Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Sehingga detik ini saya menulis, telinga telah mendengar 102 pencalonan jawatan Presiden menyebelahi Dato' Seri Najib Tun Razak. Tiada satu pun lagi pencalonan yang mampu diperolehi oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Jika tiada pertandingan jawatan utama ini maka sahlah Umno sebuah parti kroni dan politik wang sedang bermaharajalela.

Apakah mungkin tidak akan ada langsung pencalonan buat YBM Tengku Razaleigh? Apakah juga Dato' Seri Najib akan terus merasa lega mendahului pencalonan berseorangan tanpa ada pesaing yang bakal menandingi jawatan Presiden Umno pada pemilihan bulan Mac 2009 akan datang? Benarkah di akar umbi rela dan bersedia memberi laluan semudah itu kepada Dato' Seri Najib?

Benarkah situasi ini berlaku atas kehendak akar umbi Umno sendiri atau ada perkara-perkara tidak sihat yang telah berlaku di sebalik tabir? Jika mengikut apa yang telah dituliskan oleh mantan PM kita di www.chedet.com berkenaan politik wang, adalah amat mustahil YBM Tengku Razaleigh langsung tidak dipertimbangkan oleh mana-mana bahagian Umno bagi mendapatkan pencalonan seandainya calon menunggu lurus bendul tanpa membocorkan kantongnya untuk ditaburkan kepada akar umbi.

Apa pun sebagai rakyat tentulah ada kecurigaan dan merasa agak pelik apabila di sana sini heboh bercakap tentang politik wang di dalam pemilihan Umno. Tambah pula sebelum ini kita sering mendengar betapa ramainya ahli-ahli Umno di akar umbi yang kurang menyenangi Dato' Seri Najib yang telah dilabelkan sebagai seorang pemimpin "Yes Man" yang tidak berpendirian tegas tetapi bagaimana beliau kini diberi laluan sebegitu mudah? Apakah ini difikirkan masuk dek akal kita?

Apakah pula dalam sekelip mata akar umbi Umno semuanya telah kembali merubah pendirian? Bukankah ini sesuatu yang "Pelik Bin Ajaib" telah berlaku? Tiada sesiapakah yang mahu memikirkan perkara ini? Inikah hakikat yang diperkatakan kononnya Umno bakal melalui detik-detik reformasi besar-besaran? Atau mungkinkah satu pembohongan besar-besaran lagi sebagai mewarisi kepimpinan Dato' Seri Abdullah?

Jadi apakah salah sekiranya rakyat telah melabelkan parti Umno sebagai sebuah parti kroni dan juga parti golongan tertentu sahaja? Bila ini dibangkitkan kenapa pemimpin-pemimpin tertinggi Umno harus melenting sehingga berhari-hari membuang masa memaklumbalas dengan hujah-hujah meminta rakyat agar jangan mempedulikan tuduhan tersebut? Rakyatkah yang berbohong atau para pemimpin yang suka berbohong besar?

Sehingga topik ini saya tuliskan, telinga ini telah banyak mendengar cakap-cakap umum dari kumpulan akar umbi Umno bahawa mereka sudah tidak mahu hendak ambil peduli lagi soal-soal kepentingan Umno selepas pemilihan akan datang. Ada di antaranya bercadang untuk meninggalkan Umno beramai-ramai tetapi tidak pula disebut mahu berhijrah ke parti politik mana. Percakapan mereka itu membawa makna kepada saya, juga membayangkan secara langsung kebenaran politik wang yang memang benar-benar berlaku pada ketika ini sehingga mereka amat kecewa termasuklah saya sendiri.

Pada renungan saya secara peribadi di samping mengambil kesinambungan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad, Umno selepas pemilihan pada Mac 2009 nanti bakal menghadapi satu saat kesukaran di dalam meraih undi rakyat pada PRU13 akan datang jika pemilihan kali ini dijadikan sebagai satu pemilihan syok sendiri oleh para pemimpin tertinggi parti bersama kroni-kroninya.

Apa yang telah diibaratkan oleh Tun Dr Mahathir dengan perumpamaan seorang peniaga buah keranji yang menebang pokok keranji bagi mendapatkan hasilnya dengan mudah amatlah bertepatan sekali. Hasil hanya mampu dikaut sekali ini sahaja dan musim depan peniaga itu tidak mungkin akan dapat menuai lagi buah keranji disebabkan kebodohannya bertindak mudah tanpa mahu berfikir panjang. Oleh itu keuntungan peniaga seperti ini hanyalah sekali sahaja.

