Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Sebagai Tok Guru Agama dan juga pemimpin PAS berjawatan Menteri Besar Kelantan sejak 18 tahun lalu, kita biasa mendengar berbagai-bagai saranan, kontroversi serta mekanisme yang dibawa oleh DS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak menerajui kepimpinan negeri Kelantan Darul Naim.

Terbaru beliau menitikberatkan soal SOLAT FARDHU 5 WAKTU sebagai syarat pengambilan bekerja bagi jawatan pemimpin, ketua jabatan dan kakitangan awam kerajaan negeri Kelantan. Berikut adalah memetik kenyataan beliau oleh Bernama;

Nik Aziz cadang pengambilan pemimpin, kakitangan awam penuhi solat lima waktu
07/07/2008 12:40pm

KOTA BHARU 7 Julai — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membawa satu usul dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mewajibkan mereka yang menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat sebagai syarat wajib pengambilan bekerja bagi pemimpin, ketua jabatan dan kakitangan awam kerajaan negeri.

Beliau berkata cadangan untuk syarat menunaikan solat itu akan dijadikan sebagai satu kemestian dalam memegang jawatan sama seperti syarat kelayakan mesti lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan.

“Saya akan mencadangkan di dalam dewan sebagai syarat wajib untuk memilih jawatan ketua kampung, tok penghulu, pemimpin dan kakitangan awam. Mereka mesti menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.

“Syarat ini bagi memastikan mereka yang dipilih adalah mereka yang menjaga akhlak mereka supaya menjauhi daripada elemen rasuah dan tidak bermoral,” katanya kepada pemberita semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-12 berhenti rehat, di sini hari ini.

-Bernama

Saranan ini amatlah baik sekali namun persoalannya di sini, bagaimanakah kaedah pemantauan yang mahu dibuat oleh beliau dan barisan kepimpinan kerajaan negeri terhadap calon-calon berkenaan? Bagi pemilihan baru apakah calon-calon baru itu harus membawa saksi-saksi yang menyokong bahawa calon itu sememangnya bersolat 5 waktu selama ini?

Bagaimana pula soal kenaikan pangkat atau jawatan lebih tinggi nanti? Ini kerana solat 5 waktu itu berlaku di ketika luar waktu pejabat. Contohnya, solat Subuh dilakukan di rumah ketika awal pagi, solat Zohor atau Jumaat pula di waktu rehat tengahari, solat Asar boleh dikerjakan selepas waktu pejabat samada di surau, masjid atau di rumah setelah pulang dari kerja. Sementara solat Maghrib dan Isyak sudah semestinya semua kakitangan berada di rumah masing-masing.

Diharapkan seruan yang baik ini harus disokong oleh semua pihak tanpa mengira ideologi politik dan semoga dapat dilaksanakan oleh Tuan Guru di bawah kerajaan pimpinannya untuk dicontohi oleh kerajaan negeri-negeri lain. Walau bagaimanapun beliau haruslah terlebih dahulu mengkaji semasak-masaknya di sudut kesahihan calon, cara memantau dan apakah ianya praktikal atau pun tidak untuk dijadikan sebagai syarat utama.

2 Responses
  1. Anonymous Says:

    Salam Pemuda Pelapis...

    Sebenarnya cadangan oleh TG Nik Aziz itu untuk kebaikan umat Islam tetapi TG tidak memikirkan di pihak kaum lain yang merasa tidak adil. Tengok saja semalam telah ada komplen balas drp pihak kaum cina.

    Apa yg saudara sebutkan waktu2 solat di luar masa bekerja itu adalah betul dan bagaimana TG nak memantau perkara itu dengan berkesan. Sekurang-kurangnya saudara telah menjawab cadangan TG dan saya berharap ada wakil drp pihak TG membaca tulisan saudara di blog ini utk difikirkan semula bagi mencari kaedah terbaik sebelum ianya dilaksanakan. Syabas kepada saudara.


  2. Salam kembali saudara Ismail,

    Memang saya faham ianya ada kebaikan tetapi seperti apa yang saya tuliskan dalam artikel itu, perkara ini seharusnya diteliti dan difikirkan dengan lebih mendalam di dalam menepati kaedah pemantauan sebelum ianya boleh dilaksanakan.

    Ada sesetengah pihak lain menganggap saranan ini tidak masuk akal dan tidak praktikal. Bukan bermaksud mahu mengenepikan agama katanya tetapi sedikit bercelaru dan mengelirukan. Entahlah... sebelum membuat sebarang kesimpulan eloklah kita dengar komen drp banyak pihak terlebih dahulu.