Perhatian kepada semua pengunjung yang dihormati: Sila nyatakan nama sebenar atau nama samaran di awal atau di hujung komentar bagi anda yang menggunakan "Anonymous". Kegagalan mematuhi pesanan atau komentar yang berbahasa melampau tidak akan disiarkan. Harap maklum!
_________________________________________________________

Pemuda Pelapis
Cuaca di Ipoh Hujan Sehingga Hampir Subuh

Perjalanan menuju ke Ipoh pada (5:00 PM) petang Khamis, 5 Februari 2009 dari tol Jalan Duta, Kuala Lumpur, dalam keadaan cuaca yang masih baik sehinggalah masuk ke sempadan negeri Perak Darul Ridzuan.


Disebabkan kad "touch n go" dikhuatiri tidak mencukupi baki maka saya mengambil langkah untuk keluar melalui tol Tanjung Malim dan menyusuri jalan lama. Bermula dari pekan Tanjung Malim hujan sudah mula turun, keadaan jalan basah dan licin.

Disebabkan kurang selesa melalui jalan lama kerana jalannya yang berlopak, sempit dan bahu jalan yang agak tinggi antara Tanjung Malim ke Bidor maka saya berkeputusan memasuki semula lebuhraya melalui tol Bidor.

Oleh kerana tiada lorong tambah nilai untuk kad "touch n go" di tol Bidor, saya terpaksa mengambil tiket seperti biasa untuk menuju ke Ipoh melalui lebuhraya. Saya keluar semula daripada lebuhraya melalui tol Simpang Pulai dan terus menuju ke bandaraya Ipoh hampir senja.

Oleh kerana saya pernah bermastautin selama 5 tahun di Ipoh maka saya mempunyai ramai kenalan dan sahabat-handai di sana malahan saudara-mara turut ada. Penginapan tidak menjadi masalah kepada saya cuma saya tidak suka menyusahkan orang lain.

Saya juga tidak fikir untuk mencari penginapan yang selesa pada malam itu kerana saya rasa tentu tidak akan dapat melelapkan mata dengan lena. Tujuan saya ke Ipoh adalah untuk menyaksikan sendiri perkembangan semasa situasi politik negeri Perak yang bergolak hangat itu, maka saya hanya sempat singgah di surau menunaikan kewajipan.

Sebelum turun dari kereta untuk ke surau, sempatlah saya menaip satu entri makluman kepada rakan-rakan blogger dan pengunjung blog Pemuda Pelapis memberitahu saya berada di Ipoh pada jam 7:25 PM. Saya menunggu di surau sehingga Isyak selesai sebelum beredar.

Selepas selesai barulah saya menuju persekitaran kediaman rasmi Menteri Besar Perak yang masih lagi dihuni oleh Nizar Jamaluddin, bekas MB Perak dari PAS (Pakatan Rakyat) yang masih enggan keluar meskipun telah dititahkan oleh baginda Sultan Perak.

Suasana hingar-bingar dan ramai penyokong-penyokong PR berkumpul di dalam dan di luar sehingga melimpahi jalan di sekelilingnya menyebabkan jalanraya menjadi sesak.

Walaupun cermin kereta tertutup rapat tapi teriakan dan sorakan sumbang jelas kedengaran. Segala-gala bahasa iblis dan syaitan keluar dari mulut para penyokong PR yang menyumpah dan memaki hamun kepimpinan Barisan Nasional sambil menyepak dan menendang poster Dato' Seri Najib yang tergantung pada tiang elektrik di tepi jalan.

Jika hanya golongan muda sahaja berkelakuan sebegitu tidaklah menghairankan tetapi mereka itu termasuklah golongan tua yang berkopiah, bersongkok, berserban dan berjubah yang berlenggang-lenggok mundar-mandir di tepi pagar kediaman rasmi MB Perak turut berperilaku sedemikian walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Itulah mereka yang menganggap diri mereka cukup beriman selama ini (sepertimana yang dimaklumkan mereka kepada dunia). Jika ujian Allah SWT sekecil ini pun tidak dapat diterima apakah mampu untuk mereka terus memperjuangkan agama Allah SWT sedangkan sikap dan keperibadian sendiri sudah tidak mencerminkan keimanan?

Mulanya saya terfikir juga untuk singgah sebentar bagi merakamkan video dan gambar tapi memandangkan kamera saya bukan kamera "water proof" maka saya tidak singgah membuang masa untuk mendengar dan menyaksikan semua itu.

Tambah pula, hujan masih turun renyai-renyai, lebih baik saya terus menuju ke bandaraya Ipoh mencari kedai makan untuk makan malam terlebih dahulu. Lagi pun perut sudah berkeroncong meminta makan, tekak pula meminta air kerana kehausan.

Sampai di kedai makan rupanya ramai juga penyokong PAS dan PKR berada di situ. Saya duduk lalu memesan makanan dan minuman. Sementara menunggu pesanan sampai sempatlah saya memasang telinga mendengar perbualan hangat mereka sambil melayan juga kerenah mereka itu sepatah dua.

Seronok juga jadi pengintip tak berelaun ni. Kalau ada elaun tentulah lagi bersemangat agaknya (he...he...he!) tapi sebuah perjuangan yang ikhlas tidak perlu mengharapkan semua itu.

Lebih kurang 2 jam saya di gerai makan dan terperangkap dalam hujan yang semakin lebat. Bila keadaan agak reda sedikit, saya beredar dan mengunjungi semula ke kawasan kediaman MB Perak tetapi tidak singgah kerana masih lagi renyai.

Saya kemudiannya menghubungi rakan-rakan lama dan mengajak mereka berjumpa di luar. Sekali lagi saya ke warung kopi berborak dan berbual panjang dengan kawan-kawan tanpa rasa mengantuk sehinggalah jam 5:30 AM (hampir Subuh) dan diajak ke rumah salah seorangnya untuk menumpang mandi dan bersolat.
1 Response
  1. Anonymous Says:

    Nak elaun ke? Patut la jilat BN.. dapat elaun.. kerja tak ikhlas..