Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Dulu lain, sekarang lain. Situasi iklim politik tanah air kita sudah jauh berbeza jika dibandingkan dahulu. Kalau dahulu rakyat kurang mahu mengambil tahu perkembangannya kerana keadaan begitu stabil dan tenteram tetapi hari ini rata-rata rakyat dari segenap lapisan golongan semuanya mahu mengikuti apakah yang akan berlaku seterusnya dari hari ke hari, sehinggalah kepada budak-budak di bangku sekolah menengah lagi.

Yang sepatutnya dimaksudkan dengan perkembangan ialah sesuatu kemajuan atau anjakan paradigma yang seharusnya ke arah yang lebih positif apatah lagi menuju kepada Wawasan 2020 yang semakin hampir, yang telah digariskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau melepaskan jawatan kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi lagi. Malangnya apabila jawatan PM diambil-alih oleh Dato' Seri Abdullah, kita dapat melihat kelemahan demi kelemahan yang kian ketara dari semasa ke semasa di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang. Andaikata saya memperibahasakannya sebagai, "ibarat kera mendapat bunga" tentulah agak kasar bunyinya namun apa yang dilihat begitulah umpamanya dengan apa yang telah berlaku di dalam negara kita.

Lebih malang lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hanya mampu menjadi "Pak Angguk Profesional" sahaja ke atas setiap kata-kata dan pelaksanaan yang dibawa oleh ketua beliau. Rakyat telah lama menilai dari pelbagai sudut dan aspek, semuanya semakin mundur sehinggalah kepada perpaduan kaum di Malaysia yang kian berpecah-belah dan huru-hara akibat ketidakprihatinan pucuk pimpinan negara yang ada pada hari ini. Kita semua tahu masing-masing hanya tahu menjaga perut dan temolok sendiri sahaja dan bukan tulus ikhlas mahu berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Terlalu banyak sangat bukti yang dipertontonkan kepada seluruh rakyat berbilang kaum di Malaysia. Ekonomi kita hanya lebih indah khabar dari realitinya. Suka atau tidak, setuju atau tidak, hakikatnya negara sedang mengalami defisit yang cuba disembunyikan oleh para pemimpin negara yang berkuasa. Belanjawan negara telah banyak disalahgunakan oleh penguasa demi kepentingan peribadi. Inflasi semakin dirasai oleh sebilangan besar rakyat di tanah air yang tercinta ini. Para pemimpin langsung tidak hairan untuk memperbaiki segala kelemahan demi kesejahteraan rakyat jelata.

Pada mereka yang penting gaji dan elaun mereka tetap diterima sejumlah puluhan ribu ringgit sebulan dan tentunya tidak akan merasa apa-apa keperitan rakyat yang sedang menderita berhempas-pulas mencari rezeki membanting tulang untuk menampung kehidupan keluarga. Bagi masyarakat yang makan gaji sekurang-kurangnya di hujung bulan dapat juga mencongak belanjawan keluarga tetapi bagi yang bekerja sendiri sudah pasti amat merasai kepayahan yang dilalui dari hari ke hari, minggu ke minggu dan bulan ke bulan sehinggalah tahun ke tahun lamanya. Apakah semua ini tidak mahu diambil peduli oleh pemimpin-pemimpin kita? Jika rakyat sengaja diabaikan, dari mana nak datangnya sokongan pada masa-masa akan datang? Apakah kaedah-kaedah yang dikatakan mahu memulihkan kembali sokongan rakyat? Segalanya masih kabur.

Hari ini majoriti rakyat berbilang kaum di Malaysia sudah benar-benar jemu dan amat bosan dengan kerenah-kerenah para pemimpin yang bekerja bagaikan, "tukul dengan pahat", apabila diketuk barulah bertindakbalas. Apalah yang susah sangat untuk memahami cara dan etika kerja sehingga sebegini rupa? Jika telah sedia maklum diri sendiri tiada ketokohan menjadi pemimpin, berundur sajalah dengan memberi laluan kepada generasi baru yang lebih berkebolehan memimpin negara. Jangan kerana tamakkan kuasa dan harta akhirnya negara tergadai akibat kelemahan diri sendiri yang tiada ketokohan serta tiada idea di dalam memajukan negara untuk rakyat.

Perilaku sebegini hanya akan merugikan agama, bangsa dan negara sendiri. Berfikirlah dengan lebih matang sebagai seorang manusia yang mulia dan waras akal pemikiran dengan mengenepikan kepentingan peribadi yang hanya mengundang seribu kebencian di hati seluruh rakyat. Sebaik-baiknya jadilah pemimpin yang disukai dan disayangi rakyat. Tinggalkanlah nama yang baik agar sentiasa dikenang rakyat dan generasi akan datang.

Peralihan kuasa yang masih dinanti-nantikan seluruh rakyat nampaknya terus diambil sebagai perkara yang remeh-temeh oleh kedua-dua pucuk pimpinan negara kita. Mereka hanya berbincang berdua sahaja seolah-olah Malaysia hanya menjadi hakmilik mutlak mereka berdua tanpa mempedulikan puluhan juta hati dan perasaan rakyat. Di mana ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain sehingga diketepikan? Jika merasa diri mereka berdua sudah cukup hebat, kenapa perlukan sokongan rakyat khususnya sokongan daripada ahli-ahli parti? Kenapa harus lupa diri?

