Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

Pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen pada 17 Mac 2009 mengenai empat calon yang dikaitkan dengan politik wang dinilai sebagai tidak adil kerana ia seolah-olah wujudnya "double standard" ke atas calon-calon tertentu.

Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka adalah salah seorang daripada tiga calon yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO (jawatan no.2 parti) didapati bersalah di bawah perkara 10.1 - Tata-etika Ahli UMNO.

Sementara tindakan atau hukumannya pula dikenakan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO di bawah peruntukan fasal 20 - Disiplin.


Perkara 10.1 - Tata-etika Ahli UMNO tersebut membawa maksud seperti berikut:

Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah melanggar mana-mana peruntukan Tata-etika Ahli UMNO ini, maka Lembaga Disiplin UMNO bolehlah menganggap setelah ia berpuashati daripada keterangan-keterangan dan/atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen, atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tata-etika Ahli ini dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.

Hukuman yang dikenakan ke atas Ketua Menteri Melaka itu tertakluk kepada Perlembagaan UMNO di bawah fasal 20.9(c).

Fasal 20.9 membawa maksud penuh seperti berikut:


Mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan ini atau Tata-etika Ahli UMNO boleh dikenakan mana-mana hukuman yang tersebut di bawah:-

(a) Diberi amaran.

(b) Digantung hak-haknya dalam parti.

(c) Dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihanraya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi.

(d) Dipecat daripada parti.

(e) Dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.

Persolannya di sini kenapa hanya Dato' Seri Mohd Ali Rustam sahaja yang dikenakan hukuman sedemikian sedangkan Khairy Jamaluddin yang turut didapati bersalah tidak dikenakan hukuman yang sama?

Kenapa Khairy hanya dikenakan tindakan berlandaskan fasal 20.9(a) sahaja sedangkan kesalahannya adalah sama? Apa istimewanya Khairy di pandangan mata Lembaga Disiplin UMNO? Apakah kerana Khairy menantu kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia?

Mungkinkah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ada menasihati Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen agar tidak mengenakan hukuman sama terhadap Khairy sepertimana Dato' Seri Mohd Ali Rustam sebagai satu usaha "play safe" selagi tidak menduduki takhta sebagai Perdana Menteri menggantikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi?

Pendekata isu terhangat menjelang pemilihan parti ini telah menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan ahli-ahli UMNO dan juga pemimpin-pemimpin UMNO. Ada yang berpuashati dan tidak kurang juga yang tidak berpuashati khususnya di kalangan mereka yang menyokong Ketua Menteri Melaka itu.

Rata-rata mengatakan Lembaga Disiplin UMNO mengamalkan sikap "double standard" yang begitu ketara dan masih tidak telus di dalam mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh ahli-ahli parti.

Dato' Seri Azalina Othman Said yang turut didakwa dan dikaitkan dengan politik wang terkecuali dan didapati tidak bersalah. Manakala Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula yang heboh diperkatakan terlibat dengan politik wang secara jelas dan nyata didapati tidak bersalah amat diragukan dan terus menjadi tanda tanya di kalangan ramai ahli-ahli parti.

Pada perkiraan peribadi saya, bekas MB Selangor itu sepatutnya dikenakan tindakan sebagaimana yang dikenakan ke atas Ketua Menteri Melaka kerana di mana-mana pun heboh mempertikaikan politik wang yang sengaja dilakukan oleh Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, malangnya kenapa beliau begitu mudah terlepas daripada hukuman? Apa sudah jadi dengan Lembaga Disiplin UMNO?

Jika inilah kesudahannya, saya bersetuju dengan apa yang diulas oleh Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang tidak menolak kemungkinan akan adanya perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO yang akan mengusulkan pemansuhan Lembaga Disiplin UMNO.

Seandainya mahu diambil tindakan pastikan kesalahan-kesalahan yang serupa itu harus dikenakan satu tindakan atau hukuman yang sama tanpa sebarang pengecualian maka barulah Lembaga Disiplin UMNO mampu dilihat sebagai berfungsi dengan baik, adil dan saksama.

Sebagai sebuah badan penting di dalam memantau disiplin ahli-ahli parti maka Lembaga Disiplin UMNO sewajarnya terbuka menerima pandangan ramai terutama daripada ahli-ahli parti UMNO sendiri. Hari ini kredibiliti badan penting di dalam UMNO ini telah dipertikaikan oleh ramai ahli-ahli parti menjelangnya pemilihan parti yang bermula 24 - 28 Mac 2009 ini.

1 Response
  1. mrf Says:

    khir toyo boleh terlepas?tak mustahil kerana beliau merupakan anak emas mahathir dan pengikut setia mahathir.kebanyakkan calon pilihanraya diselangor adalah piliahn khir atas nasihat mahathir, dan bukan pilihan akar umbi.malangnya ramai yang kalah teruk kerana diboikot sendiri oleh orang umno. ali rustam pula walaupun ada hubungan baik dengan rahim tamby chik yang juga merupakan anak angkat mahathir, tetapi ali rustam tada hubungan istimewa dengan mahathir.namun dilihat cenderung kepada pak lah.