Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Bagi mencari kebenaran terhadap tuduhan kes liwat ke atas Ketua Umum PKR, DS Anwar Ibrahim yang dibongkarkan oleh bekas pembantu peribadinya sendiri, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menjadi mangsa terbaru, kita telah mendengar dan membaca berbagai-bagai pandangan daripada alim-ulamak serta cerdik pandai Islam.

Menurut YAB MB Kelantan, DS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, melalui kenyataannya yang disiarkan media tempohari menyarankan agar DS Anwar dan Mohd Saiful seharusnya bersumpah dengan menjunjung Al-Quran adalah kaedah terbaik di dalam menentukan kebenaran di mana-mana pihak.

Cadangan MB Kelantan tersebut disambut baik oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Beliau mengesyorkan agar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjadi orang tengah di dalam menyelesaikan perkara tersebut. Katanya, MB Kelantan itu berupaya bertindak sebagai orang tengah memandangkan beliau mempunyai ilmu agama yang tinggi.

Bagi Pergerakan Pemuda Umno Terengganu pula, mereka meminta Mufti Perlis itu tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.

Namun pada pandangan ulamak lain seperti Mufti Perak, Dato’ Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Hasyim Yahaya dan beberapa yang lain menegaskan DS Anwar tidak perlu bersumpah dengan alasan ianya tidak menepati undang-undang Islam kerana kes ini dikatakan sebagai satu dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum kazaf. Dalam masa yang sama juga Mufti Perak itu menempelak sinis terhadap kenyataan Mufti Perlis yang menyokong saranan Tuan Guru Nik Aziz, katanya, “itu cadangan dari orang yang terlebih pandai”.

Sementara itu DS Anwar sendiri enggan mengulas cadangan bersumpah ini apabila diajukan soalan oleh para wartawan tetapi hanya berlalu begitu sahaja bersama kawalan ketat oleh para penyokong beliau. Walau bagaimanapun, lewat petang Ahad, 6 Julai 2008 ketika berucap di Stadium Kelana Jaya pada perhimpunan Protes, beliau sedia bersumpah tetapi berlapik kata agar diadakan bukti-bukti terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan ke atasnya dan haruslah dilaksanakan berpandukan undang-undang syariah sepenuhnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz pula berpendapat, mubahalah tidak perlu dilakukan di dalam kes ini kerana hanya akan mendedahkan aib seseorang itu di khalayak ramai, di samping membuka ruang kepada pihak lain untuk campurtangan yang mungkin lebih memburukkan keadaan.

Apa kata Pemuda Pelapis?

Ada macam-macam pendapat telah dilontarkan untuk didengar dan dibaca rakyat. Ada yang datangnya dari pihak Islam Hadhari, ada dari pihak Islam PAS, ada dari pihak Islam PKR dan ada dari pihak Islam atas pagar (ikut angin bertiup). Pendekata masing-masing merasa sudah cukup pandai belaka sehingga ada Mufti negeri lain sanggup menyindir Mufti negeri lain secara sinis. Kedua-duanya dari utara tanahair. Namun di sini, pihak manakah layak dikategorikan sebagai Islam sejati kalau dah semuanya mengaku hebat dan betul?

Al-Quran cuma satu sahaja dan isikandungannya pun itu juga. Yang berbeza mungkin cara memahami intipati yang terkandung di dalam Al-Quran itu. Hadis Nabi walaupun banyak tetapi semua ulamak kalau kira nak buat rujukan pada mana-mana kitab Hadis pun pastikan difahami sepenuhnya dan diamati betul-betul dahulu sebelum tampil berhujah. Jangan bertopengkan gelaran Mufti, Tuan Guru, Ustaz dan kata nama Haji di depan maka kita merasa kita lebih hebat daripada semua orang lain. Juga jangan hanya bersandarkan kopiah, songkok atau serban di kepala sahaja sepertimana saya selalu sebutkan dahulu.

Sebarang pertindihan pendapat di kalangan alim-ulamak seharusnya mereka duduk bermuzakarah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan umum di dalam “mengiya” atau “menidakkan” perkara berkait sumpah atau mubahalah ini. Bukan dengan kaedah sindiran sinis dan sebagainya. Inikah tahap kualiti ulamak Islam di bumi Malaysia hari ini?

Menyentuh pihak yang kena tuduh dan pihak yang membuat tuduhan sudah tentulah masing-masing akan cuba menegakkan kebenaran diri mereka. DS Anwar semestinya seronok mendengar kenyataan daripada pihak yang mengatakan beliau tidak perlu bersumpah dan saranan ini kononnya tidak menepati undang-undang Islam. Bagi budak bernama Saiful pula tentulah suka mendengar kenyataan yang disarankan oleh pihak yang menyuruh bermubahalah menjunjung Al-Quran jika beliau merasakan tuduhannya berasas tetapi kemungkinan cuak juga sekiranya tuduhan itu hanya rekaan semata-mata. Apa yang pasti, saya percaya DS Anwar tidak akan berani bermubahalah menjunjung Al-Quran.

