Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Di dalam situasi rakyat amat tertekan dengan kenaikan kos hidup yang terlalu tinggi akibat daripada kenaikan harga minyak yang mendadak dan harga barang-barang keperluan harian, adalah masih tidak wajar jika kerajaan hanya sekadar memotong elaun keraian sahaja di mana ianya hanyalah sebahagian kecil daripada elaun keseluruhan. Janganlah menjadikan ini sebagai satu gimik-gimik tambahan untuk terus memperbodohkan rakyat.

Elaun yang diminta oleh rakyat tempohari agar dibuat pemotongan 70% adalah daripada elaun tetap keseluruhan dan bukannya daripada elaun keraian sahaja. Sepertimana artikel penulisan saya sebelumnya, setidak-tidak pun haruslah dipotong sejumlah 30% daripada jumlah penuh dan bukannya dipotong 10% hanya pada elaun keraian sahaja. Di samping itu rakyat juga mahukan pemotongan elaun sejumlah yang sama terhadap semua wakil-wakil rakyat parti pembangkang sebagai menunjukkan keprihatinan apa yang ditanggung oleh rakyat, barulah adil.

Jika ini sahaja yang dilakukan nampaknya kerajaan masih belum benar-benar ikhlas bersedia merasai kesengsaraan rakyat sedangkan di ketika ini rakyat tiada pilihan lain selain terpaksa mengharungi keperitan hidup seharian. Apakah merugikan kerajaan dan wakil-wakil rakyat jika dibuat pemotongan seminima 30% sepertimana yang disarankan?

Janganlah menganggap pemotongan 10% elaun keraian itu sebagai satu pengorbanan ahli-ahli Kabinet terhadap rakyat tetapi sebenarnya usaha itu bermaksud kerajaan terus bermain tarik tali untuk mengelirukan rakyat. Apakah besar sangat jika terpaksa berkorban sebanyak itu sedangkan ada di kalangan sesetengah rakyat yang tidak makan sehingga terpaksa berikat perut. Tahukah kerajaan tentang semua ini? Belajarlah bersikap lebih bertanggungjawab sebelum kemarahan rakyat semakin memuncak.

Oleh yang demikian, saya tetap menyarankan agar seluruh pegawai dan kakitangan kerajaan termasuklah sektor swasta supaya bertindaklah dengan berani di dalam memberi impak balas terhadap kerajaan sebagai satu pengajaran yang paling berkesan sepertimana saya syorkan pada artikel sebelumnya (di bawah tajuk ini).

Itulah sebaik-baik kesan yang mana kerajaan tidak akan lupa sampai bila-bila sekiranya ia mampu dilaksanakan. Jika usaha pengajaran yang berkesan tidak diberikan kepada kerajaan, rakyat akan terus menjadi mangsa di atas keputusan-keputusan tidak bijak yang dibuat kerajaan pada masa-masa akan datang.

Fikir-fikirkanlah, sampai bilakah rakyat seperti kita harus akur dengan apa sahaja keputusan kerajaan? Sudah tiba masa dan saatnya kita harus memprotes secara lebih berani dan bijaksana supaya kesan keperitan ini benar-benar dirasai oleh kerajaan agar pihak kerajaan lebih bertanggungjawab di masa akan datang.


0 Responses