Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Kali ini rasanya Pemuda Pelapis teringin nak hadiahkan beberapa pantun istimewa buat Pak Lah. Semoga beliau amati setiap rangkap dan barisnya, juga amatilah erti dan maksudnya, kemudian fikir-fikirkanlah jika sekiranya masih menganggap diri sebagai kaum yang mahu berfikir. Janganlah terus berusaha mendustakan kebenaran dan jangan sekali-kali menyesatkan pengikut-pengikut dengan segala pembohongan dan pengkhianatan.

Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa,
Berpada-padalah Pak Lah dah sampai masa,
Takkan masih lagi tak reti-reti bahasa?

Berdayung ke hulu berdayung ke hilir,
Singgah berteduh di muara sungai,
Dah dapat jawatan tak nak undur tak nak bergilir,
Tak eloklah sampai rakyat kata Pak Lah bingai.

Menuai padi membajak sawah,
Dilanda ribut berteduh di pinggiran,
Amboi hebatnya Pak Lah memerangi rasuah,
Undur-undurlah atau pun cuak terkena giliran?

Kerana pulut santan binasa,
Kerana mulut badan binasa,
Tak kenang budi tak kenang jasa,
Esok lusa Pak Lah juga yang balik terseksa.

Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai,
Dah beberapa kali kabinet dirombak,
Nampaknya tak ada jugak yang bijak pandai.

Keris bermata keris berhulu,
Bersalut emas bertatah berlian,
Jikalau Pak Lah bertindak melulu,
Janganlah menyesal di hari kemudian.

Taufan tsunami taufan nargis,
Puting beliung membelah badai,
13 Mei 1969 satu peristiwa tragis,
Jangan diundang lagi nyawa-nyawa tergadai.

Ikan patin ikan tenggiri,
Tak laku di Malaysia diekspot ke Kenya,
Sudah-sudahlah pentingkan diri sendiri,
Hilang sabar rakyat buruk padahnya.

Sisa cecair sisa pepejal,
Jangan disepahkan merata-rata,
Kami rakyat tak mahu bersikap dajal,
Asalkan Pak Lah turun dari takhta.

Begitulah adab kesusilaan kita bangsa Melayu. Walaupun marah membuak masih lagi mampu berpantun dan bermadah. Tingginya nilai budi bahasa orang Melayu tetapi janganlah pula pemimpin sengaja mengambil kesempatan. Berpada-padalah menguji kesabaran rakyat. Hanya Allah swt jua yang maha berhak menguji hamba-hambaNya. Kita sesama makhluk yang diciptaNya haruslah saling hormat-menghormati dan bertoleransi.

Semoga pantun-pantun ilham Pemuda Pelapis ini dijadikan iktibar untuk direnungi dengan waras oleh Pak Lah dan seterusnya disusuli dengan tindakan berundur dengan kadar segera. Ingatlah bahawa "masa itu emas" dan tidak menunggu kita. Jangan sesekali melupai surah keramat Ayatul Quran, "Demi Masa". Oleh yang demikian, bersegeralah Pak Lah kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat. Hukum Tuhan amatlah azab sekali. Maka janganlah kita mendatangkan kemurkaanNya. Na'uzubillah!

0 Responses