Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Di dalam apa-apa perkara pun sikap keterbukaan ini sebenarnya penting. Ia secara tidak langsung menyerlahkan keperibadian individu itu sendiri. Lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan orang-orang yang dikenali ramai seperti personaliti, artis, usahawan ternama, ahli korporat, dermawan, hartawan, ahli politik dan sebagainya. Di sini saya mahu membicarakan tentang sikap keterbukaan ahli-ahli politik tanahair baik dari pihak kerajaan mahu pun di pihak pembangkang.

Sepertimana kita semua maklum, hari ini media blog telah menjadi pilihan rakyat Malaysia khususnya di dalam membicarakan soal isu-isu politik semasa. Media alternatif ini telah mendapat perhatian ramai sejak selepas PRU12 yang lalu. Ini kerana rata-rata menyifatkan media arus perdana percetakan dan elektronik tidak lagi boleh dipercayai sepenuhnya akibat laporan yang dipaparkan kepada masyarakat diistilahkan rakyat sebagai tidak telus dan berat sebelah, yang lebih memihak kepada kerajaan.

Lebih kritikal lagi sejak kebelakangan ini media arus perdana disifatkan rakyat sebagai keterlaluan memihak kepada individu pemimpin tertentu khususnya Perdana Menteri "Flip Flop" yang dianugerahkan rakyat kepada DS Abdullah. Banyak kedengaran rentetan dan rungutan daripada pelbagai pihak yang tidak berpuashati sehinggalah suratkhabar-suratkhabar berbahasa Melayu dan Inggeris tidak lagi laris berjual seperti dahulu. Dengan situasi ini maka syarikat percetakan akhbar mungkin terpaksa mengurangkan pengeluarannya dan sudah tentulah pungutan hasilnya akan turut berkurangan.

Kerugian demi kerugian adalah dijangka bakal berlaku ke atas syarikat-syarikat akhbar terkenal (tidak perlu saya sebutkan kerana semua orang tahu). Inilah padahnya akibat terlalu mengikut telunjuk pemimpin tertentu dan membenarkan campurtangan pihak-pihak berkepentingan di dalam pengurusan syarikat akhbar mereka. Kredibiliti sudah terjejas disebabkan tidak melaporkan berita secara adil dan saksama. Keterbukaan dan ketelusan sudah tidak lagi menjadi amalan untuk dipraktikkan. Apa yang ada di benak pengurusan hanyalah mencari keuntungan politik. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendung pula keciciran... maka padanlah muka!

Namun suratkhabar berbahasa pilihan lain seperti Tamil dan Cina dikatakan semakin laris (khususnya suratkhabar Cina) dibeli kaum berbangsa India dan Cina atau mungkin juga bangsa-bangsa lain yang memahami bahasa Tamil dan bahasa Cina (Mandarin). Tidak kurang juga dikhabarkan kaum Melayu membeli dan membaca suratkhabar ini. Kenapa agaknya laris sedangkan yang lain tidak habis pun berjual? Sudah tentulah ada seribu satu cerita dan rahsia di sebaliknya atau adakah kerana laporannya lebih telus dan dibuat secara terbuka? Ada sesetengah pendapat mengatakan ada terkandung agenda-agenda berbau hasutan kaum. Benar atau tidak, perlulah sama-sama kita siasat dahulu.

Blogger Ahli Politik

Tentang laman web dan blog pula, ada yang sedia mengamalkan sikap keterbukaan namun tidak kurang yang enggan menerima pendapat orang lain. Bagi saya itu adalah hak masing-masing bergantung kepada empunya blog itu sendiri. Jika hanya membabitkan blogger biasa yang tiada nama tak mengapa tetapi apa yang mendukacitakan bilamana melibatkan ahli-ahli politik tertentu yang dikenali. Nyata amat songsang sekali perjuangannya dan tidak sebagaimana yang gah dilaungkan.

Sekurang-kurangnya apabila seseorang ahli politik itu telah bersedia untuk mendekati rakyat melalui medium ini maka sikap keterbukaan dan ketelusan itu amatlah penting dipraktikkan. Mereka tidak seharusnya bersikap "bias" terhadap kritikan dan kecaman daripada mana-mana pihak yang mengulas di ruangan komen. Sekali pun tidak bersetuju dengan pendapat yang diberikan, ianya harus disiarkan asalkan si pengulas itu masih bersopan di dalam bahasanya tanpa melontarkan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya.

Bagaimanakah kita mahu menilai sesebuah blog itu baik atau tidak baik di sudut sikap keterbukaannya? Tidaklah sukar untuk kita menilainya. Asas yang utama ialah penulis blog itu sedia menerima teguran, nasihat, kritikan dan kecaman oleh pengunjung yang sudi membuat ulasan pada mana-mana topik yang disiarkan di blognya.

