Merafak sembah salam tahniah diucapkan kepada Tunku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di atas pelantikan dan pemasyhuran baginda sebagai DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11.
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Akhirnya empunya hak dan takhta telah kembali memayungi seluruh tanah jajahan Negeri Sembilan Darul Khusus pada usia 59 tahun setelah menanti di Seri Menanti selama lebih kurang 40 tahun dengan penuh kesetiaan dan kesabaran kerana terpaksa akur atas dasar faktor usia baginda yang terlalu muda pada ketika itu dan laluan diberikan kepada bapa saudaranya, Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, yang baru mangkat dan dimakamkan petang semalam dengan penuh adat istiadat Pepatih.
Sekali lagi tahniah dan syabas diucapkan kepada DYMM Tuanku. Juga kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus.
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Ikhlas daripada: PEMUDA PELAPIS
|
TRIO PEROSAK PARTI UMNO & BARISAN NASIONAL Semalam Ahad, 28 Disember 2008 seluruh umat Islam sedunia telah pun menyambut Ma'al Hijrah (1 Muharram 1430 Hijrah) sementara Tahun Masehi 2008 masih lagi ada 2 hari untuk dihabiskan sebelum kita semua melangkah masuk ke tahun baru 2009 Masehi.
Maka saya fikir eloklah saya menjawab satu persoalan penting daripada pengunjung blog Pemuda Pelapis yang diajukan kepada saya. Ada yang membuat komentar pada topik-topik artikel di sini dan ada juga beberapa kerat yang menghubungi saya melalui email.
Eloklah diselesaikan persoalan berkenaan pada saki-baki akhir tahun 2008 yang masih tinggal ini agar tahun 2009 nanti dapat dimulakan dengan segala cerita dan kehidupan baru. Perkara yang ditanya adalah:
Kenapa agaknya saya tidak menyokong Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan siapa pula yang saya sokong?
Jawapannya bukan saya tidak menyokong secara total tetapi sudah tentulah ada sebab dan musababnya kenapa selama ini saya meletakkan Dato' Seri Najib sebagai salah seorang dalam kumpulan "Trio Perosak Parti Umno dan Barisan Nasional". Saya amat kecewa dengan pemimpin ini akibat beliau gagal menangani banyak isu-isu rakyat. Mudah cerita beliau ini BERCAKAP TAK SERUPA BIKIN dan juga TIDAK BERPENDIRIAN TETAP.
Pemimpin yang saya sokong tanpa berbelah bagi adalah seseorang yang beriman, berkeperibadian tinggi, menjaga akhlaknya dengan baik, berhemah dan merendah diri, memahami permasalahan orang bawahan dan rakyat, mempunyai idea-idea yang innovatif, mampu berkhidmat untuk rakyat, sanggup turun padang, sedia berkorban demi sebuah perjuangan yang tulus dan segala yang baik-baik serta positif ke arah pembangunan dan kemajuan negara. Penilaian saya cukuplah jika hanya memiliki 75% markah bagi layak dipertimbangkan kerana jika saya meletakkan peratusan yang lebih tinggi rasanya tiada sesiapa pun yang akan layak.
Saya percaya anda semua tahu akan keperibadian dan kredibiliti Dato' Seri Najib di segi buruk dan juga baiknya. Memang kita wajar mengambilkira apa yang baik untuk dibandingkan beliau dengan pemimpin-pemimpin lain bagi menampakkan bahawa beliaulah yang paling layak. Tapi bagaimana pula sikap tidak baik beliau selama 5 tahun kebelakangan ini sejak dijeruk dan dirojakkan di bawah kongkongan Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi? Itu belum lagi dipersoalkan tentang skandal-skandal beliau di zaman silam.
Jika saya sahaja yang mengatakan ini mungkin tidak merugikan apa-apa terhadap dunia politik Malaysia tetapi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah turut melahirkan rasa kecewa yang serupa terhadap kredibiliti Dato' Seri Najib yang dianggap terserlah sebelumnya tetapi akhirnya malap dan pudar kerana terpaksa akur mengikut segala rentak dan telunjuk Pak Lah yang menyebabkan banyak berlakunya kebocoran di dalam pentadbiran negara dan parti sehingga mengakibatkan 5 buah jajahan baru terlepas ke tangan parti lawan.
Apakah senang untuk Umno/BN merebutnya kembali kalau tidak melibatkan sejumlah kewangan yang besar sehingga berbilion ringgit? Kita rakyat didendangkan dengan wayang kononnya kerajaan Pak Lah dan Najib mahu menghapuskan rasuah tetapi dalam masa yang sama juga kerajaan BN sedang merancang dan mengatur strategi mahu merampas semula negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang dengan rangkaan perbelanjaan yang begitu besar bagi menggerakkan jenteranya.
