Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis

DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!

Ampun Tuanku!
Sembah patik harap diampun.

Sukacitanya di sini ingin patik merafak sembah maklum membawa usul dan membuat kenyataan ekoran berlakunya suatu perubahan lanskap politik negeri Perak secara drastik sejak semalam maka secebis pandangan ingin patik kemukakan ke bawah DYMM Tuanku.

Izinkan patik yang hanya bernama pena Pemuda Pelapis sahaja untuk menyatakan sesuatu yang amat wajar dipertimbangkan memandangkan Tuanku adalah Raja dan Ketua Agama bagi negeri Perak Darul Ridzuan serta seluruh jajahan takluknya.

Sepertimana umum sedia maklum bahawa pada tanggal 8 Mac 2008 yang lalu satu pilihanraya umum telah diadakan (PRU12). Bagi keputusan keseluruhan 59 DUN negeri Perak kita memperolehi kedudukan kerusi DUN bagi kesemua parti-parti politik yang bertanding adalah mengikut pecahan sebagaimana berikut ini:
Umno (BN) berjaya memenangi sejumlah 28 kerusi DUN
DAP berjaya memenangi sejumlah 18 kerusi DUN

PKR berjaya memenangi sejumlah 7 kerusi DUN

PAS berjaya memenangi sejumlah 6 kerusi DUN

Untuk makluman Tuanku, apa yang mahu patik tekankan di sini adalah kedudukan jumlah kerusi serta sahlakunya sesebuah pakatan yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan undang-undang negara yang sedia-ada dan termaktub di bawah akta pertubuhan.


Secara logiknya dan secara sahnya, hanya parti Umno sahaja yang dilihat mematuhi undang-undang negara di bawah akta pertubuhan kerana Umno telah membentuk sebuah pakatan dan bergabung dengan parti-parti komponennya di bawah payung Barisan Nasional yang didaftarkan secara sah mengikut peruntukan undang-undang serta diiktiraf.


Sedangkan bagi ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS, mereka menggelarkan diri sebagai sebuah pakatan juga yang diberi nama Pakatan Rakyat namun pada hakikatnya mereka tidak pernah pun mendaftarkan pakatan mereka itu secara sah mengikut akta pertubuhan yang telah diperuntukkan dan bagaimana ianya boleh diiktirafkan sebagai sebuah pakatan yang melayakkan mereka membentuk kerajaan negeri Perak?


Maka dengan ini, jika mahu dihalusi dengan sebenar-benarnya kemenangan awal penubuhan sebuah kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak pada dan/atau selepas tarikh 8 Mac 2008 yang lalu itu masih boleh dipertikaikan oleh Umno dan Barisan Nasional serta turut boleh dianggap sebagai sebuah kerajaan pakatan haram yang tidak sah berlandaskan undang-undang sedia-ada.

Hujah patik adalah kerana sesebuah pakatan dan/atau pertubuhan itu seharusnya terlebih dahulu didaftarkan secara sah sebelum bertanding di dalam pilihanraya umum dan setelah kemenangan semua parti-parti komponen dan/atau parti-parti gabungannya maka barulah ianya boleh dianggap sah dan boleh diiktiraf dengan mencampurkan keseluruhan kerusi-kerusi DUN yang dimenangi pakatan mereka mengikut jumlah majoriti yang diperolehi untuk layak membentuk sesebuah kerajaan negeri yang sah melalui mandat rakyat negeri Perak.

Tapi apa yang berlaku di negeri Perak adalah di sebaliknya serta bertentangan dengan peruntukan undang-undang kerana Pakatan Rakyat hanyalah pada nama sahaja dan mereka menggabungkan parti-parti mereka selepas keputusan pilihanraya umum ke-12 diumumkan pada 8 Mac 2008 lalu sahaja dan dalam masa yang sama Pakatan Rakyat itu sendiri bukanlah sebuah pertubuhan yang berdaftar secara sah mengikut undang-undang sehinggalah ke hari ini.


Bermakna parti Umno dari Barisan Nasional adalah parti dan/atau pakatan yang mempunyai majoriti untuk layak membentuk sebuah kerajaan negeri Perak bermula pada 8 Mac 2008 yang lalu dengan majoriti 10 kerusi jika dibandingkan dengan DAP yang mendahului PKR dan PAS.