Blogger yang bagus tidak hanya menyiarkan pujian semata-mata tetapi turut menyiarkan kritikan ke atas penulisannya asalkan bahasa kritikan itu masih lagi dikategorikan sebagai sopan. Namun ramai juga blogger politik yang takut pada bayang-bayang sendiri sehingga tidak berani menghadapi realiti. Apa yang hanya dipaparkan pada ruangan komen mereka cuma segala pujian dan bodek sahaja tetapi segala teguran dan kritikan langsung tidak mahu disiarkannya.

Di antara contoh blog yang tidak baik adalah seperti blog DS Anwar Ibrahim (PKR), Nurul Izzah (PKR), Karpal Singh (DAP), Khairy (Umno), DS Mohd Ali Rustam (Umno) dan banyak lagi yang tidak mampu disebutkan satu persatu baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang. Mereka ini hanya suka dipuji tinggi menggunung hingga melangit tetapi apabila ditegur, dikritik atau dikecam walaupun berbahasa sopan tidak akan diterima malahan cukup takut untuk disiarkan.

Pada pandangan saya ini mungkin dipandang kecil oleh sebilangan besar masyarakat tetapi jika mahu dihalusi sebenarnya ia merupakan satu perkara yang cukup besar dan bakal membawa kudis apabila semakin besar kuasa politiknya. Tidak mustahil golongan sedemikian adalah penyumbang kepada kepincangan politik masa depan yang boleh mencemarkan kepemimpinan negara.

Jika kritikan di ruangan ulasan blog sudah dinafikan, apakah anda yakin suara-suara anda akan didengari dan mahu diterimapakai oleh mereka ini setelah kuasa politik semakin besar berada di tangan mereka? Dahulunya kita mungkin sukar nak menilai pemimpin-pemimpin lampau kerana ketika itu mereka tiada blog. Jadi dengan persepsi rakyat yang sudah berubah lebih mempercayai kuasa berita blog maka eloklah daripada sekarang semua rakyat blogger membuat penilaian terhadap pemimpin yang berblog samada mereka bersikap terbuka atau pun sebaliknya. Di sinilah titik tolak landasan awal untuk rakyat mula menilai mereka.

Bagi contoh blog yang saya anggap baik kerana mengamalkan sikap terbuka ialah seperti blog Tun Dr Mahathir Mohamad (mantan PM), TS Muhammad Muhd Taib (Umno), Dato' Noh Hj Omar (Umno), DS Dr Mohamad Khir Toyo (Umno), Zulkifli Nordin (PKR), Zuraida Kamaruddin (PKR), Teresa Kok (DAP) dan banyak lagi yang lain. Blog-blog ini saya lihat masih terbuka menerima sebarang kritikan dan tidak "bias".

Blog Parti Keluarga Rakus (PKR)

Untuk blog Anwar Ibrahim dan anaknya Nurul Izzah, kemengarutan mereka dilihat amat jelas dan ketara sekali. Saudara-saudari bolehlah masuk menjenguk sendiri dan membaca ulasan-ulasan daripada para penyokong taksub keluarga ini. Apa yang tertera disiarkan hanyalah puji-pujian sahaja. Bertuah jika anda berjaya terjumpa kritikan dan kecaman di dalam blog mereka. Itu dipastikan tidak akan disiarkan oleh dua beranak yang mengarut ini.

Lebih-lebih lagi dalam kemelut semasa di mana seluruh negara digegarkan kes liwat kali kedua dilakukan oleh Anwar Ibrahim. Saya mengambil contoh peribadi apabila saya cuba membuat posting nasihat yang baik kepada beliau dua beranak di kedua-dua blog tersebut namun tidak berani disiarkan mereka dua beranak. Inikah manusia yang mahu terus disokong oleh penyokong-penyokong taksub mereka?

Seharusnya mana-mana sahaja ahli politik yang menafikan suara teguran dan nasihat rakyat sewajibnya tidak harus diberi sokongan kerana jika mereka berjaya memegang tampuk kekuasaan yang lebih besar lagi sudah tentulah mereka akan terus bersikap menafikan sebagaimana contoh di depan mata kita sekarang iaitu Abdullah "PM Flip Flop" kita. Apakah masih mahu membuka peluang lagi kepada golongan ahli politik yang bersikap sedemikian yang bakal menghancurkan agama, bangsa dan negara?

Apabila perkara sekecil ini pun sudah dinafikan, apakah mustahil bagi mereka untuk menafikan perkara yang lebih besar? Oleh itu saudara-saudari semua renung-renungkanlah dan fikir-fikirkanlah. Saya mengajak anda sama-sama menilai buruk dan baiknya demi masa depan agama, bangsa dan negara yang tercinta ini.

1 Response
  1. Anonymous Says:

    betul apa yg saudara kata tu. saya sokong penuh sbb skrg masing2 ahli politik ada blog tp cuma siarkan komen pujian je yg org kritik takut nak siarkan. ini semua pemimpin mangkuk...

    farouk