Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Saya dengan penuh keikhlasan hati dan jujur menyarankan kepada semua pemimpin-pemimpin negara khususnya pentadbir-pentadbir negara yang berada di dalam Kabinet supaya berfikirlah secara lebih dewasa, lebih matang dan lebih waras tanpa terpengaruh dengan emosi terhadap kemelut yang melanda negara hari ini. Hapuskan sikap mementingkan diri sendiri. Kebanyakan orang menyebut kikis atau hakis sebenarnya tidak tepat kerana ia masih meninggalkan kesan. Sebaliknya hapuskan terus sikap buruk itu.

Apa pun yang sedang dihadapi pada situasi semasa haruslah ditangani dengan bijaksana berakalkan pemikiran pada tahap kualiti "Gred A" dan bukan meletakkannya sama taraf sepertimana anak-anak kecil di bangku tadika atau sekolah rendah. Apa yang dilihat pada keadaan semasa, rata-rata pemimpin yang ada begitu mudah melatah bagi melempiaskan rasa kurang senang terhadap sesuatu usul atau saranan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang bertentangan pendapat.

Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana hanya mencerminkan kerendahan kredibiliti serta moral pemimpin itu sendiri. Secara tidak langsung ia juga membuka peluang kepada parti lawan untuk menyahut kesempatan yang mana kita mungkin tidak nampak jelas. Apa yang diperhatikan, saya nampak ramai pemimpin hanya lebih pandai bercakap dan berhujah tetapi sayangnya apabila tiba kepada pelaksanaan sebenar, ianya tidak ada sebarang tindakan.

Namun bilamana ada pihak-pihak yang mula berani bersuara lantang, kita amat cepat bingkas bangun dari lamunan untuk melahirkan perasaan tidak senang dan terus menghukum tanpa mahu meneliti maksud sebenar dengan lebih mendalam. Alangkah bagusnya jikalau tindakan yang sama itu dapat dilakukan dengan kata sepakat bagi memujuk Dato' Seri Abdullah supaya berundur dengan baik sebagai menyahut kehendak majoriti rakyat di dalam memulihkan situasi institusi kerajaan yang kian meruncing.

Malangnya tiada sesiapa pun yang berani mahu bersuara lantang seperti Datuk Mukhriz selain hanya terus berperanan "membodek pucuk pimpinan" demi kepentingan peribadi masing-masing. Bisikan halus juga tidak kedengaran sebab takut kehilangan pengaruh dan jawatan. Apa akan jadi dengan Umno dan BN jika semua yang berada di atas masih terus bersikap menafikan?

Tolonglah ambilkira tsunami awal yang telah berlaku pada PRU12 yang lalu sebagai amaran daripada rakyat. Janganlah dibiarkan PRU13 akan datang Umno dan BN terus dilenyapkan gara-gara mahu menyokong dan membela hanya seorang individu bernama Dato' Seri Abdullah. Kita perlu lebih waras memikirkan kepentingan yang lebih ramai iaitu rakyat dan negara, barulah jelas bahawa kita menyokong parti untuk memperjuangkan rakyat dan negara.

Banyak kedengaran majoriti pemimpin atas bangga mengatakan mereka menyokong parti tetapi di dalam masa yang sama mereka juga masih membela hanya seorang individu sahaja. Cukup-cukuplah bersandiwara mengelirukan rakyat. Jangan mengundang rakyat bangkit memberontak dengan lebih ganas lagi. Elakkanlah sebarang demonstrasi jalanan sebelum ianya berlaku.

Jika kata terus juga bersikap "endah tidak endah" dengan kehendak suara majoriti rakyat dan ahli-ahli di akar umbi maka dipercayai perkara lebih buruk akan terjadi dan ingatlah juga bahawa "si pembodek-si pembodek" seperti anda semua akan turut kehilangan kuasa apabila kerajaan bertukar tangan kepada gagasan parti lawan. Maka apa salahnya kita korbankan seorang daripada semua sekali terkorban?

Perjuangan itu sendiri sudah jelas membawa maksud satu pengorbanan. Tidak hanya dengan mengekalkan kuasa sahaja dianggap sebagai satu perjuangan sebaliknya tuntutan berkorban supaya berundur juga adalah satu perjuangan. Inilah yang sepatutnya perlu dilihat Dato' Seri Abdullah dan semua pemimpin jika jujur dan ikhlas sayangkan perjuangan parti. Renung-renungkanlah dengan penuh kematangan. Berfikirlah pada tahap kualiti "Gred A" jika mahu terus dihormati serta diyakini oleh rakyat dan barulah layak bergelar pemimpin yang berwibawa.

