Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Kemasukan semula saudara Mohamad Ezam, bekas Ketua Angkatan Muda PKR ke dalam Umno sebagai ahli seumur hidup sebenarnya satu persoalan yang diragui di peringkat akar umbi dan juga kepada seluruh rakyat yang menyokong perjuangan Umno.

Presiden Umno melalui kenyataannya kelihatan begitu mudah mempercayai bekas musuh parti. Sementara Timbalan Presiden melalui kenyataannya pula yang dilihat suka "mengiyakan" apa sahaja keputusan Presiden tanpa mahu mengkaji dan menyelidiki dengan lebih mendalam kenapa bekas orang kanan PKR itu sanggup kembali semula kepangkuan Umno.

Inilah kata pepatah, "kera di hutan disusukan tapi anak sendiri dipinggirkan". Maksudnya di dalam situasi politik semasa ini ialah ketua parti sanggup menerima bekas musuh semudah itu dan dalam masa yang sama tidak mahu ambil-pakai saranan bermanfaat yang disuarakan oleh "bekas ahli seumur hidup No.1" Umno (baru) yang juga bekas Perdana Menteri yang ternyata jauh lebih pintar dan telah banyak berjasa kepada negara. Malahan turut dimusuhi tanpa berfikir panjang.

Pada pandangan saya, banyak sebab yang boleh meragui kemasukan semula Ezam ke dalam Umno. Pertamanya, beliau (Ezam) terpaksa masuk sebagai ahli seumur hidup RM100 bagi meyakinkan kepimpinan Umno. Jika hanya masuk sebagai ahli biasa RM2 mungkin tak nampak satu kesungguhan, di mana bila-bila masa akan dianggap boleh keluar semula untuk belot kepada perjuangan. Walaupun kedua-dua jenis keahlian itu boleh belot tetapi beliau cuba menunjukkan komitmen setelah sekian lama menjadi penderhaka kepada Umno.

Kedua, apabila beliau kembali kepangkuan Umno sudah tentulah beliau mengharapkan sesuatu jawatan atau peranan penting setelah tidak diberikan perhatian yang wajar oleh kepimpinan PKR terhadap perjuangan beliau selama 10 tahun dengan parti keluarga rakus itu (PKR). Pada PRU12 lalu beliau tidak dicalonkan bertanding di mana-mana kerusi DUN atau Parlimen kerana dikatakan telah menyendiri selama 2 tahun, maka ini sudah tentu dilihat sebagai salah satu sebab kekecewaan beliau.

Walaupun Pak Lah kata Ezam tidak meminta apa-apa jawatan tetapi saya amat tidak percaya dengan semua itu kerana Pak Lah telah terbukti sebagai pemimpin yang terkenal dengan "dolak-dalik" selama ini. Kalau tidak, mana mungkin Pak Lah boleh sambung kenyataan mengatakan jika Ezam berhasrat mahu bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan Umno Disember ini akan terlebih dahulu dikaji oleh pengurusan parti.

Ketiga, seseorang musuh yang pernah terlalu lantang memburuk-burukkan parti Umno dan BN setelah keluar mengikuti ketuanya DS Anwar Ibrahim, bilamana begitu terbuka dan mudah untuk kembali semula ke dalam Umno bermakna pasti mungkin ada agenda-agenda tersembunyi yang telah dirancang dengan teliti. Jika ada pemimpin Umno begitu sumbang bersuara tentang "duri dalam daging" sebelum ini menuduh Tun Dr Mahathir, kenapa tidak mahu melihat penyertaan semula Ezam ini sebagai usaha-usaha parti lawan yang mungkin ada konspirasi meletakkan Ezam juga untuk bertindak sebagai "duri dalam daging" di dalam Umno?

Keempat, secara sedar atau pun tidak sedar kemasukan semula Ezam ke dalam Umno yang diberikan liputan media semasa penyerahan borang dan temubual di studio itu untuk tujuan apa sebenarnya, jika tiada apa-apa matlamat dan motif di pihak Umno pimpinan Pak Lah sendiri? Apa yang istimewa sangat saudara Ezam ini kepada Umno? Apakah jasa-jasa beliau yang boleh Umno kira selama ini? BN berlogokan "sebuah dacing" jika diimbang dan dihalusi pengkhianatan Ezam terhadap Umno dan BN amatlah banyak sekali sehingga dacing BN itu mampu dilihat "rebeh ke kiri (berat sebelah kiri)" lebih kepada dosa-dosanya mengkhianati agama, bangsa dan negara.

