Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

Khairy Jamaluddin Abu Bakar memenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bagi penggal 2008/2011. Beliau dilihat banyak menimbulkan kontroversi sejak dari awal pembabitannya dalam dunia politik.

Ketika ditabalkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau lagi beliau sudah tidak disenangi ramai. Sementelah pula pada ketika itu beliau diangkat naik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Kebangsaan yang menang tanpa bertanding. Laluan mudah itu dinilai sebagai jalan pintas yang tidak sepatutnya berlaku. Dari situasi inilah berpuncanya perpecahan di barisan pemuda.

Pada pemilihan parti di persidangan yang baru berlalu, jawatan Ketua Pemuda ditandingi tiga penjuru oleh dua lagi calon lain iaitu Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir. Walau bagaimanapun keputusan akhirnya memihak kepada Khairy Jamaluddin yang memperolehi 304 undi berbanding Dr Khir Toyo 254 undi dan Mukhriz hanya mendapat 232 undi sahaja.

Khairy bukan sekadar memenangi jawatan Ketua Pemuda sahaja malahan beliau turut memenangi peratusan cacian tertinggi di sepanjang persidangan berlangsung di PWTC terutama selepas diisytiharkan sebagai Ketua Pemuda yang baru. Apakah sebabnya?

Dari tinjauan dan temubual dengan kelompok-kelompok tertentu khususnya di kalangan perwakilan dan juga ahli-ahli Kelab UMNO Luar Negara, rata-rata tidak berpuashati dengan kemenangan yang diperolehi Khairy.

Alasan-alasan yang diberikan mereka ialah kerana Khairy telah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO tetapi hanya diberi amaran sedangkan kesalahan yang sama oleh Dato' Seri Mohd Ali Rustam telah menghalangnya daripada bertanding. Ini sesuatu yang tidak adil dan telah berlakunya diskriminasi terhadap calon-calon yang bertanding.

Lebih mengecewakan lagi kata mereka apabila di hari dan malam terakhir sebelum perwakilan pemuda mengambil tempat untuk mengundi keesokannya, Khairy telah dihidu menggunakan taktik kotor dengan menyogok sebilangan besar perwakilan di antara RM10,000 hingga RM25,000 setiap seorang bagi membeli undi untuk memastikan kemenangannya.

Rumusannya, majoriti ahli-ahli UMNO di kalangan pemuda dan juga veteran melihat bahawa kemenangan Khairy dinilai sebagai bukan kemenangan mutlak kerana beliau dipilih secara tidak demokratik. Sejumlah 304 perwakilan yang mengundi Khairy adalah mereka yang tidak bermaruah kerana memperjudikan nasib agama, bangsa dan negara dengan meletakkan orang yang telah didapati bersalah sebagai pemimpin pemuda.

Lebih 700,000 orang ahli-ahli pemuda seluruh negara telah dirobekkan oleh sekumpulan 304 perwakilan yang mendokong politik wang bermaharajalela di dalam parti. Bagi majoriti ahli-ahli pemuda di akar umbi perkara yang berlaku ini sama-sekali tidak dapat diterima dan mereka meluahkan rasa yang amat kecewa dan terkilan. Mereka mengecam kumpulan 304 perwakilan yang telah memberi undi kepada Khairy yang disifatkan sebagai undi rasuah.

Ke mana sudut pun saya berlabuh di PWTC di sepanjang persidangan berlangsung, apa yang saya dengar rata-rata tidak rela berpemimpinkan Khairy Jamaluddin. Dalam perbualan dengan beberapa pemuda dari Sabah, suka atau tidak suka, kini Khairy telah dipilih menjadi Ketua Pemuda maka kita terpaksa akur dan menghormati keputusan yang telah dibuat.

Tambahnya lagi, sungguhpun majoriti ahli-ahli pemuda hampa dan kecewa tetapi demi memperkukuhkan semula barisan pemuda, kita harus memberi kerjasama kepada Ketua Pemuda yang baru. Soal politik wang yang diamalkan beliau kita serahkan saja kepada pihak berwajib untuk mengadilinya dengan bijaksana. Begitulah luahan hati beberapa pemuda dari Sabah.

