Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Salam hormat dan selamat sejahtera kepada seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum. Saya ingin menyuarakan sedikit idea dan cadangan bagaimana rakyat mampu memprotes terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan barang-barang keperluan rakyat. Tiada guna kita berpiket atau mogok secara kaedah lapok dengan memegang sepanduk, menjerit dan melaung di sepanjang jalan di mana-mana.

Jika kita benar-benar merasa tertekan dan merasa tertindas oleh keputusan kerajaan itu, tidak perlulah kita semua merungut atau marah-marah. Banyak kaedah-kaedah lain yang mampu memberi impak balas terhadap kerajaan dengan lebih berkesan andaikata benar-benar tidak berpuashati ke atas tekanan ekonomi yang harus dilalui rakyat.

Setelah saya merujuk pelbagai penulisan dan pandangan rakan-rakan bloggers dan juga akhbar harian, saya tetap terpaut pada buah fikiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang begitu luas pandangannya. Menurut penulisan beliau berkaitan kenaikan harga minyak, sebenarnya banyak lagi kaedah dan alternatif lain yang boleh dilakukan kerajaan di dalam meringankan bebaban rakyat.

Apa yang dilaksanakan kerajaan dengan tergesa-gesa menaikkan harga minyak terlebih awal daripada bulan Ogos 2008 yang telah disebutkan dahulu menunjukkan kerajaan telah mengambil jalan mudah untuk melepaskan beban ke atas rakyat. Ternyata kerajaan di bawah pimpinan DS Abdullah dan DS Najib amatlah lemah sekali. Kerajaan yang ada pada hari ini gemar memberi pelbagai alasan demi alasan kepada rakyat.

Kita sebagai rakyat sering tertindas setiap kali dasar kerajaan berubah mengikut kepala pucuk pimpinan dan seluruh barisan kepimpinannya. Jika puak-puak ini cerdik dan bijak pandai maka beruntunglah kita sebagai rakyat tetapi nampaknya dengan apa yang harus dilalui rakyat pada hari ini adalah jelas bahawa barisan kepimpinan kerajaan amatlah dungu sekali di dalam menerajui kerajaan. Mereka adalah golongan pemimpin yang suka mengambil jalan mudah tanpa mahu memerah otak untuk berfikir alternatif lain yang lebih baik. Rakyat terus dijadikan mangsa, maka amatlah tidak adil sama sekali.

Pada pengamatan saya beberapa hari ini saya dapati sudah tibalah masanya kita semua harus menjadi rakyat yang lebih cerdik, lebih bijak pandai dan juga lebih berani untuk bertindakbalas mengajar kerajaan yang terlalu lemah. Kali pertama tindakan bijak rakyat telah dilakukan pada PRU12 yang lalu dan kali ini apa kata kita seluruh rakyat bergabung dan bersatu hati melakukan tindakan mogok secara lebih berkesan yang mampu memberi impak balas yang lebih berkesan terhadap kerajaan supaya kenaikan harga minyak dan lain-lain barang-barang keperluan dibuat kajian semula dengan segera.

Jika hanya bertegang leher menulis dan memprotes secara piket atau mogok biasa, saya tidak nampak ianya memberi satu impak yang berkesan terhadap kerajaan. Oleh yang demikian, seluruh pegawai dan kakitangan kerajaan termasuklah sektor swasta, haruslah memilih jalan "bercuti mogok 2 hari atau 3 hari secara paksa" tanpa perlu ke tempat kerja dan tanpa perlu memohon cuti tetapi "boikot kerajaan" secara serentak di seluruh negara. Hanya ini sahaja dilihat mampu memberi satu impak paling berkesan kepada kerajaan.

Dengan tindakan sedemikian sudah pastilah kerajaan akan merasa perit dan merana untuk tempoh berkenaan walaupun ianya singkat. Apatah lagi jika kakitangan di sektor swasta turut mengambil bahagian maka lebih perit lagi tekanan terhadap kerajaan yang dipimpin DS Abdullah Badawi dan DS Najib Razak.

Hanya dengan desakan begini sajalah kedua-dua pucuk pimpinan ini akan mampu memerah otak bersama barisan mereka bagi mencari alternatif baru yang lebih baik. Jika ini tidak dilakukan segera nescaya mereka akan terus bermain wayang dan menindas rakyat dengan cara melepas tangan sepertimana yang telah dilakukan sebelumnya dan sekarang ini.

Saya kira ini adalah kaedah yang adil, terbaik dan paling berkesan yang harus kita lakukan tanpa berlengah. Jika anda mogok secara lazimnya berbaris panjang di tepi jalan sambil menjerit, melaung dan memegang sepanduk, saya rasa itu hanya tindakan bodoh yang memenatkan tubuh badan dan membuang masa sahaja. Mogok kaedah yang saya nyatakan di sini adalah satu alternatif terbaik dan paling berkesan untuk memberi pengajaran kepada kerajaan di samping anda dapat berehat dengan selesa di rumah untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Percayalah hanya dengan 2 hari atau 3 hari itu sudah cukup untuk melemahkan ekonomi serta kerajaan pimpinan DS Abdullah Badawi dan sekaligus turut mampu mendesak beliau meletakkan jawatan dengan segera. Kita faham tindakan ini pasti merugikan kerajaan tetapi kenapa kita terus mahu mengasihani kerajaan yang tidak prihatin terhadap kesengsaraan rakyat? Berfikirlah!

Saya juga telah mengambilkira risiko dan implikasi sebelum menyuarakan tindakan ini, di mana kerajaan tidak akan mampu bertindak terhadap seluruh pegawai dan kakitangan kerajaan yang terbabit. Adalah mustahil untuk kerajaan bertindak membuang kerja kepada mereka-mereka yang terbabit yang mana sudah tentulah bakal memberi impak lebih besar terhadap negara.

Di samping itu jika membabitkan kakitangan swasta pula, sudah pasti kerajaan turut menerima tekanan hebat daripada majikan-majikan swasta yang membayar cukai kepada kerajaan apabila ini bakal terjadi.

Untuk mengetahui keberkesenannya, ayuh! kita bersatu dan bergabung dengan berani untuk bertindak. Jika hanya melalak dan pandai bercakap pun ianya tidak akan mampu merubah apa-apa tindakan kerajaan terhadap tekanan yang diberikan ke atas rakyat pada ketika ini. Inilah cara terbaik dan lebih berkesan untuk menekan semula terhadap kerajaan.

Semoga cadangan ini amatlah bermanfaat di dalam memulihkan semula tekanan ekonomi terhadap rakyat. Seandainya 50% hingga 70% bertindak mengikuti mogok secara ini pun saya yakin dan percaya ianya mampu memberi kesan dan tamparan yang cukup hebat tetapi sebaik-baiknya dilakukan secara menyeluruh. Jika rakyat merasa tidak bersedia melakukannya bermakna anda semua meredhai dan menerima tindakan yang dibuat oleh kerajaan, jadi tidak perlulah lagi merungut atau menimbulkan ketidakpuasan hati.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang amat tidak berpuashati dengan kepimpinan hari ini yang telah banyak melepaskan beban kepada rakyat, maka saya mencadangkan tindakan ini sebagai satu pengajaran terhadap kerajaan jika sekiranya saranan ini mahu diambilpakai oleh seluruh rakyat khususnya pegawai serta kakitangan kerajaan. Apabila ianya dilakukan barulah kerajaan akan ingat sampai bila-bila dan sentiasa akan berhati-hati di dalam tindak-tanduknya membuat sesuatu keputusan. Yakin dan percayalah!

0 Responses