Tidakkah perancangan sedemikian juga wujudnya unsur-unsur rasuah? Jadi bagaimana yang dikatakan rasuah akan dapat dibanteras secara total kalau dah pucuk pimpinan sendiri yang tidak betul? Samalah maksudnya, janganlah kita hampiri zina kalau tidak mahu terjebak sebagai umat yang berzina. Apatah lagi jika kita sendiri yang merancang. Begitulah perumpamaannya.
Tidakkah kita semua fikirkan bahawa sikap acuh tidak acuh yang ditunjukkan oleh Dato' Seri Najib itu amat mengecewakan majoriti rakyat khususnya kepada sebilangan besar pendokong perjuangan parti Umno dan BN? Apakah wajar bagi beliau bertindak selaku YES MAN selama duduk di bawah telampuk kepimpinan Pak Lah selama ini?
Bukankah sikap beliau ini menampakkan satu contoh pemimpin yang mementingkan diri sendiri kerana khuatir disingkirkan oleh Pak Lah maka itu beliau terpaksa akur apa sahaja yang Pak Lah lakukan dan amat berhati-hati untuk menegur?
Tidakkah beliau sedar dan maklum terlalu banyak kepincangan yang dibawa oleh pentadbiran Pak Lah sehingga menyebabkan negara menjadi kucar-kacir dan huru-hara? Melayu berani dicabar dan Islam dicaci, dihina atas sebab sikap lembik, lembap dan masalah kronik Pak Lah ialah bersikap TAK PA sepanjang masa tetapi di mana pula Najib? Melayu sebagai peribumi dan Islam sebagai agama rasmi tananair kini dicabar dan dicaci. Apakah kita hanya sanggup membiarkan kita dihinjak dan dipijak begitu sahaja?
Angkara siapa semua ini kalau bukan kerana Abdullah bin Ahmad Badawi dan disokong buta pula oleh Mohd Najib bin Abdul Razak. Kenapa ini mesti berlaku? Butakah mata? Butakah hati? Butakah minda? Di mana akal bakal Presiden baru Umno dan bakal Perdana Menteri baru Malaysia?
Inikah orangnya? Hanya inikah satu-satunya pemimpin yang ada yang boleh menjamin perubahan dan keutuhan negara Malaysia setelah Pak Lah, anaknya dan menantunya merobek teruk pentadbiran negara sehingga kucar-kacir? Apakah orang lain tidak layak untuk dipertimbangkan sebagai pengganti?
Semua orang tahu Najib adalah anak kepada mantan Perdana Menteri ke-3 Malaysia. Selepas ini siapa pula? Apakah sepupunya Hishamuddin anak kepada mantan Perdana Menteri ke-2 Malaysia pula bakal menggantikannya nanti? Apakah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan kuasa pemerintahan keturunan?
Apakah juga dunia politik kita akan turut mengikuti Institusi Raja-Raja Melayu yang mengamalkan penggantinya daripada generasi keturunan? Bolehkah semua orang menerima kenyataan ini sebagai suatu kebetulan? Sampai bilakah situasi kebetulan ini akan berlanjutan dalam politik tanahair kita?
Kalau mahu diambilkira dan dihalusi sebaik-baiknya setelah PRU12 pada 8 Mac 2008 yang lalu, mesej yang telah diberikan oleh rakyat amat jelas dan Malaysia sudah wajar mengorak langkah baru secara drastik dan dengan lebih berani untuk mengetengahkan pemimpin-pemimpin dari golongan generasi muda yang lebih ramai berkaliber sebenarnya.
Apabila tiadanya pertandingan bagi merebut jawatan Presiden parti ianya amat mengecewakan kerana parti tidak diberi pilihan untuk memilih pemimpin dan kewibawaan Najib tidak nampak terserlah kembali setelah apa yang berlaku apabila tidak bersedia menerima cabaran atau sememangnya wujud konspirasi menyekat pertandingan untuk jawatan Presiden parti?
Selain daripada itu isteri seseorang pemimpin utama turut memainkan peranan penting dan sewajarnya bersedia turun padang dan perlu bersikap rendah diri di dalam membantu perjuangan suami. Bak kata pepatah, "masuk kandang kambing kita mengembek, masuk kandang kerbau kita menguak" begitulah yang seharusnya kita sesuaikan diri dengan keadaan.
Apa yang dilihat Datin Seri Rosmah bukanlah orangnya sepertimana Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menjadi contoh teladan terbaik setakat ini yang bersama-sama membantu suami dan pandai menyesuaikan diri dengan rakyat jelata. Juga janganlah kita lupa bahawa jatuh bangunnya seorang suami adalah kerana isteri atau jatuh bangunnya seseorang lelaki itu adalah kerana wanita.
