Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Krisis kenaikan harga minyak, beras serta lain-lain keperluan utama amat membebani rakyat secara keseluruhan khususnya kepada rakyat yang berpendapatan kecil dan sederhana. Inilah masanya kerajaan serta seluruh pemimpin perlu bertanggungjawab untuk turut berkorban sama merasai penderitaan rakyat.

Beberapa cadangan yang diemelkan rakyat kepada TV3 yang dibacakan Buletin Utama tadi (5 Jun 2008), adalah wajar diambil perhatian oleh seluruh pemimpin baik di pihak kerajaan mahu pun di pihak pembangkang. Jangan hanya pandai bercakap dan berpesan tetapi perlulah sama-sama bertanggungjawab.

Bukan sekadar elaun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sahaja yang patut dipotong 70% tetapi kesemua Menteri, Timbalan Menteri serta seluruh wakil-wakil rakyat termasuklah ADUN dan ahli-ahli Parlimen kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Jika tidak sejumlah yang dicadangkan itu pun, sekurang-kurangnya 50% atau setidak-tidaknya 30% sebagai pengorbanan dan sikap bertanggungjawab terhadap bebanan yang ditanggung oleh rakyat. Saya kira itu cadangan yang adil yang harus disokong oleh semua pihak di samping ianya turut mampu mengurangkan bebanan rakyat jika bijak diagihkan semula kepada golongan yang amat memerlukan bantuan.

Kita tidak mahu setiap kali berlaku kenaikan harga barang-barang keperluan utama, hanya rakyat sahaja yang menderita tetapi kerajaan turut perlu menikmati sama kesengsaraan rakyat maka barulah dianggap adil. Jika pun terpaksa akur dengan permintaan cadangan rakyat itu, pemimpin-pemimpin masih tidak terbeban kerana masing-masing dipercayai dibayar elaun yang begitu tinggi.

Pada anggarannya elaun bulanan wakil-wakil rakyat biasa memperolehi RM12,000 ke atas, Timbalan Menteri hampir RM30,000, Menteri melebihi RM35,000, Timbalan Perdana Menteri lebih kurang RM45,000, manakala Perdana Menteri memperolehi hampir RM60,000 sebulan. Mungkin kurang atau lebih tetapi ianya tidak lari dari lingkungan berkenaan. Jadi apa salahnya berkorban membantu rakyat agar elaun-elaun tersebut dipotong bagi meringankan bebanan golongan miskin dan berpendapatan rendah?

Sebulan yang lalu ada kedengaran wakil rakyat pembangkang begitu lantang mempertikaikan soal elaun sehingga membabitkan elaun Penasihat Petronas (Tun Dr Mahathir) maka saya mahu melihat beliau yang saya maksudkan itu ialah YB Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baharu) agar menjadi orang pertama yang harus bertindak sebagai wakil rakyat contoh untuk mengorbankan 50% elaun beliau sebagai tanda ikhlas bertanggungjawab terhadap bebanan yang dirasai oleh rakyat bawahan. Begitu juga dengan teman-teman sealiran beliau termasuklah semua di pihak parti kerajaan tanpa berkecuali.

Sama-samalah bertindak untuk sanggup berkorban demi rakyat. Jangan hanya pandai melalak sahaja. Krisis kenaikan harga minyak ini jelas DS Abdullah amatlah lemah kuasa pemikirannya yang tidak berkeupayaan menjangkaui masa depan sejak mengambil-alih kuasa sebagai peneraju kerajaan. Maka apa lagi perlu ditunggu? Undur sajalah! Menyusahkan rakyat tak habis-habis!

0 Responses