Jika telah ada pihak berbunyi mengatakan kononnya ada banyak lagi cara serta kaedahnya maka kemukakanlah ke arah mencari jalan penyelesaian secepat mungkin. Kenapa harus dilengahkan setelah isu ini membingitkan telinga rakyat dan sehingga mengganggu urus tadbir negara? Sila tampil ke depan memberikan hujah yang berfakta sahih, apakah kaedah lain tersebut yang dimaksudkan?

Jika mengikut pandangan saya, ketetapan keputusan Allah swt adalah muktamad sepertimana saya maklumkan dalam tajuk sebelum ini bahawa DS Anwar bin Ibrahim didapati bersalah. Saya tidak akan mendengar cakap-cakap sesiapa meskipun dia Mufti ke, Ustaz ke, Haji ke atau mana-mana ulamak pun selagi dia makhluk Allah swt sepertimana saya. Ulamak yang ada pada dunia hari ini majoritinya adalah “ular dalam semak” yang bermaksud, apabila ada kepentingan maka apa pun mereka sanggup bersubahat tanpa takutkan dosa terhadap Allah swt.

Hari ini dia boleh kata begini dan esok pula dia boleh kata begitu. Kerana apa agaknya? Samada disedari ataupun tidak disedari oleh ulamak itu sendiri, perkara sedemikian telah termaktub di dalam Al-Quran terhadap ulamak di akhir zaman. Ulamak pada dunia akhir zaman telah diberitakan Allah swt bahawa mereka sanggup mengiyakan apa yang tidak dan menidakkan apa yang sebenarnya. Petanda hampir kiamat sudah jelas. Dari golongan ulamak jugalah yang akan menyesatkan umat manusia nanti. Beringatlah selalu jika anda tergolong sebagai kaum yang mahu berfikir.

Mendustakan apa yang benar adalah lumrah kelakuan ulamak di akhir zaman. Mereka sedia memanipulasi dengan apa cara pun kerana gelaran dan pangkat seperti yang saya sebutkan tadi maka manusia lain mudah mempercayai mereka. Lebih kurang sahaja gelagatnya sepertimana juga seorang doktor ternama atau bomoh terkenal. Kalau direndam selipar jepunnya dan air rendaman itu diberi minum kepada pesakit pun nescaya ada manusia yang sanggup. Maka itu saya tidak hairan dengan ulamak yang ada sekarang di bumi Malaysia ini.

Kes meliwat adalah satu kesalahan yang amat berat dan lebih besar dosanya daripada berzina. Apakah sekadar itu sahaja ilmu-ilmu yang difahami oleh semua alim-ulamak yang ada? Kenapa tidak mahu berbalik memohon petunjuk daripada Allah swt bagi diri sendiri dan kemudiannya barulah tampil ke hadapan menjadi orang tengah untuk mengadilinya jika kalian benar-benar Islam sejati yang bertanggungjawab terhadap Tuhanmu. Bukankah itu tugasmu dan amanat itu diberikan Allah swt kepada kamu? Ingatlah bahawa tugas seorang ulamak sebenarnya meletakkan sebelah kaki di syurga dan sebelah kaki di neraka. Jika tersilap langkah nescaya binasa dan jahanamlah kamu.

Akhirkata, janganlah sesiapa mudah diperdaya dengan hanya kata-kata. Carilah kebenaran hakiki menggunakan fitrah akal dan fikiran sendiri yang mulia dijadikan Allah swt untuk kamu. Rujuk kepada talqin pun sudah cukup untuk anda mengetahui apakah yang sepatutnya anda lakukan di ketika hidup ini. Jawapannya ada di situ maka cungkil-lah rahsianya sebaik-baik mungkin. Insaflah wahai manusia!

1 Response
  1. Salam... Saudara.

    KES LIWAT ANWAR : MAHKAMAH ATAU MUBAHALAH ?

    1. Minggu lepas, Mufti Perlis DR. Mohd Asri Zainul Abidin telah mencadangkan agar Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan (mangsa liwat) membuat satu ikrar sumpah menerusi kaedah 'mubahalah'. Dalam masa yang sama pihak polis masih lagi menyiasat kes tuduhan liwat ini ke atas saksi-saksi yang boleh membantu keterangan Mohd Saiful Bukhari dan juga membantu pihak polis di dalam menentukan sama ada kes tuduhan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim ini ada 'prima fasy'.

    2. Ada yang menyokong pandangan daripada Mufti Perlis ini agar sipetuduh dan juga orang yang kena tuduh dalam kes liwat ini melakukan mubahalah agar kes ini dapat diselesaikan.Namun terdapat juga di antara tokoh-tokoh agamawan serta ulama di negara ini yang berpendapat bahawa mubahalah ini tak perlu. Antaranya yang berpendapat sedemikian ialah Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria, Ketua Pengarah JAKIM dan yang terbaru ialah Tuan Guru HJ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dalam kenyataan di Utusan Malaysia hari ini, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan bahawa mubahalah tidak perlu dilakukan sekarang kerana ianya adalah jalan penyelesaian yang terakhir sekali kerana kes ini masih dalam siasatan dan ianya perlulah melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Jika proses mahkamah menjadi buntu, barulah mencari jalan terakhir dengan dilakukan proses mubahalah.

    Untuk ulasan saya seterusnya...sila berkunjung ke blog saya...

    www.shamsuddinmoner.blogspot.com