Itulah serba ringkas komentar saya bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh rakan-rakan blogger dan pengunjung yang bertanya kenapa dan mengapa. Akhir kata sama-samalah kita fikirkan apakah yang terbaik untuk kita memperjuangkan agama, bangsa dan negara kita Malaysia yang tercinta ini.
Pemuda Pelapis: Jika benar-benar berkesungguhan mahu berubah masanya masih belum terlambat lagi.
|
Salam sejahtera kepada semua rakan blogger, pengunjung blog Pemuda Pelapis dan seluruh rakyat Malaysia.
Saya mengucapkan SALAM MA'AL HIJRAH 1430H kepada seluruh muslimin dan muslimat serta SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2009 MASEHI kepada semua. Hanya tinggal sehari dua sahaja lagi untuk kita melangkah ke tahun baru.
Hampir berlalulah sudah tahun 2008 dengan seribu kenangan pahit manis dan sejarah suka duka dalam pelbagai sudut kehidupan. Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk diambil iktibar sebagai sempadan semoga kita semua melangkah ke tahun baru dengan penuh keazaman dan tekad baru yang positif semuanya di dalam mengharungi kehidupan dan pancaroba yang mendatang.
Diharapkan segala persengketaan isu-isu perkauman dapat dihentikan segera dan tidak dibawa berlanjutan sehingga ke tahun baru nanti oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Adalah dijangka sekiranya ini berlaku dan Melayu masih terus dicabar di bumi dan tanahair sendiri maka tidaklah mustahil sesuatu yang amat buruk bakal tercetus tanpa dapat dikawal akan kesabarannya lagi kerana selama ini kaum bumiputera Melayu telah banyak bertoleransi.
Di samping itu saya turut ingin mengingatkan kepada penganut-penganut agama lain agar janganlah sengaja mencampuri urusan hal ehwal agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Contohnya seperti perkara fatwa yang digubal hanya untuk orang-orang Islam sahaja maka tidak ada kena-mengena dengan bangsa lain dan agama lain. Jadi janganlah hendak menyibuk mencampuri urusan berkenaan jika tidak mahu memudaratkan ketenteraman awam.
Soal hina-menghina tentang Islam seperti mencerca sabda junjungan Rasululullah SAW, kitab suci Al-Quran dan sebagainya adalah amat keterlaluan yang mana saya fikir kami umat Islam dan bangsa Melayu tidak sekali-kali akan bertolak ansur jika perihal seumpamanya terus dibangkitkan dan dicetuskan tanpa otak oleh mana-mana kumpulan tertentu. Cukuplah tolak-ansur kami selama ini dan jangan terlalu mencabar untuk menguji kesabaran kami lagi kerana dikhuatiri TIADA LAGI MAAF BAGIMU kali ini.
Sekian dimaklumkan dan diucapkan.
|
Al-Fatihah buat Almarhum DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 86 yang telah kembali kerahmatullah tepat jam 11:45 pagi tadi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan.
Saya dan keluarga merafak sembah salam takziah buat seluruh Kerabat Di Raja Negeri Sembilan khususnya kepada DYMM Tuanku Ampuan, Tuanku Najihah Binti Tunku Besar Burhanuddin, 84 serta putera dan puteri baginda.
Kami turut merasa sayu dan sedih mendengar berita tengahari tadi yang memaklumkan kemangkatan baginda yang kembali kepangkuan Ilahi pagi tadi setelah mengadu sakit dada dan dibawa ke hospital. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa almarhum baginda serta mencucuri rahmat ke atas roh almarhum baginda dan menempatkan almarhum baginda di kalangan para solihin. Amin!
Ikhlas daripada: PEMUDA PELAPIS
|
Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal @ Merry Christmas khusus kepada mereka yang menyambut perayaan ini.
Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan seharusnya mengekalkan tradisi saling hormat-menghormati di antara satu sama lain demi keamanan dan ketenteraman sejagat. Hapuskanlah perasaan tidak senang hati di antara kaum sepertimana yang dibangkitkan oleh puak-puak DAP yang bukan Islam dan bukan Melayu.
Persengketaan hanya mengundang kepada perpecahan dan perbalahan. Rapatkanlah semula tali persaudaraan dan perpaduan di antara kaum-kaum di Malaysia. Hak Ketuanan Melayu tidak wajar dipertikaikan sama sekali kerana telah jelas bahawa asal-usulnya Malaysia adalah Tanah Melayu yang sememangnya menjadi hakmilik mutlak bangsa Melayu.
Kepada kaum bukan Melayu sila rujuk semula sejarah dan perlembagaan. Fahamilah apa yang terkandung khususnya "Kontrak Sosial" sebagaimana yang pernah diperjelaskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelumnya.
