Susulan beberapa kenyataan dan ulasan sumbang beberapa pemimpin Umno sebelumnya terhadap Datuk Mukhriz, hari ini Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga Menteri di JPM telah mula sedar bahawa perlembagaan parti tiada halangan serta tidak bercanggah untuk mana-mana ahli parti mahu menegur atau membuat apa-apa saranan terhadap pucuk pimpinan parti. Sebab itulah saya katakan, atas alasan apa Exco Pergerakan Pemuda Umno itu perlu diambil tindakan? Maka hari ini kenyataan balas ini sudah berjawab dengan jelas.
Alhamdulillah jika sekiranya lebih ramai lagi para pemimpin kerajaan (khususnya Umno) dapat mencontohi sikap terbuka seperti Dato' Seri Nazri itu. Sebelum ini, beliau juga turut ada bercanggah pendapat dengan beberapa kenyataan pemimpin lain tetapi beliau cepat mengambil langkah pembetulan untuk bermuhasabah diri.
Memetik kenyataan Dato' Seri Nazri Aziz,
Menurut beliau, walaupun Ahli Parlimen Jerlun itu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan, semua pihak tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menghukum atau memecat Mukhriz.
Beliau berkata, ini kerana UMNO mempunyai saluran Perlembagaan yang membolehkan setiap ahlinya memberikan pandangan terhadap pemimpinnya.
Inilah yang saya maksudkan pemikiran di tahap kualiti "Gred A". Diharapkan Dato' Seri Nazri akan terus mengekalkan sikap beliau ini dan janganlah lagi ada pasang surutnya. Semoga sikap konsisten ini perlu dikekalkan oleh beliau dan saya turut menggesa lebih ramai lagi pemimpin yang sebelum ini mengecam Datuk Mukhriz agar kembali ke pangkal jalan untuk turut akur kepada perlembagaan parti.
Sudah jelaslah sekarang bahawa segala kenyataan-kenyataan berbau hasutan sebelumnya oleh Hishammuddin, Zaid Ibrahim, bahagian-bahagian Pemuda Umno negeri Perak dan Negeri Sembilan serta lain-lainnya yang sewaktu itu sebagai "menangguk di air keruh" untuk mencari peluang mengkhianati Datuk Mukhriz dengan cuba menggagalkannya atau mencantas beliau daripada bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Disember akan datang.
Mulai saat ini, Mukhriz haruslah lebih berhati-hati terhadap mereka-mereka ini semua. Kenalilah kawan dan lawan. Bukan musuh luar yang perlu dibimbangi tetapi musuh politik Mukhriz berada di dalam parti sendiri.