Pada pandangan saya, Khairy sedar bahawa beliau hanya memperolehi 304 undi sahaja yang mana tidak sampai pun separuh daripada jumlah penuh perwakilan. Bermakna 486 lagi perwakilan tidak menyokong beliau. Sementara di luar sana secara keseluruhannya melebihi 700,000 orang ahli-ahli pemuda yang sebahagian besarnya menentang Khairy tetapi lebih cenderung kepada dua lagi calon yang tewas.

Situasi ini dilihat akan menyulitkan tugas Khairy untuk menerajui barisan pemuda sekiranya luka kekecewaan majoriti ahli-ahli pemuda di akar umbi tidak mampu dirawat oleh Khairy dengan sebaik-baik mungkin. Apakah wang juga yang akan menjadi taruhan sebagai penawar terbaik untuk Khairy mengubat duka-nestapa mereka? Bijak-bijaklah merencanakan strategi terbaik di dalam usaha meneruskan agenda memupuk semangat setiakawan sebagaimana slogan kempen Khairy dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO tempohari.

Hari ini kita mahu melihat kesemua sayap-sayap parti di dalam UMNO kembali bersatu dan membentuk benteng yang kukuh ke arah meneruskan agenda perjuangan membela nasib bangsa Melayu yang kian tercabar. Walaupun perit dan sukar menerima hakikat kemenangan Khairy, tiada guna untuk kita terus mempertikaikannya. Sebaliknya berdoalah saja semoga beliau diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT agar mampu menerajui barisan pemuda dengan penuh berhemah dengan jaya.

Akhirkata, kita harus menerima qada' dan qadar Allah SWT dengan redha. Segala-galanya telah ditentukan olehNya. Walaupun sukar untuk sebilangan besar menerima kemenangan beliau namun kita harus akur dan memberi peluang kepada Khairy untuk membuktikan kewibawaannya membawa perubahan kepada barisan pemuda sebagai sayap kanan kepada UMNO.

Bersatulah kita berganding bahu memperkukuhkan kedudukan parti. Berilah sokongan kepada beliau selagi beliau berada di landasan yang betul tetapi bersamalah kita menggulingkan beliau sekiranya perjuangannya dilihat jauh tersasar. Bekerjasamalah kita demi agama, bangsa dan negara.

3 Responses
  1. kulatlapok Says:

    SALAM BRO;

    PARTI LAIN TAK HAIRANPUN SAPA KJ. MEREKA ANGGAP KJ SEBAHAGIAN SERTERU YG HANYA MEMBEZAKAN DARI SEGI POLITIK ANTARA PEMBANGKANG DAN KERAJAAN. TAPI YG BANYAK DENGKI DAN KIANAT PADA KJ TAK LAIN TAK BUKAN DIKALANGAN UMNO ITU SENDIRI. DENGKINYA KERANA KJ MENANTU PAK LAH. KALU BUKAN MUNGKIN BERBEZA NADA AHLI UMNO MENGKRITIKNYA. INILAH PARTI YG SEBENARNYA MELAYU JATUHKAN MELAYU SEJAK DARI DULU KINI DAN SELAMA2NYA.


  2. USD Says:

    Salam, kontroversi sbb 2 faktor:
    1. Org tewas tidak dpt terima kekalahan.
    2. Majoriti x diterima KJ tp perwakilan sudh pilih dia...so, kena terima hakikat!

    soalan: adakah KJ mjadi isu jika MM @ KT yg menang? Bunyi berani...tp nampak TAKUT.


  3. saudara,

    atas sebab itulah kaedah pengundian dalam UMNO yang mengambil kira pandangan dan undi semua ahli UMNO sebagaimana diumumkan Dato Seri Najib itu wajar dilaksanakan jika tidak mahu politik wang terus berlaku....

    terima kasih.