Sehingga ke hari ini pula kedudukan kerusi-kerusi DUN negeri Perak telah jauh berubah bilamana semalam dan sebelumnya telah berlaku insiden beberapa wakil rakyat DUN telah mengesahkan keluar daripada parti masing-masing.


Sebelumnya, ADUN Bota yang telah diberikan mandat memenangi kerusi itu atas tiket Umno/BN telah keluar daripada Umno/BN untuk menyertai PKR dan semalam kembali semula kepangkuan Umno/BN dan menjadikan kedudukan kerusi DUN bagi BN kembali 28 kerusi.

Manakala 2 ADUN dari parti PKR iaitu bagi DUN Changkat Jering dan DUN Behrang masing-masing telah mengesahkan keluar daripada parti PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas, di samping seorang lagi ADUN dari parti DAP merangkap Timbalan Speaker DUN negeri Perak turut mengesahkan keluar daripada DAP untuk menjadi wakil rakyat Bebas berkuatkuasa serta-merta semalam, 4 Februari 2009.


Oleh yang demikian kedudukan sebenar kerusi DUN negeri Perak yang terkini ialah Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP) hanya tinggal 28 kerusi sahaja dan sama jumlahnya dengan Barisan Nasional sementara Bebas pula hanya 3 kerusi. Jika mengikut pecahan parti, DAP cuma tinggal 17 kerusi, PKR hanya tinggal 5 kerusi dan PAS masih kekal 6 kerusi. Situasi ini sekaligus menjadikan Umno/BN menambah majoritinya kepada 11 kerusi jika dibandingkan dengan DAP yang tertinggi di kalangan pakatan tersebut.

Jika ibaratnya tanpa mendapat sokongan daripada ketiga-tiga ADUN Bebas itu pun, Umno/BN tetap mendahului parti-parti lain tersebut yang pada hakikatnya adalah parti persendirian sahaja kerana tidak wujudnya sebuah Pakatan Rakyat yang sah dan boleh diiktiraf mengikut peruntukan undang-undang.


Apatah lagi dengan adanya 3 ADUN Bebas yang telah menyatakan sokongan kepada BN secara terbuka pada sidang media petang semalam (4 Februari 2009) untuk menjadi kuasa penentu bagi penubuhan sebuah kerajaan baru BN di negeri Perak dengan kelebihan 3 kerusi jika mengambilkira PAS, PKR dan DAP sebagai sebuah Pakatan Rakyat (yang mana sepatutnya tidak boleh diambilkira begitu).


Oleh itu sepertimana yang diketahui patik, apa yang patik nyatakan di sini adalah juga bersamaan sebagaimana ADUN Pengkalan Hulu, YB Dato' Seri Di Raja Mohamad Tajol Rosli Mohd Ghazali (bekas MB Perak dari BN) pernah menyembah menghadap Tuanku membawa usul ini selepas pilihanraya umum ke-12 yang lalu.


Sayugia patik amat berharap agar usul yang dikemukakan ini dapat diambilkira untuk dibuat semakan serta kajian semula bagi mempertimbangkan hak mutlak kemenangan sebenar Umno dan Barisan Nasional negeri Perak Darul Ridzuan memandangkan DYMM Tuanku tentunya lebih arif akan peraturan undang-undang kerana sebelumnya Tuanku juga adalah bekas Ketua Hakim Negara.


Samada berlaku atau tidak berlakunya pergolakan politik di negeri Perak sepertimana kejadian semalam (4 Februari 2009) perkara ini tetap harus dibuat kajian dan semakan semula bagi mengembalikan hak penubuhan kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan kepada pihak yang sebenar-benarnya lebih layak mendapat mandat.

Sekian usul dan kenyataan patik untuk dikemukakan ke bawah DYMM Tuanku bagi mendapatkan secebis perhatian serta pertimbangan yang sewajarnya. Sebarang kelemahan, kekurangan dan juga kesilapan di mana-mana, patik dahului dengan segala ampun dan maaf. Sembah patik harap diampun. Wassalam!


PEMUDA PELAPIS

2 Responses
  1. Sultan menyokong BN...dan bukannya membuat keputusan berdasarkan kehendak rakyat...


  2. Anonymous Says:

    BN bayar berapa juta kat Sultan? Najib masuk istana bawak C4 ke?