Sekian semoga rakan-rakan kristian rakyat Malaysia bergembira dan ceria menyambut Merry X'mas.
|
Kejadian tanah runtuh pada Sabtu, 6 Disember 2008, jam 4:00 pagi di Bukit Antarabangsa, Ampang masih lagi menjadi tanda-tanya dan perbualan masyarakat khususnya di kalangan penduduk setempat.
Saya ada menemui ramai petugas serta penduduk-penduduk sekitar yang berdekatan yang terlibat dengan proses pemindahan setelah diberitakan bahawa kawasan sekeliling kejadian bencana itu tidak selamat untuk terus dihuni. Arahan berpindah dan mengosongkan kediaman-kediaman berdekatan telah dikeluarkan oleh pihak polis bagi menjamin tiada lagi mangsa-mangsa baru sekiranya berlaku lagi tanah runtuh di situ.
Kemusykilannya di sini daripada apa yang disampaikan kepada saya, apakah hanya 4 mayat sahaja ditemui sehingga kini sedangkan 14 buah rumah banglo terbabit di dalam kejadian bencana tanah runtuh yang telah menimbus rumah-rumah mereka? Kejadian pula diberitakan berlaku seawal jam 4:00 pagi ketika penghuni-penghuni sedang nyenyak tidur.
Jika difikirkan secara logik akal, kita anggarkan setiap rumah sekurang-kurangnya dihuni oleh empat atau lima orang termasuk pembantu rumah. Itu setelah dicongak setiap rumah mempunyai seorang pembantu sahaja. Bagaimana jika setiap rumah mempunyai dua atau lebih pembantu? Apakah ketika kejadian itu berlaku kebanyakan rumah banglo mewah di situ tidak berpenghuni? Ini satu tanggapan yang mustahil sekali.
Kebiasaannya, sekali pun tuan rumah secara kebetulan tiada semasa kejadian itu sekurang-kurangnya pembantu rumah sudah tentu berada di rumah untuk menjaga rumah majikan-majikannya dan kebiasaannya pula bilik tidur pembantu rumah selalunya diletakkan di bilik tingkat bawah. Apabila kejadian sedemikian berlaku sudah pasti pembantu rumahlah yang berkemungkinan besar turut tertimbus dalam bencana ini. Inilah persoalan dan tanda-tanya yang diajukan kepada saya untuk sama-sama berfikir.
Apakah tujuan pihak polis mahu merahsiakan jumlah sebenar mayat yang ditemui atau tidak ditemui? Rata-rata berpendapat kematian akibat tragedi itu melibatkan lebih mangsa (mayat) dan bukan sekadar 4 mayat sahaja. Kenapa pihak polis telah mengarahkan kerja-kerja mencari mangsa (mayat) dihentikan terlalu awal? Wajarkah mayat-mayat mangsa yang tertimbus di dalam bencana itu dibiarkan berkubur di bawah runtuhan tanah tersebut sebagai pusara kekal mereka?
Adalah dipercayai banyak lagi mayat-mayat mangsa tragedi yang masih belum ditemui oleh pihak berkuasa yang mungkin telah pun reput. Diharapkan pihak berkuasa dapat membuat penjelasan secara jujur dan telus dengan kemusykilan yang disampaikan ini berpandukan desas-desus perbualan masyarakat setempat yang masih tidak berpuashati dengan penemuan hanya 4 mayat sahaja di tapak tragedi sehingga ke hari ini.
Saya melaporkan berita rentetan ini bagi pihak masyarakat setempat yang masih tidak berpuashati supaya diberikan perhatian oleh pihak berkuasa di dalam merungkai persoalan dan tanda-tanya mereka agar terjawab.
|
Menurut ulasan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Ong Ka Chuan menerusi laporan Buletin Utama 10 Disember 2008, beliau mengatakan bencana yang menimpa penduduk Bukit Antarabangsa bukan atas sikap cuai manusia (pemaju dan pihak yang meluluskan projek).
Sebaliknya apa yang telah berlaku lebih merupakan sebagai satu malapetaka atau hanya bencana alam biasa yang tidak diduga. Katanya lagi, jika ia berlaku atas dasar kecuaian manusia tentulah rumah-rumah atau bangunan yang dibina itu telah lama roboh dalam tempoh satu atau dua tahun selepas pembinaan.
Nampaknya kenyataan beliau itu bersikap berat sebelah dan dangkal pengetahuan. Bercakap ikut sedap mulut tanpa menggunakan akal dan fikiran sebab keluarga sendiri tidak terbabit dalam kejadian bencana tersebut maka apa pun dia boleh buat ulasan. Ini tidak lebih daripada satu alasan semata-mata untuk melepas tangan daripada bertanggungjawab ke atas kejadian bencana itu.
