Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
TRIO PEROSAK PARTI UMNO & BARISAN NASIONAL

Semalam Ahad, 28 Disember 2008 seluruh umat Islam sedunia telah pun menyambut Ma'al Hijrah (1 Muharram 1430 Hijrah) sementara Tahun Masehi 2008 masih lagi ada 2 hari untuk dihabiskan sebelum kita semua melangkah masuk ke tahun baru 2009 Masehi.

Maka saya fikir eloklah saya menjawab satu persoalan penting daripada pengunjung blog Pemuda Pelapis yang diajukan kepada saya. Ada yang membuat komentar pada topik-topik artikel di sini dan ada juga beberapa kerat yang menghubungi saya melalui email.

Eloklah diselesaikan persoalan berkenaan pada saki-baki akhir tahun 2008 yang masih tinggal ini agar tahun 2009 nanti dapat dimulakan dengan segala cerita dan kehidupan baru. Perkara yang ditanya adalah:


Kenapa agaknya saya tidak menyokong Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan siapa pula yang saya sokong?


Jawapannya bukan saya tidak menyokong secara total tetapi sudah tentulah ada sebab dan musababnya kenapa selama ini saya meletakkan Dato' Seri Najib sebagai salah seorang dalam kumpulan "Trio Perosak Parti Umno dan Barisan Nasional". Saya amat kecewa dengan pemimpin ini akibat beliau gagal menangani banyak isu-isu rakyat. Mudah cerita beliau ini BERCAKAP TAK SERUPA BIKIN dan juga TIDAK BERPENDIRIAN TETAP.


Pemimpin yang saya sokong tanpa berbelah bagi adalah seseorang yang beriman, berkeperibadian tinggi, menjaga akhlaknya dengan baik, berhemah dan merendah diri, memahami permasalahan orang bawahan dan rakyat, mempunyai idea-idea yang innovatif, mampu berkhidmat untuk rakyat, sanggup turun padang, sedia berkorban demi sebuah perjuangan yang tulus dan segala yang baik-baik serta positif ke arah pembangunan dan kemajuan negara. Penilaian saya cukuplah jika hanya memiliki 75% markah bagi layak dipertimbangkan kerana jika saya meletakkan peratusan yang lebih tinggi rasanya tiada sesiapa pun yang akan layak.

Saya percaya anda semua tahu akan keperibadian dan kredibiliti Dato' Seri Najib di segi buruk dan juga baiknya. Memang kita wajar mengambilkira apa yang baik untuk dibandingkan beliau dengan pemimpin-pemimpin lain bagi menampakkan bahawa beliaulah yang paling layak. Tapi bagaimana pula sikap tidak baik beliau selama 5 tahun kebelakangan ini sejak dijeruk dan dirojakkan di bawah kongkongan Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi? Itu belum lagi dipersoalkan tentang skandal-skandal beliau di zaman silam.

Jika saya sahaja yang mengatakan ini mungkin tidak merugikan apa-apa terhadap dunia politik Malaysia tetapi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah turut melahirkan rasa kecewa yang serupa terhadap kredibiliti Dato' Seri Najib yang dianggap terserlah sebelumnya tetapi akhirnya malap dan pudar kerana terpaksa akur mengikut segala rentak dan telunjuk Pak Lah yang menyebabkan banyak berlakunya kebocoran di dalam pentadbiran negara dan parti sehingga mengakibatkan 5 buah jajahan baru terlepas ke tangan parti lawan.


Apakah senang untuk Umno/BN merebutnya kembali kalau tidak melibatkan sejumlah kewangan yang besar sehingga berbilion ringgit? Kita rakyat didendangkan dengan wayang kononnya kerajaan Pak Lah dan Najib mahu menghapuskan rasuah tetapi dalam masa yang sama juga kerajaan BN sedang merancang dan mengatur strategi mahu merampas semula negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang dengan rangkaan perbelanjaan yang begitu besar bagi menggerakkan jenteranya.

Tidakkah perancangan sedemikian juga wujudnya unsur-unsur rasuah? Jadi bagaimana yang dikatakan rasuah akan dapat dibanteras secara total kalau dah pucuk pimpinan sendiri yang tidak betul? Samalah maksudnya, janganlah kita hampiri zina kalau tidak mahu terjebak sebagai umat yang berzina. Apatah lagi jika kita sendiri yang merancang. Begitulah perumpamaannya.


Tidakkah kita semua fikirkan bahawa sikap acuh tidak acuh yang ditunjukkan oleh Dato' Seri Najib itu amat mengecewakan majoriti rakyat khususnya kepada sebilangan besar pendokong perjuangan parti Umno dan BN? Apakah wajar bagi beliau bertindak selaku YES MAN selama duduk di bawah telampuk kepimpinan Pak Lah selama ini?

