Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Sejarah politik negeri Terengganu agak unik kalau mahu dikajiselidik oleh penganalisis politik tanahair. Bertukar tangan kerajaan dari BN kepada PAS dan kembali dirampas BN adalah sesuatu yang bukan pelik atau menghairankan. Ia umpama menukar pakaian atau mengubah selera makan.

Situasi ini menggambarkan pengundi-pengundi di Terengganu cukup hebat sokmo! Hebat yang boleh dinilai kepada dua bentuk samada di sudut kebaikan mahupun di segi keburukan. Secara umumnya jika bercerita soal kebaikan maka baiknya yang teramat-amat sangat tetapi jika keburukan pula begitulah juga ianya teramat-amat sehingga menjurus kepada fanatik terhadap sesuatu perkara.

Kalau dalam bahasa politik kita sering mendengar istilah ATAS PAGAR atau yang bermaksud BERKECUALI namun bagi pengundi di Terengganu bilangan golongan ini boleh dikatakan agak kurang daripada negeri-negeri lain disebabkan sikap fanatik mereka yang bermusim. Ia bagaikan keadaan cuaca begitulah lebih kurang.

Contohnya di musim tengkujuh nelayan tidak akan turun ke laut untuk menangkap ikan. Sesetengahnya yang mempunyai kemahiran bertukang akan melakukan kerja-kerja pertukangan. Yang mempunyai tanah kebun pula akan bertani dan bercucuk tanam. Tapi tidak kurang juga yang hanya duduk goyang kaki di kedai kopi sambil menghabiskan masa bermain DAM, bermain TERUP dan berborak kosong. Begitulah umpamanya peralihan aktiviti bermusim sementara menunggu keadaan cuaca mengizinkan nelayan-nelayan ini turun semula ke laut.

Pendekata setiap sesuatu yang mereka lakukan maka dilakukannya secara bersungguh-sungguh. Saya hanya mengambil satu contoh golongan sahaja bagi memudahkan kita semua memahami sikap orang-orang Terengganu secara amnya. Golongan ini pula adalah golongan rakyat yang berpuak-puak. Haruslah kita ketahui bahawasanya penduduk di negeri-negeri pantai timur Semenanjung kebanyakannya sering berpuak-puak, lebih-lebih lagi orang-orang Kelantan. Terengganu dan Pahang tidaklah keterlaluan sangat tetapi masih lagi boleh dikategorikan sebagai berpuak-puak.

Oleh itu apabila tradisi kehidupan telah diserapkan dengan budaya berpuak-puak sejak sekian lamanya maka setiap sesuatu hal mereka akan mencapai kata sepakat ke arah mana mereka perlu condong. Ini berlaku tanpa disedari mereka akibat keadaan semasa tetapi itulah hakikatnya. Keadaan inilah juga dapat kita kaitkan ke dalam isu-isu politik semasa di sudut kepengaruhannya.

Mereka selalunya akan mengikut kata ramai (majoriti) ke arah mana mereka patut lebih cenderung. Jika PAS berjaya memukul gendang dan meniup seruling dengan lebih merdu maka pentas PAS-lah yang dikerumuni bagaikan kumpulan semut mendapat gula. Sebaliknya jika BN mengalunkan muzik yang lebih syahdu dan mengasyikkan sehingga mampu melekakan mereka maka ke pentas BN pula mereka akan berkunjung berpusu-pusu. Begitulah rutin pengundi-pengundi di Terengganu setiap kali kempen-kempen di musim pilihanraya berlangsung sehinggalah tiba ke hari pembuangan undi.

Timbal-balas dan timbal-balik sekiranya dacing BN nampak condong tak selari maka PAS jualah bakal mendapat manfaatnya. Teringat saya pada PRU10 yang diadakan pada 29 November 1999, ketika itu saya sekeluarga bermastautin di sana selama 2 tahun. Slogan kempen PAS ketika itu ialah KITA PAKAT TRY TUKAR KERAJAAN SEKALI. Sungguhpun pendek dan ringkas tetapi cukup berkesan. Ternyata pun akhirnya kerajaan negeri benar-benar bertukar tangan kepada PAS dengan penuh bergaya.

Daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan hampir keseluruhan diragut oleh PAS. Cuma 4 kerusi DUN sahaja yang mampu dipertahankan oleh BN manakala 8 kerusi Parlimen yang dipertandingkan tiada satu pun yang mampu dipertahankan BN. 7 kerusi dimenangi PAS dan 1 menjadi milik parti Keadilan. Memang hebat pengundi-pengundi Terengganu.

Saya yang balik membuang undi di Selangor terkejut mendengar pengumuman keputusan itu yang disiarkan secara lintas langsung pada awal pagi (lewat tengah malam). Begitulah hebat sokmo pengundi-pengundi di Terengganu yang mampu bersikap apa-apa aje. Sebarang kemungkinan boleh terjadi tanpa dapat diramalkan.

Dari situasi yang berlaku ini saya merumuskan sikap pengundi-pengundi Terengganu sukar untuk dibuat ramalan. Manakala sesetengah pihak yang saya temui (khususnya anak-anak jati Terengganu sendiri) menilai bahawa di dalam isu politik negeri Terengganu, rakyatnya tidak berpendirian teguh. Mereka lebih suka kepada angin perubahan semasa. Mereka gemar mencuba dan sanggup memperjudikan nasib dengan nekad.

Jadi janganlah kita merasa pelik atau terkejut sekiranya sesuatu yang di luar dugaan bakal terjadi. Tidak mustahil kalau calon Bebas yang menang sepertimana saya katakan dalam artikel saya sebelumnya. Ini kerana pengundi-pengundi Terengganu memang hebat sokmo!

TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA RAKYAT TERENGGANU YANG PELIK DAN UNIK.

1 Response
  1. Anonymous Says:

    pengundi terengganu takde telor takde prinsip. dpt duit bn sogok menyengeh main pangkah x guna otak. tau haram pun sebat jugak. alim tahik kucing.