Wahai menteri yang budiman yang kurang waras berpandangan. Tahukah anda bahawa rumah kediaman atau bangunan yang dibina merupakan satu harta kekal (aset kekal) yang apabila dibina bermakna untuk tujuan kekal sampai bila-bila selagi bumi tidak hancur? Bermakna proses pembinaannya haruslah menepati ciri-ciri keselamatan oleh pemaju dan pihak yang meluluskan projek berkenaan. Mana ada rumah atau bangunan yang dibina untuk menanti roboh atau runtuh? Lainlah jika ianya terjadi disebabkan gempa bumi tetapi di Malaysia kejadian gempa bumi tidak ada.
Persoalan kenapa ianya tidak runtuh dalam tempoh setahun dua selepas pembinaan tidak wajar dijadikan sebagai satu alasan yang tidak masuk akal. Apakah setelah ianya runtuh dalam tempoh terdekat selepas siap dibina baru boleh dianggap sebagai satu kecuaian manusia? Pendek sungguh akal dan pemikiran menteri ini.
Runtuh dalam tempoh yang tidak kekal pun adalah atas sebab kecuaian manusia. Musibah yang menimpa adalah atas sebab kerakusan dan ketamakan manusia yang lebih mementingkan keuntungan perniagaan daripada memikirkan keselamatan nyawa-nyawa manusia lain. Pihak PBT dan kerajaan negeri pula hanya tahu mencongak hasil daripada kutipan cukai tanah dan cukai pintu sebab itulah gamaknya kawasan merbahaya pun diluluskan.
Ini berlaku semasa di bawah pentadbiran Dr Mohamad Khir Toyo lagi sebagai Menteri Besar Selangor tetapi dimanakah beliau menyepi sehingga batang hidungnya pun tidak nampak di tapak kejadian? Apakah pula alasan yang akan dinyatakan oleh bekas MB Selangor itu?
Bukankah sejak tahun 1988 lagi cerun-cerun berkenaan termasuk di dalam rekod-rekod yang diwartakan sebagai kawasan tanah tinggi yang dikategorikan sebagai kawasan merbahaya? Kenapa ianya tetap diberikan kelulusan kepada pihak pemaju? Kini ianya runtuh selepas 15 tahun dibina sejak 1993 bermakna kecuaian manusia jugalah tu. Alahai bongoknya pemikiran menteri tersebut.
Satu soalan cepu emas untuk Ong Ka Chuan. Apakah anda akan membeli rumah yang nilainya berjuta ringgit tetapi hanya akan mampu bertahan selama 15 tahun sahaja sedangkan rumah kediaman merupakan aset kekal tempat berlindung sampai bila-bila selagi tidak mati dan selagi bumi tidak hancur? Sudah tentulah tidak bukan? Jadi samalah juga dengan empunya banglo-banglo yang menjadi mangsa di situ.
Sebagai pemimpin belajarlah bersikap adil dan mempunyai rasa tanggungjawab sedikit sebelum melontarkan apa-apa kenyataan. Pemilik kediaman di situ membeli kerana sudah tentulah pihak pemaju telah meyakinkan bahawa kawasan itu selamat diduduki. Bila ini terjadi kenapa semua pihak saling melepas tangan?
|
Rakyat dihidangkan oleh Pak Lah dan Najib dengan pelbagai suruhanjaya sejak akhir-akhir ini. Penubuhan pelbagai suruhanjaya umpama satu aktiviti dan program semasa sebagai agenda Pak Lah yang dibantu dan mendapat sokongan Najib. Ternyata pemikiran Pak Lah dan Najib sungguh terbatas di dalam memacu negara ke hadapan.
Sekali imbas memanglah pada satu sudut pandangan penubuhan suruhanjaya itu sesuatu yang bagus tetapi di sudut lain pula seolah-olah Pak Lah dan Najib sama-sama mahu melepaskan tangan dengan segala kemelut yang berlaku dalam pentadbiran negara dan masalah-masalah yang melanda dalam negara. Masalah-masalah yang dihadapi cuba dijuruskan kepada satu badan untuk diberikan tanggungjawab memikulnya.
Dengan mewujudkan pelbagai suruhanjaya maka tugas dan tanggungjawab pemimpin tertinggi negara telah dipikul sebahagiannya oleh suruhanjaya-suruhanjaya yang telah ditubuhkan. Semua mereka-mereka yang berada dan diletakkan di bawah suruhanjaya yang ditubuhkan oleh pemimpin pemerintah masakini harus menjadi "Pak Angguk" dan sedia dengan rela menerima arahan bagi memikul tanggungjawab itu dan ini. Ini sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan kurang praktikal.
