Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Salam sejahtera kepada semua pengunjung dan sahabat-sahabat blogger sekalian. Maaf kerana seminggu tidak mengemaskini blog Pemuda Pelapis. Sebenarnya saya mengikuti rakan saya berkunjung ke Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis sehinggalah ke Langkawi atas urusan rasmi selama seminggu.

Dua tiga bulan yang lalu adalah kali terakhir saya ke utara Semenanjung atas urusan perniagaan, minggu lepas saya bertolak lagi ke utara atas urusan rasmi yang sama dan baru sahaja kembali semula ke Kuala Lumpur awal pagi tadi. Kata pepatah, "sambil menyelam sambil minum air" dan saya telah diberitakan dengan perkhabaran politik yang cukup hebat dari teman-teman lama di utara yang aktif berpolitik.

Di dalam kehangatan semua orang membincangkan isu politik wang masa kini, maka adalah wajar untuk saya sama-sama berkongsi maklumat daripada apa yang telah dimaklumkan kepada saya. Saya menganggap berita ini merupakan sesuatu yang sahih daripada seseorang yang boleh dipercayai kerana beliau menyaksikan sendiri politik wang bermaharajalela di cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian Umno di utara Semenanjung.

Wang ringgit bertukar-tukar tangan sebelum dan semasa mesyuarat-mesyuarat bahagian untuk pencalonan jawatan-jawatan di peringkat bahagian dan majlis tertinggi. Sahabat lama saya ini bukanlah seorang yang pelahap duit tetapi katanya dah orang nak bagi takkan rezeki kita nak tolak. Nak meminta jauh sekali. Katanya banyak sangat tu tidaklah tetapi merasa jugalah ribu-ribu RM. Tambah beliau lagi, kalau tak diambil duit tu ianya tetap akan berpindah tangan kepada ahli-ahli lain jadi lebih baik diterima saja. Inilah hakikat sebenarnya yang telah berlaku di dalam proses pencalonan Umno untuk persediaan persidangan pada Mac 2009 akan datang.

Hebat! Memang hebat semuanya calon-calon Umno yang bertanding. Rata-rata semuanya bermain duit belaka. Dari peringkat cawangan, bahagian hinggalah kepada pencalonan majlis tertinggi. Tidak ada seorang pun yang berkecuali daripada menaburkan wang ringgit untuk mendapatkan pencalonan. Sikit atau banyak bukan soalnya tetapi rata-rata menaburkan RM belaka. Bermakna hampir semua calon-calon yang bertanding telah terjebak ke kancah politik wang secara terang-terangan. Maka dengan khabar berita ini, benarlah kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno kini sudah rosak teruk dan tercemar dengan para pemimpin perasuah secara total.

Ramai ahli-ahli Umno sendiri (di utara) meramalkan BN akan kecundang lebih dahsyat pada PRU13 akan datang. Kemungkinan hilang majoriti mudah seperti PRU12 pada Mac 2008 yang lalu adalah satu ramalan yang pasti. Apatah lagi untuk menawan kembali negeri-negeri yang tewas atau memperolehi semula majoriti 2/3 amatlah jauh sekali. Bukan kerana parti lawan lebih hebat atau bukan kerana rakyat sukakan sangat parti lawan tetapi kerana rakyat sudah menyampah dan meluat dengan parti Umno dan BN yang mengamalkan rasuah secara lebih terbuka seolah-olah ianya tidak lagi menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang negara.

Baiklah tentu sekali saudara dan saudari ingin mengetahui siapakah calon-calon majlis tertinggi yang telah terjebak dengan politik wang. Antara percaya atau tidak percaya beliau termasuklah Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang hebat mengutuk politik wang. Juga tidak terkecuali Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Khairi Jamaluddin dan majoriti nama-nama popular yang lainnya. Boleh dikatakan hampir semua. Yang disebutkan itu adalah nama-nama yang dimaklumkan kepada saya. Yang tak disebut saya tak mahu senaraikan kerana telinga saya tidak mendengar.

Kata saya kepada sahabat lama saya itu, padanlah pun BPR sampai dah tak reti nak siasat sebab hampir semua terjebak. Kalau ditahan kesemuanya atau digantung perkhidmatan mereka untuk tujuan siasatan tentulah kerajaan BN akan pincang secara tiba-tiba sehingga membolehkan penukaran kerajaan yang pastinya berpihak mudah kepada gabungan parti lawan. Inilah masalahnya pergolakan politik tanahair masa kini. Agama, bangsa dan negara telah diperjudikan sehingga boleh hancur jika ini permainan politik oleh para pemimpin kita dewasa ini. Masya'Allah!