Kelima, Pak Lah dan Najib begitu mudah mempercayai alasan-alasan Ezam kenapa beliau mahu menyertai semula Umno sebagai ahli seumur hidup dengan kenyataan yang kononnya beliau begitu teruja apabila melihat satu pembaharuan yang dibawakan oleh pucuk kepimpinan negara pada hari ini seperti penubuhan suruhanjaya kehakiman dan pencegahan rasuah. Adakah ini satu alasan kuat untuk pengurusan Umno menerima "bekas pengkhianat" dengan begitu mudah sekali? Apakah Ezam ini jujur dengan kenyataannya dan juga segala alasan-alasan lain beliau?

Keenam, sedikit menarik kepada saya di mana sebelumnya Hishammuddin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno begitu bersungguh-sungguh mahu mengajukan "3 soalan bodoh" kepada Ezam bagi mempersoalkan kenapa Ezam berminat mahu kembali kepada Umno tetapi tidak kesampaian apabila Presiden dan Timbalan Presiden parti telah mengenepikan Hishammuddin untuk tidak berbincang dengan beliau tetapi di sebaliknya Pak Lah terus disokong Najib untuk menerima kemasukan Ezam begitu sahaja.

Memetik kata-kata Hishammuddin,

Dalam hal ini, sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, saya pasti akan terbabit dalam perbincangan mengenai kemasukan Ezam dan saya bersedia untuk mengemukakan tiga perkara penting mengenai beliau.

Hishammuddin seharusnya menanggung malu apabila Pak Lah dan Najib meminggirkan beliau dalam soal ini. Baca cerita penuh di sini...

Maka saya melihat ini sebagai satu prosedur yang tidak menepati kehendak parti apabila Presiden membuat keputusan dengan membelakangkan Pemuda, Putera, Puteri dan Wanita Umno. Sekurang-kurangnya sedikit pandangan pelbagai pihak haruslah diambilkira demi menjaga kepentingan parti dan keharmonian semua pihak. Barulah seorang Presiden itu nampak adil dan berwibawa serta benar-benar bertanggungjawab terhadap parti.

Jika begitu ceritanya, terima sajalah Anwar Ibrahim semula atau sesiapa sahaja musuh-musuh parti supaya Umno lebih cepat hancur dan jahanam. Benarlah kata-kata Tun Dr Mahathir bahawa Umno yang dipimpin oleh DS Abdullah bukan lagi "Parti Umno Sebenar" tetapi sudah menjadi "Parti Dolah Badawi" kerana dia melakukan apa sahaja mengikut kehendak "akal pendek" beliau dan adakalanya berpandukan "akal putarbelit" beliau bagi agenda-agenda tertentu demi kepentingan peribadi beliau serta keluarga beliau.

Di sini juga saya melihat DS Najib masih lagi bersikap sebagai "Yes Boss" kepada Pak Lah dan berterusan tidak berpendirian sendiri serta tidak berani menasihati DS Abdullah supaya memikirkan dahulu risiko dengan lebih teliti sebelum terus membuat keputusan menerima.

Jika Ezam nak hantar borang, terima sajalah borang permohonan itu tetapi tidak semestinya terus meluluskan semudah itu. Betul-betul 2 pemimpin tertinggi ini memang "pendek akal" dan tidak nampak layak memimpin negara.

Saya sarankan kedua-duanya wajib letak jawatan segera jika mahu melihat perjuangan Umno dan BN masih terus relevan. Tidak mustahil jika inilah perilaku Najib, maka beliau akan mewarisi kepimpinan Abdullah Badawi untuk menjadikan pula Umno sebagai "Parti 2 Bersaudara (Najib-Hishammuddin)" setelah peralihan kuasa nanti. Amat mengecewakan.


0 Responses