Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Kejadian tanah runtuh pada Sabtu, 6 Disember 2008, jam 4:00 pagi di Bukit Antarabangsa, Ampang masih lagi menjadi tanda-tanya dan perbualan masyarakat khususnya di kalangan penduduk setempat.

Saya ada menemui ramai petugas serta penduduk-penduduk sekitar yang berdekatan yang terlibat dengan proses pemindahan setelah diberitakan bahawa kawasan sekeliling kejadian bencana itu tidak selamat untuk terus dihuni. Arahan berpindah dan mengosongkan kediaman-kediaman berdekatan telah dikeluarkan oleh pihak polis bagi menjamin tiada lagi mangsa-mangsa baru sekiranya berlaku lagi tanah runtuh di situ.

Kemusykilannya di sini daripada apa yang disampaikan kepada saya, apakah hanya 4 mayat sahaja ditemui sehingga kini sedangkan 14 buah rumah banglo terbabit di dalam kejadian bencana tanah runtuh yang telah menimbus rumah-rumah mereka? Kejadian pula diberitakan berlaku seawal jam 4:00 pagi ketika penghuni-penghuni sedang nyenyak tidur.

Jika difikirkan secara logik akal, kita anggarkan setiap rumah sekurang-kurangnya dihuni oleh empat atau lima orang termasuk pembantu rumah. Itu setelah dicongak setiap rumah mempunyai seorang pembantu sahaja. Bagaimana jika setiap rumah mempunyai dua atau lebih pembantu? Apakah ketika kejadian itu berlaku kebanyakan rumah banglo mewah di situ tidak berpenghuni? Ini satu tanggapan yang mustahil sekali.

Kebiasaannya, sekali pun tuan rumah secara kebetulan tiada semasa kejadian itu sekurang-kurangnya pembantu rumah sudah tentu berada di rumah untuk menjaga rumah majikan-majikannya dan kebiasaannya pula bilik tidur pembantu rumah selalunya diletakkan di bilik tingkat bawah. Apabila kejadian sedemikian berlaku sudah pasti pembantu rumahlah yang berkemungkinan besar turut tertimbus dalam bencana ini. Inilah persoalan dan tanda-tanya yang diajukan kepada saya untuk sama-sama berfikir.

Apakah tujuan pihak polis mahu merahsiakan jumlah sebenar mayat yang ditemui atau tidak ditemui? Rata-rata berpendapat kematian akibat tragedi itu melibatkan lebih mangsa (mayat) dan bukan sekadar 4 mayat sahaja. Kenapa pihak polis telah mengarahkan kerja-kerja mencari mangsa (mayat) dihentikan terlalu awal? Wajarkah mayat-mayat mangsa yang tertimbus di dalam bencana itu dibiarkan berkubur di bawah runtuhan tanah tersebut sebagai pusara kekal mereka?

Adalah dipercayai banyak lagi mayat-mayat mangsa tragedi yang masih belum ditemui oleh pihak berkuasa yang mungkin telah pun reput. Diharapkan pihak berkuasa dapat membuat penjelasan secara jujur dan telus dengan kemusykilan yang disampaikan ini berpandukan desas-desus perbualan masyarakat setempat yang masih tidak berpuashati dengan penemuan hanya 4 mayat sahaja di tapak tragedi sehingga ke hari ini.

Saya melaporkan berita rentetan ini bagi pihak masyarakat setempat yang masih tidak berpuashati supaya diberikan perhatian oleh pihak berkuasa di dalam merungkai persoalan dan tanda-tanya mereka agar terjawab.

2 Responses
  1. Anonymous Says:

    Ada logiknya dengan apa yg saudara katakan itu. Pihak berkuasa haruslah menjelaskan situasi sebenar kepada umum bagi mengelakkan prasangka negatif terhadap mereka.


  2. Anonymous Says:

    mayat seorang lagi mangsa ditemui petang tadi lebih kurang pukul 5 ptg selepas 18 hari kejadian tanah runtuh di bkt antarabangsa. mayat mangsa2 lain mungkin dah putus berkecai badan atau hancur kena jengkaut yg mengorek timbunan tanah sbb itu agaknya polis rahsiakan drp liputan media. wallahualam.