Ulasan-ulasan balas oleh beberapa pemimpin seperti Datuk Zaid Ibrahim melalui kenyataannya semalam (24 Mei 2008) terhadap desakan yang dibuat oleh Datuk Mukhriz agar PM berundur berdasarkan "kata dua" itu sebenarnya tidak perlu diulas. Cara ulasan Datuk Zaid itu hanya layak dinilai pada tahap "Low Grade" sahaja iaitu pada pemikiran golongan bawahan yang tidak matang. Orang yang bijaksana dan faham undang-undang tidak sepatutnya menilai orang lain sebegitu dan cara olahan kenyataan beliau itu mencerminkan pemikiran yang cuma menyebelahi satu pihak sahaja dan ini sangat tidak adil.

Begitu juga dengan kenyataan Dato' Seri Hishammuddin yang sebelumnya membidas desakan Datuk Mukhriz itu. Ternyata Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu telah berpaling tadah untuk bersikap "talam dua muka" dan ianya bercanggah dengan pendirian awal beliau pada kenyataan 14 Mac 2008 yang lalu supaya reformasi besar-besaran perlu dilakukan di dalam parti. Terbaru Hishammuddin terus lantang bersuara sumbang yang hanya akan membuatkan barisan pelapis di akar umbi semakin meragui kredibiliti beliau sebagai pemimpin muda.

Maka demikian, saya menyeru semua pengunjung blog Pemuda Pelapis supaya sama-samalah kita berfikir ke arah kebaikan demi memihak kepada hak dan kebenaran. Apa yang baik kita ikut dan apa yang menjahanamkan kita, wajib kita hindari tanpa perlu menyokong membuta-tuli. Sebaik-baiknya kita perlu bermuafakat menentang dengan lebih lantang dan berani jika mahukan Umno dan BN terus relevan (Pulang paku buah keras terhadap kenyataan awal Hishammuddin - cakap tidak serupa bikin).

3 Responses
  1. lee Says:

    Kadang-kadang bila istilah yg digunakan itu terlalu gah, macam hidup dalam dunia abstrak je tau. Islam Hadhari, pembangunan modal insan, SDC, apakah selama ini tiada apa2 program yg membawa elemen2 yg sama ka? sifat2 rajin, jujur, rendah diri, hormat-menghormati, adil, dsb. tiada persamaan ka? @ itu semua tukar kulit sajam kot? penjemanaan semula?

    seperkara lagi kena konsisten. Bila Tun Dr Mahathir cakap wawasan 2020, kita boleh nampak usaha ke arah itu.

    How to define "Gred A" ya? Selama ini kita di "Gred" mana satu. Gred penting, tp kena guide golongan sasaran ke arah itu. yg telah tunjukkan komitmen tu bg la rewards sbg motivasi supaya mrk terus berusaha & merangsang yg kurang berusaha agar berubah supaya mengecapi apa yg telah org lain dpt. semudah meluahkan beberapa ayat kata2 pujian pun memadai bah. Tp yg nampak lebi banyak hasat dengki dgn kejayaan org lain. Yg senior mau jaga hegemoninya.
    Soal umur bukan persoalan, kalau tak mana ada pengarah, ketua jabatan, pengurus dsb. yg umur mrk lebih muda daripada yg tua. Tidak semestinya yg muda tidak layak menegur yg lebih senior k/l tak betul. Tak semestinya yg tidak berjawatan tidak boleh menegur yg berjawatan.

    ajar la lateral thinking ka, vertical thinking ka, positive thinking ka, manusia perlu ada matlamat & ini berkait rapat dgn budaya. mentaliti perlu diubah. istilah gahnya 'anjakan paradigma'. Byk sudah disentuh, The Malay Dilemma misalannya. Soalnya berapa org yg pergi membaca lambakan ilmu di Dunia ini. Ada Internet, bukan utk cari ilmu, utk menghibur banyak.

    Byk juga org2 sy jumpa. Sesetengah negara Barat yg kita kecam sebenarnya mempunyai ketamadunan sivik yg lebih tinggi daripada kita. Tidak percaya jumpa pelancong asing je, lihat siapa yg bg salam dulu w/p saling tidak mengenali.

    regards,
    anakboy


  2. Terima kasih saudara Lee,

    Saya kira anda orang Sabah daripada ayat dan bahasa yang ditulis. Bagus sekali pendapat serta pandangan anda itu. Saya setuju apabila anda kata istilah-istilah unik itu hanya sekadar gah sahaja. Sebenarnya itu tidak lebih daripada gimik untuk mengelirukan rakyat. Selalunya bahasa-bahasa indah ini hanya berniat memperdayakan orang lain. Itu semua sebagai buaian DS Abdullah untuk melenakan rakyat supaya beliau dapat menipu rakyat dengan selamat.

