Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Saudara-saudari yang dihormati sekalian. Setelah beberapa hari Telekom memberi masalah kepada saya dan orang-orang di kawasan saya, baru hari ini saya mampu aktif kembali untuk menulis dan memantau blog.

Ketika kembali melayari blog-blog politik, yang pertama saya baca adalah blog chedet.com sebagai sumber inspirasi saya. Tajuk terkini yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohamad ialah mengenai langkah kerajaan yang dikatakan mahu mengurangkan beban rakyat. Khabarnya bajet 2009 akan dibentangkan pada 29 Ogos 2008 akan datang mengikut laporan berita TV malam tadi.

Penulisan Tun itu cuma ringkas tetapi padat jika mahu dihuraikan. Apa yang difahami, pandangan Tun sebenarnya, kenapa kerajaan harus menaikkan harga minyak sehingga 40% seperti yang dilakukan? Bukankah elok jika hanya dinaikkan sebanyak 10% sahaja dahulu manakala selebihnya itu disusuli secara berperingkat-peringkat atau dilakukan dengan cara alternatif lain agar tidak menekan kehidupan rakyat?

Contohnya, kenaikan sebanyak 40% itu membuatkan kerajaan terpaksa memerah otak untuk mengadakan pelbagai jenis subsidi kepada rakyat di dalam meringankan beban rakyat. Bukankah lebih baik bekerja "in smart manner" daripada melakukan secara itu? Dengan hanya menaikkan 10% dahulu harga minyak maka kerajaan tidak perlu memikirkan apa-apa subsidi lain untuk rakyat kecuali memikirkan bagaimana untuk menampung lagi 30% sahaja yang terpaksa ditanggung kerajaan.

"Pi mai, pi mai, tang tu jugak" kerajaan mencari jalan menutup semula lubang. Alangkah mudah dan baiknya jika daripada awal tidak perlu membabitkan kesusahan rakyat. Subsidi yang diagihkan itu atau yang masih ada dalam cadangan seharusnya diperuntukkan untuk mengatasi hal-hal dalaman kerajaan sendiri jika kenaikan hanya dibuat pada tahap 10% sahaja. Jadi, tidaklah banyak kerja yang perlu dilakukan. Kenapa suka buat kerja susah sedangkan kerjanya cukup mudah?

Dengan cara yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan DS Abdullah Ahmad Badawi itu, saya nampak ianya sebagai satu gimik di mana beliau mahu menarik kembali sokongan rakyat terhadap beliau dengan adanya banyak subsidi yang disediakan oleh kerajaan. Ini semua sebenarnya permainan politik DS Abdullah Ahmad Badawi sahaja.

Ini juga adalah agenda-agenda tersembunyi yang telah dirancang ke arah mencari populariti di kalangan pemimpin tertinggi di dalam tempoh-tempoh terakhir sebelum peralihan kepimpinan sebagaimana yang dicadangkan. Kita khuatir "PM Flip Flop" ini akan mula lupa diri jika diberikan sokongan semula kepada beliau. Silap haribulan, peralihan kepimpinan tidak akan berlaku sepertimana yang telah diwar-warkan.

Oleh yang demikian, semua ahli-ahli MT dan ahli-ahli di akar umbi bijak-bijaklah berfikir melangkaui pemikiran silap mata DS Abdullah Ahmad Badawi serta kroni-kroninya jika Umno/BN mahu kembali meraih sokongan padu daripada rakyat seluruh negara.

0 Responses