Penundaan tarikh persidangan Umno dari bulan Disember 2008 kepada Mac 2009 sekali lagi membuktikan kelemahan Dato' Seri Abdullah dan Dato' Seri Mohd Najib selaku Presiden dan Timbalan Presiden Umno. Yang semakin mengundang kemeluatan ahli-ahli di akar umbi ialah sokongan buta oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi tanpa meneliti hujung dan pangkalnya meskipun diketepikan daripada perbincangan. Semua sanggup mengikut telunjuk dan turut menjadi "Pak Angguk" sebagaimana Dato' Seri Mohd Najib. Apakah tindakan ini dirasakan mampu menguatkan parti dan memperkukuhkan agama, bangsa dan negara? Di manakah akal pemikiran semua pemimpin yang ada?

Bak kata Tun Dr Mahathir pada tajuk terbarunya di blog beliau, jika selama tempoh 5 tahun Dato' Seri Abdullah telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang, apakah akan ada gemilang dan terbilangnya? Apakah di dalam tempoh penangguhan 3 bulan tersebut, Dato' Seri Abdullah mampu melakukan segala-gala tanggungjawab beliau khususnya di dalam memperbaiki segala kelemahannya selama 5 tahun yang telah dilalui itu? Sudah tentulah amat mustahil sekali.

Memang benar dan tepat apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir bahawa Dato' Seri Abdullah bukanlah jenis manusia yang berpegang pada kata-kata dan janji-janjinya. Dahulu dia kata lain tetapi dia buat lain cara. Jika sekarang dia masih berjanji lagi itu dan ini, dia juga boleh mengkhianatinya sekali lagi. Sebenarnya rakyat telah muak dengan cara beliau yang tidak pernah mengotakan janji beliau sendiri. Rakyat juga telah lama bersabar dan memberi peluang kepada beliau tetapi sampai bilakah rakyat harus akur dengan segalanya? Bila ada tercetusnya tindakan-tindakan ganas oleh sekumpulan tertentu rakyat maka begitu mudah beliau menuding jari kepada rakyat tetapi pernahkah beliau bermuhasabah diri sendiri apakah puncanya? Inikah pemimpin negara yang mahu kita sanjungi?

Jurang kepimpinan Dato' Seri Abdullah dengan Tun Dr Mahathir amatlah jauh sekali ibarat, "panggang dengan api" atau ibarat, "langit dengan bumi" betapa jauh jaraknya. Terlalu ketara dan banyak kesilapan demi kesilapan yang ditonjolkan oleh Dato' Seri Abdullah kepada rakyat. Maka itu sebagai rakyat yang amat prihatin akan kestabilan politik, ekonomi dan sosio-budaya, saya mohon semoga Dato' Seri Abdullah wajar memikirkan kesejahteraan rakyat dan menolak tepi soal-soal kepentingan peribadi diri sendiri dan keluarganya.

Janganlah berterusan mengundang huru-hara dan mencemar ketenteraman awam. Rakyat memprotes demi hak semua kerana Malaysia adalah untuk rakyat berbilang kaum dan bukan hanya untuk Dato' Seri Abdullah dan Dato' Seri Mohd Najib sahaja. Juga tidak wajar selalu menyalahkan tindakan rakyat sahaja kerana puncanya datang daripada para pemimpin yang tidak menghormati hak rakyat. Salahkanlah diri sendiri sebelum kita menyalahkan orang lain kerana itu adalah semulia-mulia sifat manusia, umat Nabi Muhammad SAW.

Kebanyakan penulisan blogawan-blogawan haruslah diambil iktibar dan diberikan perhatian kerana di kalangan blogawan yang serius menulis dan mengulas sebenarnya turut mewakili masyarakat di sekeliling mereka. Apa jua rungutan, pandangan, rasa kurang senang dan sebagainya telah diambilkira untuk disampaikan di blog masing-masing. Andai para pemimpin mampu memberi perhatian yang serius, saya percaya segala kerja menjadi lebih ringan setelah suara-suara hati rakyat dikutip dan diolah ke dalam bentuk penulisan bagi menyampaikan teguran kepada kerajaan pemerintah. Kepada semua pemimpin, hapuskanlah sikap ego anda yang tidak akan sampai ke mana-mana pun. Kembalilah ke pangkal jalan jika jujur dan ikhlas mahu memulihkan sokongan daripada rakyat secara total.

2 Responses
  1. Tuan, mereka lupa diri. perlu di tarbiah agar ingat kembali asal usul.


  2. Sutera Timur Says:

    Sebenarnya pd pandangan saya Dollah sepatutnya dari awal lagi mendengar pendapat dan nasihat pembesar umno terutama dlm menentukan hala tuju umno dan bukan org-org yg tak berkaitan spt anak menantu dan sahabat yg tidak ada lgsung kaitan dgn urusan parti. Dollah patutnya meneruskan projek-projek yg telah ditentukan zaman Tun dahulu,krn ini adalah kesinambungan pemerintahan dahulu dan sekarg dan ianya pun dilantik oleh Tun disamping projek baru yg dirasakan sesuai spt pembangunan pertanian kita rasa tidak salah ,silapnya ia telah memberi muka kpd kuncu yg tidak berkaitan sehingga menyebabkan pemerintahan dah jadi macam caca marba dan lintg pukg apa yg diperkatakan pula seolah-olah spt clown dan tak dapat diterima seolah2 baru nak belajar berucap,kasihan dan sedih itulah gambaran PM yg rakyat Malaysia perlu terima selama 5 tahun amat menghampakan. Kita berharap Najib akan belajar dr situasi ini kalau tidak nasibnya tidak heran akan sama spt DOLLAH JUGA.