Begitulah juga dengan para pemimpin Umno yang kaya-raya dan hebat membocorkan kantong mereka untuk ditaburkan kepada akar umbi bagi meraih laluan mudah pencalonan pada kali ini. Benar mereka yakin menang dan mendapat keuntungannya pada musim ini tetapi pastikah mereka akan untung lagi pada musim-musim akan datang? Apa akan jadi kalau kerajaan persekutuan jatuh ke tangan parti pembangkang pada PRU13 akan datang? Masih beruntung dan bermaknakah lagi semua jawatan tertinggi Umno yang sedang direbutkan sekarang ini?

Nampaknya semakin hari semakin ramai orang-orang Umno ibarat sudah buta mata, buta hati dan buta minda untuk berfikir dengan waras secara lebih bijaksana. Situasi yang telah berlaku dan yang sedang berlaku sekarang ini sebenarnya amat mengecewakan rakyat secara menyeluruh. Lagi banyak kata-kata nasihat serta teguran diberikan sebagai peringatan oleh pelbagai pihak semakin galak ketamakan dipertunjukkan oleh para pemimpin dan kroni-kroni. Rata-rata dilihat semakin alpa malahan begitu angkuh sekali.

Kepada semua bahagian Umno yang belum bermesyuarat silalah ubah pendirian anda semua. Bukalah laluan untuk mereka yang lebih layak. Melawan nafsu bukan hanya di bulan Ramadhan sahaja malahan wajib kita praktikkan di sepanjang masa selagi hidup dan selagi bernyawa. Boleh kayakah anda-anda semua dengan sogokan yang tidak seberapa itu? Berapa lamakah ianya boleh bertahan dan disimpan? Apakah orang-orang berharta sahaja yang sewajarnya mewarisi salasilah kepimpinan Umno?

Benar wang ringgit adalah segala-galanya tetapi wang dan harta kekayaan itu jugalah sebagai pemusnah makhluk bernama manusia. Wang jugalah perosak agama, bangsa dan negara. Sama-samalah kita bermuhasabah dan ambillah iktibar dengan apa yang telah berlaku selama ini di bawah pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Cukup-cukuplah.......

Malaysia perlukan perubahan! Malaysia wajar diberi pembaharuan!

3 Responses
  1. Anonymous Says:

    BUNGARAYA menyampok,
    Saya benar-benar tidak puas hati dengan ulasan dan huraian anda.
    Bagaimana boleh UMNO dikatakan mengamalkan kroni dan politik wang hanya kerana Tok Najib memperolehi 100% pencalunan selaku orang nombor satu dalam UMNO. Apa asasnya. Apa rasionalnya? Dulu Tun Abdul Razak menang tanpa bertanding dalam merebut Preiden UMNO, Tun Hussein Onn juga, Dan Tun Dr Mahathir juga. Politik wang kah ketika Tun Razak dan Hussein Onnnnn? Sebenarnya untuk pengetahuan anda, track record Tok Najib dalam kepimpinan negara telah mula diterima oleh ahli UMNO sebaiknya. Sedangkan Ku Li rekodnya ada sedikit tercela dan ahli-ahli UMNO kini mengenang kembali ketika beliau berkuasa diKementerian Kewangan suatu ketika dulu. Lagipun zaman untuk nya naik sudah berlalu. Kewibawaan Tok Najib jauh lebih terserlah dibanding Tok KU Li. Anda tak boleh bacakah? Otak anda nampaknya sudah rosak. Kenapa? Kadangtu terlalu banyak membaca boleh jadi gila. Mungkin anda tergolong dalam kumpulan ini?.

    Dalam pemilihan UMNO yang rancak sekarang ini, cuba cadangkan siapa yang layak selain Tok Najib? Anda jangan main-main dalam berjuang untuk bangsa dan negara. Berapa banyak duit telah anda terima dengan berusaha setiap detik dan ketika memburuk-burukkan pemimpin negara? Seronokkah berbuat demikian. Kita tengah sibuk berjuang mempertahankan bangsa kita dari dihina dan dicerca, anda sebaliknya berusaha memburuk-burukkan pemimpin negara yang seagama dan sebangsa dengan anda. Apakah anda mulia dengan berbuat demikian. Anda memperkenalkan diri anda sebagai PEMUDA PELAPIS - PEWARIS PERJUANGAN BANGSA. Layakkah anda dikenali dengan nama begitu?
    Saya rasa tidak.


  2. Menyampuk balas!

    Zaman sekarang telah jauh berubah. Rakyat secara keseluruhan mahu menyaksikan ketelusan dan kejujuran sebuah demokrasi. Usah diperbandingkan pemilihan di zaman lampau di mana saat-saat itu situasi dan iklim politik tanahair yang tercinta ini tidak sekalut apa yang telah berlaku.

    Siapakah yang tidak mengikuti perkembangan zaman? Siapakah yang kolot dan malut atau sudah seumpama "jalut" patung jenaka? Siapakah yang berpemikiran politik sempit? Di kala ini sebilangan besar rakyat sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Umno sebuah parti yang secara nyata dan terang menjerumuskan diri ke lurah politik kronisme. Saya dibayar ataukah anda yang sudah menerima habuan rasuah sehingga menyokong membawa rebah?