Sepatutnya dengan kekurangan tanggungjawab dan tugas yang dipikul oleh pemimpin pemerintah setelah mengagihkan sebahagian tugas kepada suruhanjaya-suruhanjaya yang telah ditubuhkan bermakna banyak masa terluang untuk dimanfaatkan oleh para pemimpin tertinggi di dalam mengorak usaha dan langkah ke arah membantu rakyat.
Namun apa yang dilihat Pak Lah dan Najib serta barisan kabinetnya masih gagal mengurustadbir negara dengan baik sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat jelata. Kepentingan rakyat jatuhnya ke belakang sedangkan kepentingan para pemimpin lebih diutamakan. Masing-masing sibuk dengan agenda politik untuk mengejar nama dan jawatan di samping mempertahankan kedudukan sendiri lebih-lebih lagi di dalam suasana sekarang di mana menjelangnya persidangan parti pada Mac 2009 nanti.
Sekarang ini negara heboh diberitakan dengan bencana-bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh yang menimpa di sana sini. Saya percaya pasti tindakan yang sama bakal dilakukan oleh Pak Lah dan Najib dengan mewujudkan sebuah suruhanjaya baru untuk diberikan tanggungjawab bagi membuat kajiselidik, siasatan dan pemantauan. Ini adalah sesuatu yang boleh dijangka oleh rakyat akibat kedua-dua pemimpin tertinggi negara ini mempunyai daya pemikiran yang amat terbatas sekali.
Kita tunggu dan lihat sahaja apakah suruhanjaya terbaru yang akan ditubuhkan oleh Pak Lah dan Najib serta barisan kabinet di bawah kepimpinan mereka berdua untuk menangani bencana-bencana yang menimpa rakyat.
|
Persoalan ini bukanlah sesuatu yang baru malahan sejak selepas kejadian bencana yang menimpa Highland Tower lagi ianya telah difailkan hingga ke mahkamah namun pada ketika itu MPAJ bernasib baik kerana terlepas daripada menanggung liabiliti mengikut laporan media.
Kali ini saya rasa amat wajar untuk semua mangsa yang terbabit di dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa memfailkan saman mereka ke mahkamah setelah pihak MPAJ tidak mengambil endah dan tidak mempedulikan segala laporan dan aduan awal yang pernah dibuat mereka. Saya kira sudah tibalah masanya kali ini MPAJ wajar diberikan satu tamparan dan pengajaran yang cukup hebat oleh semua penghuni sekitar dan mangsa-mangsa yang terbabit di dalam kejadian.
MPAJ merupakan PBT yang bertanggungjawab meluluskan projek-projek di sekitarannya maka seharusnya bertanggungjawab terhadap hakisan tanah yang berlaku sehingga runtuh menimbus rumah-rumah mangsa sementelah pula telah gagal bertindak dengan segala aduan-aduan penduduk di situ sebelum ini. Akibat sikap ketidakprihatinan MPAJ menangani aduan yang dibuat maka bencana demi bencana telah menimpa penduduk sehingga mengorbankan banyak nyawa dan harta-benda.
Tidak hanya di Bukit Antarabangsa sahaja tetapi banyak lagi kawasan-kawasan merbahaya di bawah jajahan MPAJ yang perlu dibuat pemantauan. Contohnya semua kawasan-kawasan bertanah tinggi dan bertebing tinggi di persekitaran seperti di Taman Melawati, Ukay Perdana, Ukay Heights, Lembah Jaya, Taman Bukit Indah dan sebagainya.
Menurut seorang sahabat saya yang tinggal di sebuah apartmen di Taman Bukit Indah, Ampang berhampiran lereng bukit dan beberapa kondominium di sekelilingnya, tanda-tanda retak bangunan telah lama kelihatan dan telah diadukan kepada pihak MPAJ beberapa tahun yang lalu melalui pengurusan apartmen tempat tinggalnya namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak MPAJ. Aduan mereka diibaratkan "umpama anjing menyalak bukit" sehingga kini terus sepi tanpa sebarang tindakan susulan.
Ditambah pula dengan kerja-kerja kuari di sebalik bukit di kawasan berdekatan Bukit Belacan yang saban hari meletupkan batu-batu besar sehingga menggegarkan bangunan apartmen dan kondominium di kawasan sekitar lebih memburukkan lagi keadaan yang telah sedia retak. Nampaknya tiada usaha-usaha pemantauan dilakukan oleh pihak MPAJ dan juga tiada arahan dikeluarkan oleh MPAJ agar kerja-kerja meletup batu di situ dihentikan demi keselamatan penduduk sekitar.
