Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Dalam kenyataan Dato' Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Bera, Pahang yang dilaporkan Utusan Malaysia (10 Mei 2008), beliau menyentuh soal "Jangan Khianati Parti" pada persepsi yang sempit. Apakah hanya "lompat parti" sahaja yang mampu dilihat beliau? Bagaimana soal-soal lain yang juga boleh diistilahkan sebagai mengkhianati parti?

Jika kata akan berlaku pun ahli-ahli BN di Sabah dan Sarawak "melompat parti" dari BN ke gagasan PR, pernahkah Najib mengkaji puncanya kenapa dan mengapa? Cukupkah hanya setakat mengingatkan atau menasihatkan saja? Masihkah lagi awal atau pun sudah terlambat?

Dalam penulisan saya serta komen-komen yang pernah dilepaskan di mana-mana blog, saya pernah menyebut bahawa Umno dan BN itu tidak salah tetapi pemimpinlah yang harus dipersalahkan kerana banyak sebab yang boleh dianggap sebagai "mengkhianati parti" di mana banyak "pencemaran reputasi" yang telah dilakukan oleh para pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

Erti khianat sebenarnya membawa maksud yang amat luas jika mahu dihuraikan. Tidakkah kenyataan beliau itu hanya menempelak ke muka beliau sendiri? Kenapa hanya mengulas pada skop yang sempit dan tidak meluas? Jawapannya Najib sendiri tahu bahawa jika diulas panjang pada skop yang lebih luas maka sudah tentu terkena batang hidung sendiri.

Apakah Najib dan Pak Lah tidak mengakui dirinya sebagai pengkhianat parti? Najib dan Pak Lah adalah pemimpin tertinggi yang memegang jawatan nombor dua dan nombor satu negara yang dilihat rakyat juga mengkhianati parti Umno dan BN. Itu belum lagi termasuk beberapa pemimpin penting lainnya.

Samada isu-isu itu kecil atau pun besar, ianya tidak terkecuali daripada isitilah pengkhianatan terhadap parti. Kita selalu diajar "kepimpinan melalui teladan" sejak mula merdeka sehinggalah ke hari ini pemimpin saling bertukar dan bersilihganti dari masa ke semasa. Apakah yang buruk juga mahu dijadikan teladan? Bukankah yang buruk itu harus dijadikan sebagai sempadan?

Di antara ertikata khianat terhadap parti sebenarnya banyak dan ini hanyalah sebahagian sahaja:

  1. Gagal dan tidak bertanggungjawab untuk mengotakan janji-janji terhadap rakyat. Contohnya topik sebelum ini (klik untuk baca).
  2. Gagal menyelesaikan banyak masalah rakyat dan tidak membela nasib rakyat secara jujur dan amanah.
  3. Mengutamakan kepentingan diri, keluarga dan kroni-kroni sendiri di dalam pelbagai aspek.
  4. Degil dan menafikan kehendak rakyat supaya peralihan kuasa dilakukan segera.
  5. Ketidaktepatan mengumumkan sebarang keputusan dan kemudiannya dicanggahi sendiri.
  6. Tidak bijak mentadbir ekonomi dan tidak meneliti terperinci sehingga menjurus ke arah inflasi.
  7. Banyak pembohongan yang hanya mengelirukan rakyat untuk menutup kelemahan.
  8. Banyak kes-kes rasuah dan skandal yang membabitkan pemimpin kerajaan yang mengaibkan.
  9. Penyalahgunaan kuasa secara meluas oleh kebanyakan pemimpin.
  10. Menyekat kebebasan bersuara yang berfakta dan terlalu hipokrit.

Umno dan BN telah tercemar teruk kerana masih mahu memelihara pemimpin-pemimpin yang banyak liabiliti. Parti tidak bersalah tetapi ramai pemimpin parti telah mengkhianati parti dan masih tidak mahu akur terhadap pengkhianatan mereka untuk berundur secara sukarela. Ertikata perjuangan itu bukan hanya mesti mempertahankan kedudukan, tetapi dengan pengorbanan untuk berundur dengan sukarela juga adalah satu perjuangan terhadap parti.


Pemimpin tidak harus sempit berfikiran jika mahu terus dihormati. Saya masih teringatkan kata-kata Tun Dr Mahathir di akhir-akhir sebelum beliau berundur dahulu. Katanya, "Biarlah saya berundur sementara masih disayangi, disenangi dan dihormati. Janganlah sampai dipaksa berundur sehingga ianya amat memalukan dan aib sekali".

Jika berkesungguhan mahu menjamin kekuatan semula Umno dan BN maka tindakan reformasi secara besar-besaran dan menyeluruh harus diambil segera jika kita benar-benar masih sayangkan perjuangan Umno dan BN untuk terus menjadi tunggak pemerintahan negara. Pepatah sering diungkap, "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya" dan janganlah sampai sehingga "nasi menjadi bubur" semua pemimpin baru mula mahu sedar.

"Yang pahit itu penawar, yang manis itulah racun", maka walau pahit sekalipun terpaksa berundur, pemimpin haruslah akur demi kebaikan parti dan untuk manfaat semua pihak.

0 Responses