    Kadangkala akibat daripada terlalu banyak mengampu pemimpin menyebabkan saudara terikut-ikut menjadi terlalu taksub sehingga memungkinkan saudara menjadi gila kepada politik wang dan juga politik kronisme.

    Hari ini di merata-rata sudut dan ceruk rakyat jelata membincangkan keruntuhan akhlak para pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang dilihat tidak berwibawa sama sekali. Majoriti pemimpin yang ada dalam pentadbiran kerajaan pada hari ini lebih hebat bersandiwara daripada melakukan tanggungjawab secara telus dan jujur terhadap rakyat dan negara. Butakah mata saudara, butakah hati saudara, butakah minda saudara untuk tidak memandang pada hakikat semua itu?

    Pemuda Pelapis Pewaris Perjuangan Bangsa bertanggungjawab memukul gendang bagi menyedarkan seluruh rakyat dan para pemimpin agar bangkit dari lamunan dan khayalan supaya tidak terus dicela dan dicerca oleh kaum mendatang yang menumpang. Hari ini mereka bersuara lantang meminta itu dan meminta ini, mendesak itu dan mendesak ini daripada para pemimpin Umno.

    Angkara siapakah semua ini? Bagaimana cetekkah pemikiran saudara meletakkan akal yang paling mulia di bawah telapak kaki sendiri? Sukakah anda menjadi bahan ketawa mereka? Andai saudara benar mahu bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara, kenapa harus bersekongkol dengan para pemimpin tertinggi yang bagaikan sudah lupa daratan, hilang tatasusila dan adab sopan untuk menghormati pejuang-pejuang agama, bangsa dan negara yang terdahulu menabur budi dan bakti? Apakah itu didikan yang saudara terima daripada orang tua saudara?

    Memang wajar semua jawatan tertinggi yang direbutkan sekarang ini wajib dipertandingkan sebagai persaingan yang sihat di samping membuktikan wujudnya sistem demokrasi yang dikatakan kononnya menjadi amalan Umno selama ini. Apakah YBM Tengku Razaleigh tidak pernah menentang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir? Apakah di ketika itu saudara masih di dalam kandungan perut ibu? Jika mahu membandingkan sejarah, rungkaikan ia biarlah bertepatan dengan situasi dan iklim politik semasa mengikut peredaran zaman tanpa menghentam kromo apa sahaja mengikut selera nafsu ammarah saudara.

    Fikir-fikirkanlah! Renung-renungkanlah!


  3. Salam saudara Sarfarizmal,

    Terima kasih atas kesudian saudara mengunjungi blog PEMUDA PELAPIS dan memberi sokongan perjuangan.

    Pelajar-pelajar sebaya saudara haruslah menerapkan diri dengan nilai-nilai perjuangan politik yang lebih telus dan luhur demi masa depan agama, bangsa dan negara khususnya untuk generasi baru yang akan datang. Jangan abaikan pelajaran saudara tetapi dalam masa yang sama perlu juga ambil tahu perkembangan politik tanahair kita yang tercinta ini.

    Ajaklah teman-teman kampus bergabung dan bersatu hati memikirkan sesuatu idea serta pendapat yang lebih bernas bagaimana kita harus bertanggungjawab menyatupadukan anak-anak bangsa kita daripada mengamalkan politik sempit, berpuak-puak, apatah lagi meniupkan api perkauman yang hanya bakal merugikan rakyat dan negara kita.

    Kekalkanlah keamanan serta kemakmuran negara kita sepertimana di ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir dahulu yang begitu cekap dan pintar menangani isu-isu perkauman dengan jaya.

    Bersamalah kita bersatu hati!

    INFO SAMPINGAN:

    Saya rasa tentunya saudara seorang pelajar di UKM Bangi. Syabas! Jika benar. Suatu ketika dahulu saya pernah menjadi salah seorang panel jemputan berganding dengan seorang pensyarah bidang agama dan seorang profesor UKM bagi menjayakan satu forum siswa/siswi di UKM Bangi, anjuran para pelajar bagi membincangkan topik akhlak remaja golongan pelajar. Jika tidak silap saya pada tahun 2000 atau mungkin 2001 agaknya lebih kurang.

    Pada ketika itu saya belum terbabit sebagai insan pena bernama PEMUDA PELAPIS penulis blog politik tetapi hanya sekadar menjadi pemerhati bebas sahaja. Kebimbangan saya tentang politik pada masa itu tidak ada disebabkan Tun Dr Mahathir amat bijak dan cerdik mentadbir negara. Namun kini saya wajar bersuara lantang setelah kemelut-kemelut bodoh kian hari kian melata dalam pelbagai isu-isu semasa.