Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

Pilihanraya kecil P36 - Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan dua gergasi politik tanahair atau musuh politik tradisi BN dan PAS sedang melalui situasi hangat berkempen sehingga menjelangnya hari pengundian pada 17 Januari 2009 nanti.

Calon Bebas kurang difokuskan media dan bloggers. Apakah calon Bebas dianggap terlalu kerdil? Namun janganlah memperkecil-kecil atau memperlekehkan calon Bebas ini kerana jika tersilap langkah atau salah percaturan di antara kedua-dua pihak yang dianggap gergasi itu tidak mustahil kredit bakal menyebelahi calon Bebas yang mungkin tidak semena-mena meraih kemenangan mudah dek kerana pertelagahan dua gergasi yang mengundang kebosanan pengundi di parlimen Kuala Terengganu. Sebarang kemungkinan boleh terjadi.


Namun kehangatan awal kempen pilhanraya kecil ini dikatakan dicemari isu-isu serangan peribadi ke atas calon khususnya yang dilontarkan oleh pihak Pakatan Rakyat terhadap calon Barisan Nasional. Pelbagai tohmahan dan tuduhan diapi-apikan oleh jentera kempen pembangkang di kedai-kedai kopi dan juga dari rumah ke rumah bagi memburuk-burukkan calon BN tentang soal yang remeh-temeh seperti sombong, tidak mesra dengan masyarakat, ego dan sebagainya. Itulah pandangan daripada pihak BN melalui kenyataan-kenyataan oleh beberapa pemimpinnya.


Manakala calon Pakatan Rakyat yang diwakili PAS juga tidak terkecuali dipersenda-sendakan dengan pelbagai ejekan dari cerita-cerita lampau sepertimana tersebarnya video Youtube yang memetik kata-kata Mohd Abdul Wahid Endut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu suatu ketika dahulu yang berbunyi, "di zaman kita, PAS tak ada buat apa-apa pun". Jawapan balas ini dilemparkan secara spontan oleh ADUN Wakaf Mempelam itu berpunca daripada persoalan lapangan terbang Kuala Terengganu yang agak lewat disiapkan. Begitulah apa yang telah dimanipulasikan oleh pemimpin dan jentera BN Negeri Terengganu di sudut persepsi Pakatan Rakyat pula.


Itu merupakan salah satu isu yang cuba memperlihatkan tanggapan buruk terhadap kedua-dua pihak calon BN dan PAS. Masing-masing saling serang-menyerang kenyataan bagi menguatkan hujah untuk memenangi hati pengundi. Kenyataan siapa yang lebih terpaut kukuh di hati pengundi Kuala Terengganu maka di situlah kelebihan kredit yang bakal dikutip nanti. Tapi jika ada di kalangan pengundi yang menganggap semua itu satu lakonan loyar buruk kedua-dua pihak maka calon Bebaslah yang bakal mendapat manfaatnya atau setidak-tidaknya bakal menjurus kepada undi rosak yang disengajakan oleh para pengundi P36 - Kuala Terengganu. Segalanya mungkin dan tiada yang mustahil.


Dalam pada itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula mengulas mengenai calon BN yang dipilih bertanding bagi kerusi P36 - Kuala Terengganu itu adalah calon yang tidak bijak, tidak tepat dan amat lemah sekali di pandangan mata beliau kerana Wan Ahmad Farid Wan Salleh dianggap sebagai proksi kepada Pak Lah dan calon itu adalah calon BN pilihan peribadi Pak Lah. Begitulah maksudnya lebih kurang. Apakah ini satu kebenaran?


Pada hemat saya kebiasaannya Tun Dr Mahathir tidak bercakap sembarangan atau mengeluarkan sebarang komentar tanpa usul periksa. Sudah tentulah beliau lebih arif dan lebih mengetahui perkara sebenarnya daripada sumber-sumber dalaman Umno sendiri yang boleh dipercayai dan diterimapakai sebelum sesuatu ulasan diperkatakan.

Komen Tun terhadap calon BN ini begitu ringkas dan bersahaja maka kenyataan Tun itu harus boleh diterimapakai untuk dipertimbangkan akan kebenarannya. Saya tidak melihat bahawa Tun cuba mahu menggugat peluang kemenangan kepada calon BN pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu tetapi Tun kelihatan cuba berterus-terang kepada seluruh organisasi Umno dan BN khususnya Dato' Seri Najib (bakal Presiden dan bakal PM) agar berfikir sejenak akan apa yang diperkatakannya itu.


Tun mungkin bernawaitu tidak mahu di era Najib memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri baru menggantikan Pak Lah nanti, Najib akan terus dibelenggu, dibayangi serta dikelilingi oleh kroni-kroni Pak Lah yang telah bersiap-siaga diletakkan awal-awal sebagai proksi Pak Lah melalui strategi terancang sebelum Pak Lah berundur. Walaupun Pak Lah yang satu telah berundur tetapi masih ramai "Pak Lah Klon" yang bakal mengelilingi Najib di dalam pentadbirannya nanti. Juga tidak mustahil isu Institut Jantung Negara (IJN) yang sebelumnya cuba diswastakan itu ada kemungkinan mengandungi agenda tersembunyi Pak Lah dan kroni-kroninya yang cuba menangguk di air keruh.

Ini amat wajar diketahui dan disedari oleh Najib sebelum terlewat. Tun mungkin berhasrat tidak mahu mengizinkan Najib terus mewarisi kelemahan cara urustadbir Pak Lah di samping cuba mengelakkan Najib daripada memikul segala liabiliti Pak Lah. Jika ini berlaku maka Najib bakal menerima nasib lebih malang daripada Pak Lah dan kecaman yang lebih hebat akan dihadapinya nanti. Oleh itu Najib haruslah lebih berhati-hati menilai setiap gambaran yang cuba Tun sampaikan dari semasa ke semasa sekiranya tidak mahu melangkah silap ke hadapan.

2 Responses
  1. Anonymous Says:

    undilah calon BEBAS kasi BN dan PAS melopong ternganga. niat calon BEBAS sungguh murni mahu bersedekah semua elaun wakil rakyatnya kpd golongan fakir miskin setiap bulan. niat suci ini wajib disokong.


  2. Anonymous Says:

    Anon...
    Undi calon BEBAS? Nak bertanding pikat hati pengundi semua dia boleh janji tapi betul ke? PAS dan BN pun sama jugak.

    Aku rasa rakyat KT tahu nak pilih sape yg terbaik buat mereka.