Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

YB Dato' Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda UMNO mempunyai peluang kemenangan yang lebih cerah jika sekiranya kedua-dua calon saingannya, YB Dato' Seri Dr Khir Toyo dan YB Khairy Jamaluddin benar-benar didapati bersalah dengan politik wang dan digugurkan kelayakan bertanding oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Seandainya situasi ini berlaku maka Dato' Mukhriz Mahathir bakal memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO tanpa bertanding. Apa pun keputusannya bergantung kepada pengumuman yang bakal diputuskan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen dalam masa yang terdekat ini.

Di antara ketiga-tiga calon Ketua Pemuda UMNO, Dato' Mukhriz dilihat sebagai satu-satunya calon paling bersih dan terbaik yang tidak terlibat dengan politik wang. Ini turut diakui oleh beberapa pemimpin parti pembangkang. Bermakna ini juga satu bonus kelebihan dan kekuatan buat diri beliau.

Beliau juga seorang calon Ketua Pemuda yang sentiasa tenang dan tidak mudah melatah di dalam apa jua keadaan malahan beliau begitu telus dan jujur mengeluarkan sebarang kenyataan meskipun kenyataannya ketika mendesak agar Pak Lah segera berundur tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu khususnya di kalangan penyokong-penyokong Pak Lah terutama anak dan menantu Pak Lah.

Jika berlaku juga pertandingan tiga penjuru, perwakilan sewajarnya memberi laluan kepada Dato' Mukhriz untuk membuktikan perubahan yang bakal diketengahkan nanti kerana inilah sebenarnya calon Ketua Pemuda yang harus kita tabalkan untuk menerajui kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia.

Beliau bukan sekadar tenang, telus dan jujur malah Dato' Mukhriz memang terserlah dengan ciri-ciri kepimpinan dan amat layak. Beliau mempunyai idea-idea yang bernas serta berwibawa ke arah membawa perubahan besar yang diinginkan oleh barisan pemuda di akar umbi.

Apalah guna kita di dalam UMNO mempunyai pemimpin pemuda yang hanya lantang bersuara berdegar-degar tetapi hakikatnya adalah "tin kosong" yang bila berbunyi maka bunyinya berdentam-dentum sehingga membingitkan telinga.

Apalah guna jika mempunyai pemimpin pemuda yang hanya bijak berpidato membahaskan isu-isu semasa sedangkan hakikatnya "cakap tidak serupa bikin"?

Apalah guna berpemimpinkan orang yang hanya tahu membaca kesalahan orang lain sedangkan salah sendiri bertaburan menjadi buah mulut orang tetapi cuba disembunyikan? Tidakkah ini hanya terpalit arang ke muka sendiri dan merugikan parti?

Sekiranya UMNO mahu melihat percaturan lebih positif dan perubahan sebenar (khususnya Pergerakan Pemuda) maka seluruh perwakilan haruslah bersepakat dan bersatu-padu untuk memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Dato' Mukhriz Mahathir dan mengundi beliau di dalam pemilihan nanti.

Sememangnya UMNO amat perlu berubah dengan memperbaharui banyak perkara yang tidak disenangi di peringkat akar umbi demi memulihkan kembali maruah parti yang telah tercalar, di samping mengembalikan semula sokongan rakyat terutamanya daripada kelompok muda-mudi generasi baru.

Jika UMNO mahu melihat semula kejayaan cemerlang di dalam pilihanraya umum akan datang maka penuhilah hajat dan hasrat yang dipinta oleh majoriti di akar umbi kerana kami di bawah umpama akar pokok yang mencengkam bumi bagi memastikan kekuatan batang pokok, dahan serta ranting agar tidak tumbang menyembah bumi. Tanpa kekuatan cengkaman akar nescaya tumbanglah seluruh pokok.

Oleh yang demikian, beringatlah untuk dijadikan iktibar bahawa pengajaran PRU12 tanpa undi kami di akar umbi telah membawa padah yang besar kepada seluruh barisan UMNO dan BN. Maka itu janganlah sekali lagi disengajai untuk melukakan hati-hati kami di akar umbi. Kemenangan pembangkang pada 8 Mac 2008 lalu bukan kerana mereka kuat tetapi memperolehi undi-undi bonus dari kami di akar umbi yang mahu mengajar kepimpinan tertinggi UMNO.

Bukan kami tidak taat setia kepada parti tetapi mahu mengajak kepimpinan tertinggi supaya berfikir dengan lebih matang lagi agar tidak keterlaluan mementingkan kroni-kroni demi agenda-agenda peribadi. Seharusnya mengambilkira pepatah orang tua, "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" maka barulah adil dan saksama buat kita semua.

Untuk pemilihan kali ini, majoriti kami di akar umbi mahukan Dato' Mukhriz Mahathir diangkat sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan bukannya calon-calon saingannya. Jika sokongan kepada suara majoriti diberikan tidak syak lagi kejayaanlah yang bakal dimiliki oleh UMNO dan BN di masa hadapan.

Tapi sekiranya suara minoriti yang lebih diutamakan dengan menolak mentah-mentah suara majoriti, akhir kalam, UMNO dan BN bakal menanggung kerugian yang lebih besar lagi daripada apa yang telah terjadi sebelumnya. Renung-renungkanlah!

0 Responses