Dengan kejadian demi kejadian buruk yang berlaku ini, saya menyeru kepada semua pihak media cetak dan media elektronik agar dapat tampil membuat liputan dengan bukti-bukti bergambar dan bervideo untuk dimajukan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak MPAJ selaku PBT di kawasan Ampang Jaya.
Kalau pepatah sering berkata "sudah terhantuk baru terngadah" tapi nampaknya MPAJ layak diumpamakan sebagai pihak berkuasa tempatan yang sememangnya buta dan tuli kerana setelah banyak kali terhantuk pun masih juga tidak terngadah. Mungkin dengan saman yang berjuta atau berbilion ringgit sahaja yang boleh menyedarkan mereka.
Oleh itu saya menyokong penuh agar semua pihak memfailkan saman terhadap MPAJ dengan kadar segera sebagai satu pengajaran atas kemalasan mereka menjalankan tugas sebaliknya hanya memakan gaji buta (duit haram untuk mengisi perut keluarga) setiap bulan untuk bertahun-tahun lamanya. Semoga selepas disaman mereka akan lebih bertanggungjawab menjalankan tugas demi keselamatan nyawa-nyawa penduduk.
Saya baru sahaja memuatkan undian di sebelah kanan blog ini dan sama-samalah kita mengundi sebagai sokongan bahawa MPAJ amat wajar disaman.
|
Penulis melawat ke sekitar tapak kejadian tanah runtuh yang menimpa beberapa rumah banglo kediaman mewah di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor. Kelihatan para petugas mundar-mandir memasuki tapak kejadian untuk kerja-kerja bantuan kepada keluarga mangsa dan mengawal keadaan.
|
Selepas kejadian Highland Tower di Ukay Heights, Ulu Kelang tumbang menyembah bumi pada 11 Disember 1993 (15 tahun yang lalu) dengan mengorbankan 48 nyawa, diikuti beberapa tanah runtuh di beberapa lereng bukit berhampiran kemudiannya. Kini berlaku lagi kes tanah lereng bukit runtuh sehingga mengorbankan empat nyawa di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang hari ini 6 Disember 2008.
Kejadian yang menyayat hati ini telah berlaku seawal jam 4 pagi ketika semua penghuni di situ kebanyakannya sedang nyenyak tidur namun beberapa keluarga yang terbabit dalam kejadian tersebut sempat tersedar adanya berlaku pergerakan bumi tetapi malangnya tidak berpeluang melarikan diri bersama ahli-ahli keluarga mereka kerana kejadian berlaku begitu pantas.
Saya dan keluarga merasa amat sedih dengan kejadian yang terus berulang ini. Kami sekeluarga mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga yang terlibat di dalam kejadian itu. Diharapkan mereka semua dapat bersabar dengan segala ujian dan dugaan Allah swt dan terimalah ianya dengan redha sebagai satu peringatan buat kita semua.
Mengikut kajian pada tahun 1988 lagi cerun-cerun bukit di kawasan berkenaan telah dikenalpasti sebagai kawasan bahaya untuk dimajukan dengan pembangunan perumahan disebabkan wujudnya aliran air bawah tanah namun masih ada pihak-pihak pemaju yang berdegil akibat mahu mengaut keuntungan. Walaupun peringatan telah dikeluarkan untuk dibuat kajian namun masih ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak mahu akur akan peringatan yang diberikan dengan menganggap ianya selamat untuk dimajukan dan diduduki sebagai kawasan perumahan.
Di samping itu sebagai umat Islam kita haruslah akur dan terima bahawasanya di dalam Al-Quran telah disebutkan secara jelas lagi nyata akan bahaya-bahaya meneroka bukit-bukau dan gunung-ganang untuk dimajukan sebagai kawasan penempatan manusia jika tidak dibuat kajian dengan teliti. Bukit-bukau dan gunung-ganang merupakan pasak bumi yang seharusnya kita pelihara dengan baik dan bukan untuk digondolkan oleh manusia.
Tidaklah menjadi satu kesalahan jika ianya mahu dimajukan tetapi biarlah ianya dikaji dengan baik terlebih dahulu dan bukan sekadar menggondolkannya sesuka hati mengikut selera pemaju tanpa mahu mengambilkira ciri-ciri keselamatan penghuni yang bakal menduduki penempatan tersebut. Akhirnya beginilah akibat dari kemurkaan maha pencipta kerana kegagalan memahami keterangan Al-Quran serta gagal membuat kajian terperinci secara geologi akan kaedah sebenar cara-cara meneroka bukit-bukau.
