Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
P36 - Parlimen Kuala Terengganu bakal menyaksikan dua calon utama BN dan PAS bertanding merebut kerusi parlimen berkenaan walau pun mungkin ianya akan menjadi satu pertandingan 3 penjuru atau 4 penjuru.

Wan Farid Wan Salleh adalah calon BN manakala Abdul Wahid Endut pula ialah calon PAS. Masing -masing menjanjikan segala yang manis-manis belaka untuk memikat hati pengundi di parlimen Kuala Terengganu. Jika kebanyakan bunga seringkali dikaitkan berbau harum maka kali ini kentut dan tahi juga turut dikatakan wangi belaka demi meraih sokongan pengundi Kuala Terengganu.

Umno dan BN diketahui umum sebagai parti yang bukan seperti Pakatan Rakyat yang ibarat, "alah bisa, tegal biasa" kerana berceramah bagi parti pembangkang umpama menjalani kehidupan harian mereka. Samada mendapat permit polis atau pun tidak, PAS dan PKR tetap mengadakan ceramah mereka di mana-mana sahaja sepanjang tahun meskipun di ketika bukan musim pilihanraya. Namun Umno/BN tidak sedemikian kecuali berceramah pada majlis-majlis rasmi tertentu sahaja.

Apakah perbezaan ini sebagai satu kelebihan kepada calon PAS di Kuala Terengganu? Apakah rakyat pengundi di parlimen Kuala Terengganu sudah termakan hasutan bida'ah yang memburuk-burukkan kerajaan BN yang dipukul canang saban minggu selama ini? Sejauh manakah kepengaruhan ceramah PAS selama ini di Kuala Terengganu, sama-samalah kita tunggu keputusan pengundi-pengundi parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 nanti.

Siapa pun yang menang itu adalah pilihan rakyat Kuala Terengganu dan tugas SPR hanyalah sebagai sebuah badan pengendali proses pilihanraya sahaja. Janganlah SPR dijadikan mangsa lagi oleh mana-mana pihak seperti apa yang telah berlaku pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu apabila pengerusinya diserang secara mental dan fizikal. Tak dapat orangnya, habis harta benda beliau dijadikan mangsa. Kesian pada Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Sekarang SPR sudah digantikan dengan Pengerusi barunya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mula bertugas pada 31 Disember 2008 lalu. Diharapkan beliau tidak menjadi mangsa terbaru oleh penyokong-penyokong fanatik Pakatan Rakyat khususnya PAS. Parti PAS haruslah sedar bahawa sebagai sebuah parti Islam tidak wajar bertindak sebagai "batu ronson" bagi menggalakkan para penyokongnya menjadi terlalu fanatik sehingga bertindak ganas ke atas orang lain. Agama Islam tidak mengajar keganasan seperti ini dan proses pilihanraya adalah satu proses demokrasi di dalam memilih pemimpin secara adil dan saksama. Kedua-dua pihak seharusnya akur apa jua keputusannya nanti.

Cuma sekadar ingin berpesan dan mengingatkan kepada calon-calon yang bertanding. Sesiapa jua yang terpilih dan memenangi kerusi tersebut, jadilah seorang pemimpin yang benar-benar komited bertugas untuk masyarakat. Fahamilah ertikata YB yang sebenarnya. Selain gelaran sebagai Yang Berhormat, ia juga sejajar sebagai Yang Benyawa, Yang Berakal, Yang Berkhidmat dan Yang Bertanggungjawab.

Tolong jangan jadi seorang pemimpin Yang Bangkai, Yang Berlagak, Yang Bongkak, Yang Bakhil, Yang Bodoh, Yang Bahlul, Yang Bingai, Yang Bingung, Yang Birah (ini kaki betina), Yang Botol (ini kaki botol) kerana ini pun YB jugak namanya. Kalau kentut dan tahi menjadi wangi ketika berkempen, pastikan agar ianya wangi sepanjang musim sehingga menjelang pilihanraya umum ke-13 akan datang. Jangan biarkan ia kembali menjadi busuk macam bangkai atau berbau pekong semula. Sindiran sinis ini amat bermakna buat para pemimpin yang mahu bermuhasabah. Maka itu fikir-fikirkanlah!


3 Responses
  1. Anonymous Says:

    kawe setuju benar demo kato lagu tu... 10 markah utk demo...


  2. Anonymous Says:

    Pedih dan menyengatkan. Kalau tak fhm jugak tak tahulah.


  3. Anonymous Says:

    kentut dgn tahik mana ada bau wangi? lepas kena siram dgn sebaldi minyak wangi mungkinlah kot. itu pun belum tentu lagi wangi. lawaklah kau.