahu memulihkan sokongan daripada rakyat secara total.