Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

Sabtu, 4 April 2009: Mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengesahkan beliau kembali menyertai UMNO semula apabila beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menemui Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya bagi menyerahkan borang keahlian mereka yang masih kekal sebagai ahli 001 dan 002.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan abangnya, Datuk Mokhzani Tun Mahathir. Mokhzani yang ikut jejak kedua ibubapanya keluar parti pada 19 Mei tahun lepas dalam satu majlis di Alor Setar juga sekali lagi turut mengikut jejak kedua ibubapanya dengan menyerahkan borang keahlian untuk kembali semula kepada UMNO.

Kami ahli-ahli di akar umbi menyambut baik kemasukan semula Tun Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah dan Datuk Mokhzani ke dalam UMNO. Adalah diyakini dengan penyertaan semula Tun Dr Mahathir bertiga, UMNO dan BN akan kembali mendapat semangat serta nafas baru di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Yang paling penting kepada kita bersyukurlah kerana Tun Dr Mahathir telah menunaikan janjinya sebelum ini untuk kembali kepada UMNO setelah peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berjalan lancar. Berikut adalah petikan laporan media;

PUTRAJAYA 4 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini kembali menyertai UMNO setelah hampir setahun meninggalkan parti tersebut.

Bekas Presiden UMNO itu bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menyerahkan borang keahlian yang kekal bernombor 001 dan 002 kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna di Sri Satria di sini.

Bercakap kepada pemberita, Dr. Mahathir, 84, melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali dan diterima semula oleh UMNO.

‘‘Walaupun saya berada di luar UMNO tetapi dalam hati saya masih orang UMNO. Walaupun saya tegur UMNO, saya fikir teguran itu adalah untuk membina UMNO, bukannya untuk menghancurkan UMNO. Baca selanjutnya di sini...

Kembalinya Tun Dr Mahathir Mohamad kepangkuan UMNO akan mampu mengembalikan semula kepengaruhan UMNO dan BN di dalam usaha menarik semula sokongan rakyat yang kecewa sebelumnya.

Semoga kewibawaan UMNO dan BN yang sedikit goyah setahun dua kebelakangan ini akan kembali terserlah, bertambah kuat dan semakin teguh dengan kesepakatan yang terjalin semula di antara kedua-dua mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah.

Syabas diucapkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan juga Datuk Mokhzani Tun Mahathir. Bersatulah kita demi kekuatan agama, bangsa dan negara. Hanya kerajaan Barisan Nasional sahaja yang mampu merealisasikan kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan rakyat dan negara.

Ini adalah satu realiti yang sudah terbukti dan bukan sekadar omong kosong sebagaimana pakatan pembangkang yang dilihat lebih tidak bertanggungjawab di dalam mengotakan segala janji-janji mereka. Kesilapan dan kelemahan di mana-mana sudut adalah adat dan perkara biasa bagi mematangkan lagi usaha perjuangan membela agama, bangsa dan negara.


0 Responses