    Jika saudara rajin mentelaah tajuk-tajuk sebelumnya di blog Pemuda Pelapis ini saya percaya anda pasti akan terbaca penulisan saya mengenai perubahan yang cuba diterapkan oleh DS Abdullah untuk membawa sedikit kelainan daripada Tun Dr Mahathir. Jika tidak silap saya mungkin saya ada buat sedikit ulasan di pertengahan tajuk ini:

    PAK LAH -VS- DR MAHATHIR

    Di samping itu cubalah juga rujuk tajuk-tajuk lain seperti AGENDA PAK LAH PENUH MISTERI dan sebagainya. Lately ni tolong baca ulasan saya berkenaan DS Hishammuddin yang sudah berpaling tadah menjadi talam dua muka. Jika tidak silap ada 3 atau 4 tajuk berkaitan beliau pada bulan Mei 2008 ini.

    Apa yang telah digariskan oleh Tun semasa menyerahkan jawatan PM kepada DS Abdullah dulu cuba diolah semula untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya itu idea beliau sendiri walhal sebenarnya hanya ditunggang-terbalikkan saja untuk memperbodohkan rakyat. Hakikatnya DS Abdullah tak ada apa-apa idea sendiri pun. Apabila sudah tunggang langgang, maka itulah bajet pun semuanya lari sehinggalah kini menjurus kepada INFLASI.

    Itu sebab berlakunya salah penyusunan ekonomi terhadap rakyat. DS Abdullah lebih memfokuskan kepada kepentingan peribadi, ahli-ahli korporat dan kroni-kroninya sahaja. Hak rakyat terus terabai. Macam juga bantuan IKS dan projek IKS. Atas pentas dan atas kertas saja hebat bercakap tetapi bilamana tiba kepada pelaksanaan sebenar, habuk pun tak ada. Apa yang rakyat pohon semuanya dinafikan. Yang lulus cuma anak dan menantu dia punya saja.

    Banyak sangatlah kalau rakyat mahu bongkarkan habis-habisan. Sekarang ni dia aniaya Tun Dr Mahathir, suruh BPR siasat itu ini. Percayalah saya cakap, bila dia letak saja jawatan nanti, saya yakin bukan setakat berpuluh laporan polis tapi akan ada beribu-ribu laporan polis akan dibuat oleh rakyat supaya menyiasat rasuah yang dilakukan beliau. Sekarang ni pun bukan tak ada laporan polis dibuat tapi disebabkan beliau masih berkuasa maka polis pun diarahnya tutup mulut.

    Soalan saudara bagaimana nak klasifikasikan "Gred A" sepertimana saya sarankan? Terlalu mudah sebenarnya. Secara umumnya, semua pemimpin wajiblah menghapuskan sikap tamak haloba, sikap gila kuasa, sikap mementingkan diri sendiri, sikap hasad dengki, sikap dendam kesumat, sikap suka menconteng arang ke muka orang lain, sikap talam dua muka, sikap atas pagar (lalang), sikap tidak jujur, sikap tidak ikhlas di dalam perjuangan dan banyak lagi sebenarnya.

    Sikap-sikap tersebut wajiblah digantikan dengan sikap-sikap yang lebih bermaruah, bermoral, berhemah dan rasional serta berdaya maju sehingga mampu berpemikiran positif yang jauh melangkaui jangkaan masa depan (beyond the future). Saya dapati tiada seorang pun pemimpin hari ini yang berkebolehan sepertimana Tun Dr Mahathir Mohamad. Rata-rata yang ada pada hari ini kebanyakannya hanya mahu menjaga temolok dan poket sendiri saja. Saya tidak nampak pemimpin-pemimpin di bawah pentadbiran DS Abdullah jujur mahu membela rakyat dan negara. Cuba amati betul-betul...


  3. seribugis Says:

    Salam
    Pemimpin Melayu dah tak 'melayu' lagi.Sosialis dah hancur. Demokrasi dah merundum.Mereka terkapai-kapai nak cari penyelesaian dengan logika yang tak logik.
    Kembali ke ISLAM at least nilai- nilai islam yang dah diterapkan oleh TDM suatu ketika dulu. ISLAM is the way of life. Tak perlu modifikasi dan modernisasi hingga ke akhir zaman.50 tahun merdeka yang berkembang cuma ASTAQA yang setiap tahun dibina bila majlis TILAWAH. Gadis Melayu kawin dengan Indon, sibuk pula nak campur/pisahkan. Tak tahu kah dah jodoh??? Sibuk pula dia pasal tu.. tapi pasal mati dia tak takut plak. Apa standard lah....