Sambung sahabat saya lagi, katanya, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkeinginan sangat dan menaruh cita-cita yang tinggi untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno pada persidangan Mac 2009 nanti dan beliaulah calon yang telah berbelanja paling besar setakat ini untuk memikat hati ahli-ahli perwakilan pemuda supaya mengundi beliau. Dr Khir Toyo dikhabarkan turut menyediakan bilik-bilik hotel mewah dan belanja besar kepada para perwakilan selama tempoh beberapa hari persidangan nanti. Begitu juga dengan Khairi Jamaluddin, Muhammad Muhd Taib, Ali Rustam dan yang lain-lain. Yang sudah dihulur lain, yang bakal dihulur lain pula. Wow! Mewahnya para perwakilan pada persidangan kali ini (yang mungkin kali terakhir sebelum Umno dan BN tumbang terus untuk selamanya selepas ini).

Ini bukan tuduhan melulu tetapi ini satu laporan kepada umum sebagai berkongsi maklumat apa yang saya terima. Jika bertanyakan bukti memang saya tiada bukti tetapi jika pihak berkuasa merasa bertanggungjawab, eloklah sekiranya menjalankan siasatan menyeluruh di utara Semenanjung bagi mendapatkan bukti-bukti serta saksi-saksi yang boleh membantu. Saya kira sudah wajar pihak BPR bertindak tegas tanpa dibayangi oleh kerajaan pemerintah jika mahu membuktikan kes-kes salahlaku dan rasuah para pemimpin Umno. BPR tidak harus menjadi satu badan yang di"patung"kan oleh Umno dan BN. Prosedur undang-undang memerlukan segala bukti dan saksi. Di utara ada segala bukti dan saksi. BPR hanya perlu menjalankan tugas sahaja.

Peranan, imej dan kredibiliti BPR harus dijaga dan dipelihara dengan baik andaikata tidak mahu rakyat melabelkan badan itu sebagai wayang kulit Umno atau satu badan yang dibela oleh para pemimpin tertinggi Umno. Inilah masanya BPR perlu membuktikan ketelusan dan jangan sampai rakyat tidak lagi akan menaruh kepercayaan kepada badan itu walaupun setelah ianya di"suruhanjaya"kan sepertimana perancangan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dinilai sebagai satu gimik sahaja. Hari ini rata-rata di sana sini telah berani mengatakan bahawa BPR hanya sebagai satu gimik politik Umno sementara Lembaga Disiplin Umno hanya ibarat patung yang tidak bernyawa sekalipun lebih 900 aduan politik wang telah dilaporkan. Apa yang mereka semua lakukan sampai tiada sebarang tindakan yang mampu diambil bagi membanteras rasuah (politik wang)?

Keranamu Pak Lah... tanahairku dibarisi para pemimpin perasuah! Andalah bapa perasuah utama yang berselindung di sebalik agenda memerangi rasuah secara besar-besaran bagi menutupi pengkhianatan yang bermaharajalela. Ku tutupkan bicara dengan rangkaian pantun-pantun dua kerat.

Ke majlis mana pun Pak Lah selalunya lelap,
Semua projek mega Pak Lah dan keluarga yang songlap.

Kalau rasa nak kaya masuklah Umno,
Bila calon-calon hulur "don't ever say NO".

Asal Pak Lah dari Kepala Batas,
Padanlah pun pemikiran Pak Lah terbatas.

Pak Lah tak tanding Presiden cuma gimik dan permainan,
Jawatan Perdana Menteri untuk Najib belum menjadi jaminan.

Timbalan Presiden belum pasti hak Muhyiddin Yassin,
Umno dah tenat sama-samalah kita bacakan yasin.

7 Responses
  1. Anonymous Says:

    Salam PP...
    Betul! Betul! Betul! Umno memang menempah masalah besar. Penyakit sendiri cari. BPR apa cerita lagi? Buatlah kerja.


  2. david santos Says:

    Nice Day for Malasian people!!!


  3. add Says:

    Tengok tu mr davis santos seronok tengok rakyat malaysia mencari hura hara .kucar kacir


  4. Anonymous Says:

    heran jugak apa tugas BPR sebenarnya? sebagai badan pencegah rasuah ke sebagai badan penggalak rasuah? dah byk laporan dibuat pun takkan takde apa2 tindakan? mustahil... nampak sgt BPR jadik barua umno...


  5. add Says:

    Hoi anonymous,bangang, setiap laporan kena ada bukti yang kukuh.Macam polis tangkap puak ko la bahlol...kalau polis tak tangkap kata polis rasuah,bila polis tangkap kata zalim,,HamPAS betul la kau ni


  6. Anonymous Says:

    Indahnya bahasa Add.laporan yg dekat 600 jumlahnya kat tg ahmad rithaudeen bkn bukti ka?


  7. Salam saudara/saudari Anonymous jam 8:30AM - 10 Disember,

    Pembetulan: Sebenarnya lebih 900 aduan yang dilaporkan kepada Lembaga Disiplin Umno dan bukannya 600 sepertimana yang anda sebutkan. Harap maklum!