Bukankah sikap beliau ini menampakkan satu contoh pemimpin yang mementingkan diri sendiri kerana khuatir disingkirkan oleh Pak Lah maka itu beliau terpaksa akur apa sahaja yang Pak Lah lakukan dan amat berhati-hati untuk menegur?


Tidakkah beliau sedar dan maklum terlalu banyak kepincangan yang dibawa oleh pentadbiran Pak Lah sehingga menyebabkan negara menjadi kucar-kacir dan huru-hara? Melayu berani dicabar dan Islam dicaci, dihina atas sebab sikap lembik, lembap dan masalah kronik Pak Lah ialah bersikap TAK PA sepanjang masa tetapi di mana pula Najib? Melayu sebagai peribumi dan Islam sebagai agama rasmi tananair kini dicabar dan dicaci. Apakah kita hanya sanggup membiarkan kita dihinjak dan dipijak begitu sahaja?


Angkara siapa semua ini kalau bukan kerana Abdullah bin Ahmad Badawi dan disokong buta pula oleh Mohd Najib bin Abdul Razak. Kenapa ini mesti berlaku? Butakah mata? Butakah hati? Butakah minda? Di mana akal bakal Presiden baru Umno dan bakal Perdana Menteri baru Malaysia?

Inikah orangnya? Hanya inikah satu-satunya pemimpin yang ada yang boleh menjamin perubahan dan keutuhan negara Malaysia setelah Pak Lah, anaknya dan menantunya merobek teruk pentadbiran negara sehingga kucar-kacir? Apakah orang lain tidak layak untuk dipertimbangkan sebagai pengganti?


Semua orang tahu Najib adalah anak kepada mantan Perdana Menteri ke-3 Malaysia. Selepas ini siapa pula? Apakah sepupunya Hishamuddin anak kepada mantan Perdana Menteri ke-2 Malaysia pula bakal menggantikannya nanti? Apakah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan kuasa pemerintahan keturunan?

Apakah juga dunia politik kita akan turut mengikuti Institusi Raja-Raja Melayu yang mengamalkan penggantinya daripada generasi keturunan? Bolehkah semua orang menerima kenyataan ini sebagai suatu kebetulan? Sampai bilakah situasi kebetulan ini akan berlanjutan dalam politik tanahair kita?


Kalau mahu diambilkira dan dihalusi sebaik-baiknya setelah PRU12 pada 8 Mac 2008 yang lalu, mesej yang telah diberikan oleh rakyat amat jelas dan Malaysia sudah wajar mengorak langkah baru secara drastik dan dengan lebih berani untuk mengetengahkan pemimpin-pemimpin dari golongan generasi muda yang lebih ramai berkaliber sebenarnya.


Apabila tiadanya pertandingan bagi merebut jawatan Presiden parti ianya amat mengecewakan kerana parti tidak diberi pilihan untuk memilih pemimpin dan kewibawaan Najib tidak nampak terserlah kembali setelah apa yang berlaku apabila tidak bersedia menerima cabaran atau sememangnya wujud konspirasi menyekat pertandingan untuk jawatan Presiden parti?


Selain daripada itu isteri seseorang pemimpin utama turut memainkan peranan penting dan sewajarnya bersedia turun padang dan perlu bersikap rendah diri di dalam membantu perjuangan suami. Bak kata pepatah, "masuk kandang kambing kita mengembek, masuk kandang kerbau kita menguak" begitulah yang seharusnya kita sesuaikan diri dengan keadaan.

Apa yang dilihat Datin Seri Rosmah bukanlah orangnya sepertimana Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menjadi contoh teladan terbaik setakat ini yang bersama-sama membantu suami dan pandai menyesuaikan diri dengan rakyat jelata.
Juga janganlah kita lupa bahawa jatuh bangunnya seorang suami adalah kerana isteri atau jatuh bangunnya seseorang lelaki itu adalah kerana wanita.

Itulah serba ringkas komentar saya bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh rakan-rakan blogger dan pengunjung yang bertanya kenapa dan mengapa. Akhir kata sama-samalah kita fikirkan apakah yang terbaik untuk kita memperjuangkan agama, bangsa dan negara kita Malaysia yang tercinta ini.


Pemuda Pelapis
: Jika benar-benar berkesungguhan mahu berubah masanya masih belum terlambat lagi.

2 Responses
  1. Anonymous Says:

    Terima kasih saudara PP...
    Penjelasan telah diberikan maka fhmlah saya. Hrp org lain yg bertanya juga sudah memahami kenapa saudara berpendirian begini.


  2. Anonymous Says:

    can u leave ur phone number to me???