Petang tadi beberapa laporan berita memaparkan ulasan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi tentang kejadian yang menimpa. Apa yang kurang seronoknya apabila beliau sering menuding jari kepada pihak-pihak lain sedangkan kalau diamati komen beliau, siapakah pihak yang harus dipersalahkan? Pada pandangan saya menuding jari tidak menyelesaikan sebarang masalah sebaliknya ketegasan pihak kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan haruslah dipertanggungjawabkan kerana memberi kelulusan kepada pemaju-pemaju melalui pihak berkuasa tempatan.
Bukankah kementerian itu merupakan badan yang berada di bawah pentadbiran Perdana Menteri selaku kerajaan pemerintah? Kenapa selama ini tidak dibuat pemantauan bersepadu oleh Menteri dan Timbalan Menteri mereka dan seterusnya mengarahkan pihak berkuasa tempatan agar tidak meluluskan semua projek-projek yang dikenalpasti merbahaya? Kenapa kejadian runtuhan Highland Tower dan beberapa kes tanah runtuh di situ sebelum ini tidak mahu dijadikan iktibar? Apakah hanya melihat pada sudut keuntungan RM semata-mata sehingga ciri-ciri keselamatan seperti ini diabaikan?
Semoga selepas ini tidak akan ada lagi berlakunya bencana seumpama ini di mana-mana sahaja kawasan yang membabitkan cerun-cerun dan lereng-lereng bukit. Pihak kerajaan pemerintah haruslah lebih tegas membuat pemantauan dan berhati-hati meluluskan setiap projek-projek perumahan yang membabitkan kawasan berbukit. Ambillah iktibar daripada kejadian demi kejadian yang telah berlaku di sana sini.
|
Salam sejahtera buat seluruh pengunjung blog Pemuda Pelapis yang beragama Islam, sahabat-sahabat blogger Islam, para pemimpin Islam semua parti-parti politik, seluruh rakyat Islam Malaysia dan buat seluruh warga dunia yang beragama Islam.
Sekali lagi kita umat Islam menyambut ketibaan Hari Raya Aidil Adha atau dipanggil juga Raya Haji atau Raya Korban. Pemuda Pelapis seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam khususnya kepada Haji-Haji dan Hajjah-Hajjah yang berada di tanah suci kota Mekah Al-Mukarramah. Selamat menunaikan ibadah Haji (rukun Islam kelima) dan selamat kembali dalam keadaan sihat walafiat semuanya.
Sekian, "SALAM AIDIL ADHA" buat semua umat Islam.
|
We often read and heard of this slogan mostly every where. This is the slogan for Umno which it means previously, currently and forever for Umno to lead the government or it could be before, now and always with Umno for malays. The slogan can be seen every where on signboards, car stickers, buntings, banners and any places but the question here, is the slogan still relevant for Umno today?
Our political climate has far changed if compare to previous situation. Malaysian citizens are more advance in all fields especially in economic facts. They will voice out to protest any government's policies which are not fulfilled their needs and requirements. To some other races dissatisfaction is always being the issue when they felt there were no equal benefit divides by the government. This is the issue being supported by Pakatan Rakyat and they brought up to Dewan Rakyat as their agenda to gain influence. It seems to be a good advantage to opposition parties to play their role.
Umno as a party who led Barisan Nasional seen uncertainty after so many errors and wrongs being made by their leaders. It is good and a must to defend the rights for bumiputera but at the same time malays still can see Umno leaders failed to overcome many issues that claimed by component parties. For instance MCA is one of it where they are now so open and greedy to claim this and that. Then later after they followed up to demand to eliminate 30% of malays equity. Will Umno's top leadership going to consider to fulfill all their requests in order to please them as a component partner?
We are observing what will be done by the leadership in this regard. Hate to see the more reprimand being hurled the more mistakes and weaknesses occurred there and here. If Umno leadership continuously making the wrong decision again and again, means they put their party to a high possibility for severe struggling in future. It is sinful for those who led Umno today to see as if the party just like an old folk waiting for death. They must not be self-centred but have to kindly consider of our future generation.
Most malays are still anger on various issues and Umno leadership should not look this matter as something trivial if they may want to keep-up the slogan "Dulu, Kini dan Selamanya" to be relevant forever otherwise the next general election (13th general election) is going to be nightmares to Umno. The 2008 general election has given enough lesson to Umno leadership if they really concern and mindful to post-mortem. If no updates and upgrades being done by the leaders, it is believed no more forgiveness for Umno this time. Umno will be buried forever.
Therefore all Umno leaders are advised to stop fooling around promptly. Current issue is about economic burden should be resolved with care and more responsible by the government. People are still waiting all prices for essential goods to be reduced instantly to the normal prices. Government are urged to do something. BN as a ruling party should put effort in resolving this matter. Now is the time to prove to opposition parties that BN does not stand for "barang naik" (goods prices up) but make it be "burden nil".
|